Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, penggabungan mega yang akan menghasilkan satu entiti baharu (MergedCo) itu dijangka menghasilkan pendapatan proforma bernilai RM50 bilion dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM20 bilion.
Katanya, transaksi yang dicadangkan itu juga bakal menyaksikan pegangan dalam beberapa buah syarikat operasi di sembilan buah negara dengan kira-kira satu bilion penduduk dan 300 juta pelanggan.
“Dengan portfolio yang unik, MergedCo akan menjadi antara kumpulan telekomunikasi terbesar di rantau ini dari segi nilai, pendapatan dan keuntungan.
“MergedCo juga akan memiliki lembaran imbangan kukuh untuk menyokong pertumbuhan dalam segmen pasaran pengguna, kediaman, perusahaan dan internet segalanya (IOT),” katanya pada sesi taklimat kepada pemberita di sini hari ini.
Axiata dan Telenor hari ini mengumumkan sedang berunding bagi cadangan penggabungan untuk mewujudkan sebuah entiti baharu dengan menyatukan operasi pasaran rantau ASEAN dan Asia Selatan milik masing-masing.
Transaksi yang dicadangkan itu membolehkan entiti baharu yang digabungkan (MergedCo) memanfaatkan keunikan operasi milik kedua-dua syarikat untuk menerajui serta mengurus pasaran baharu muncul dan baharu diteroka.
Bagaimanapun kedua-dua pihak masih belum dapat memberikan kepastian sama ada transaksi yang dicadangkan ini akan dimuktamadkan dengan pemeteraian perjanjian atau jika terdapat sebarang halangan untuk meneruskan sebarang pengambilalihan, penggabungan atau pelupusan.
Jamaludin berkata, selain kehadiran di peringkat Asia, cadangan penggabungan ini juga akan mewujudkan pengendali telekomunikasi mudah alih terbesar di Malaysia dengan menggabungkan Celcom Axiata Bhd. (Celcom) dan Digi.Com Bhd.
“Kedua-dua pihak akan berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dalam tempoh suku ketiga 2019, yang akan menyaksikan Telenor menjadi pemegang saham majoriti dengan jangkaan 56.5 peratus pemilikan manakala 43.5 peratus oleh Axiata,” katanya.
Dalam pada itu, Jamaludin berkata, tiada sebarang isu pemberhentian pekerja susulan cadangan penggabungan dua syarikat itu sebaliknya kakitangan yang mempunyai pertindihan tugas akan ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS).