Carian Maklumat Di Sini...

Google

Tiada Modal untuk Berniaga

Oleh: Irfan Khairi

Sesetengah perniagaan boleh dimulakan kecil. Pendekatan memulakan perniagaan kecil dahulu adalah satu pendekatan yang baik. Dengan memulakan perniagaan kecil, ia dapat mengajar kita selok belok perniagaan dan simpang siur mengendalikan pelanggan dengan lebih baik sebelum perniagaan kita menjadi besar. Terlalu banyak kisah-kisah kejayaan usahawan yang bermula kecil dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan mereka menjadi empayar yang besar.

Dengan cara ini, modal permulaan dapat diminimakan di samping risiko juga turut berkurang sekiranya bermula kecil. Pada langkah awal, tidak semestinya membuka butik lima bintang di kompleks membeli belah hebat di bandaraya. Memadai membuka gerai kecil di pasaraya menjual pakaian. Atau, sekiranya hendak kecil lagi pun boleh. Kedai online melalui blog juga tidak memerlukan modal untuk tapak dan sewa dan menjimatkan beribu atau berpuluh ribu RM di situ.

Namun tidak semua perniagaan boleh dimulakan dengan modal yang rendah atau secara online sahaja. Sekiranya mempunyai pilihan, sememangya mulakan yang kecil dahulu. Tetapi sekiranya tiada pilihan dan memerlukan modal yang lebih besar, apa pula caranya?

Cara pertama adalah meminjam dari kenalan atau ahli keluarga. Walaupun cara ini saya tidak syorkan sangat oleh kerana sering terdengar kisah kerana wang, keluarga pula berpecah belah, namun ia tetap merupakan satu pilihan. Terdapat juga kisah kejayaan perniagaan yang datangnya dari sokongan kewangan sekeluarga. Apa yang penting adalah, walaupun bersama keluarga, lakukan perjanjian hitam putih dengan jelas. Berapa yang dipijam, berapa kah bayaran balik, bagaimana keuntungan diagihkan dan sebagainya. 

Perjanjian hitam putih sebegini adalah langkah awal untuk menjadikan anda sebagai entity yang lebih professional dalam mengendalikan perniagaan. Jangan pula satu hari nanti akibat tiada perjanjian hitam putih, ada pula ahli keluarga merungut mengatakan untung perniagaan anda banyak, tetapi mereka tidak dapat satu sen pun walaupun dah bantu pinjamkan wang!

Jangan lupa juga perjanjian apa akan terjadi sekiranya wang yang anda pinjam tidak dapat dikembalikan. Ingat bahawa tidak semua perniagaan akan berjaya. Lebih banyak kisah kegagalan perniagaan daripada kisah kejayaan. Oleh itu, pihak kenalan dan keluarga yang memberi pinjaman perlu juga tahu apakah risiko sekiranya perniagaan anda tidak menjadi.

Cara kedua yang lebih baik adalah meminjam dari institusi kewangan. Institusi kewangan sememangnya memberi perkhidmatan pinjaman perniagaan. Namun perlu ingat, pihak institusi kewangan mahukan keuntungan dan tidak mahu kerugian. Ini bererti, apabila anda ingin meminta pinjaman perniagaan, pastikan pelan perniagaan anda adalah serba lengkap. Mereka akan mengambil pertimbangan dari segi risiko sama ada anda mampu membayar balik atau tidak.

Di sini juga, pentingnya pilihan utama tadi, iaitu, sekiranya anda sedia ada mempunyai perniagaan kecil-kecilan dan perniagaan kecilan anda dapat membuktikan bahawa anda adalah usahawan yang hebat dengan keuntungan perniagaan kecil yang semakin meningkat, ini merupakan tanda positif untuk pihak institusi kewangan memberi pinjaman kepada anda. Berbanding dengan anda sekiranya tiada pengalaman perniagaan, pelan perniagaan tidak lengkap dan bercita-cita membuat pinjaman beratus ribu!

Cara ketiga adalah bantuan kerajaan. Terdapat badan-badan kerajaan yang memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dalam memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan. Bukan sekadar pinjaman sahaja, malah, pelbagai bengkel dan latihan keusahawanan diberikan untuk melengkapkan ilmu keusahawanan kepada mereka yang ingin meminjam. Tugas anda adalah untuk melayari laman-laman web bantuan kerajaan tersebut dan mendapatkan maklumat yang secukupnya. Terdapat juga badan kerajaan dan kementerian yang memberi bantuan dari segi geran perniagaan dalam membantu usahawan tempatan.

Sama seperti pilihan pilihan di atas, siap sediakan diri anda untuk mendapatkan sebarang bantuan keawangan sama ada dari badan kerajaan ataupun tidak. Lengkapkan diri anda dengan segala ilmu perniagaan yang anda mampu. Sediakan pelan perniagaan yang lengkap dan mantap. Sediakan diri anda untuk temubual apabila diperlukan dalam meluluskan sebarang pinjaman atau geran perniagaan. Sekiranya gagal dalam aplikasi pinjaman atau geran, jangan putus asa dan perbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Pastinya terdapat kekurangan pada diri sendiri atau pelan perniagaan yang disediakan.

Tiada pihak yang mahu rugi. Begitu juga dengan pihak di mana anda ingin usahakan wang modal perniagaan anda. Oleh itu, pastikan anda lengkapkan diri anda terlebih dahulu sebelum meminta sebarang pinjaman. 

Sumber rujukan: Irfankhairi.com

PUNB tawar pinjaman bagi usahawan online

PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan pinjaman sehingga RM50,000 kepada usahawan yang ingin menjalankan perniagaan atas talian (online).

Pengerusi PUNB Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pinjaman itu dilancarkan sejak Oktober lalu, tetapi kurang mendapat sambutan walaupun diwar-warkan menerusi laman sesawang PUNB.

“Sehingga kini, boleh dikatakan kurang daripada 100 pemohon membuat pinjaman itu. Sama ada mereka tidak peka dengan kemudahan diberikan atau tidak mengetahui mengenainya.

“Bagaimanapun hanya perniagaan sah dan berdaftar sahaja layak memohon,” katanya selepas majlis perasmian Seminar Kecemerlangan Keusahawanan di Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengerusi Biro Wanita dan Keluarga Pemadam Datuk Jamelah Abu Bakar, seminar ini menjadi platform pendedahan kepada bakal usahawan sebelum memulakan perniagaan dalam pelbagai sektor selain melahirkan usahawan wanita berdaya saing.

“Ini adalah penganjuran kali pertama dan merancang untuk diadakan setiap tahun bermula tahun depan dan Perlis menjadi lokasi pertama,” katanya.

Selain Jamelah, usahawan yang turut berkongsi pengalaman dalam seminar itu adalah Pengarah Urusan RZAC Kosmetik, Datuk Kamaliah Abdul Halim, usahawan farmaseutikal Datuk Dr Shimi Sumathi dan Pengarah Urusan D’Tandoor Abdul Malik Abdullah.

Antara topik yang dibentangkan adalah menerokai peluang perniagaan dalam sektor kesihatan, arena francais, sektor pemborongan dan peluang pinjaman serta dana perniagaan.

Seminar Kecemerlangan Keusahawanan anjuran Pemadam itu, dihadiri seramai 263 peserta terdiri daripada usahawan berjaya dan bakal usahawan.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/bisnes/punb-tawar-pinjaman-bagi-usahawan-online-1.226118

Jenama ice blended pertama diiktiraf halal



PEPATAH menyebut, kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Itulah situasi terpaksa dihadapi pengeluar minuman jenama Cool Blog ekoran beberapa pengeluar minuman ice blended lain menggunakan bahan mengandungi asid maleik.

"Kami merasai tempias itu, dan kesannya lebih kurang 40 peratus jualan merudum. Namun, ingin saya jelaskan pembekal Cool Blog tidak tersenarai dalam pembekal terlarang itu.

"Kami melakukan ujian makmal setiap tiga bulan ke atas bahan Cool Blog. Setakat ini semua minuman kami selamat dan bebas kandungan asid maleik,” jelas Pengurus Operasi
Perniagaan CoolBlog Dessert Sdn Bhd, Muhammad Daniel Koh Abdullah berkaitan isu penggunaan bubble tea dari Taiwan dalam minuman ice blended.

Isu itu menjadi perbualan hangat apabila Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut daripada pasaran Malaysia kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang.

Dilancarkan pada 2005 di Singapura, Cool Blog dibangunkan sebagai kedai minuman, pencuci mulut dan minuman berperisa teh serta muncul penyedia ice blended pertama mendapat persijilan halal di Malaysia

"Kami fokus dalam perniagaan kerana 80 peratus pelanggan kalangan Muslim, dan ia mencerminkan kesungguhan kami untuk menerajui industri minuman dan pencuci mulut di Malaysia," katanya.

Hebatkan promosi

Jenama Cool Blog mempunyai lebih 250 cawangan seluruh negara dan akan menggenapkan kepada 300 cawangan sehingga akhir tahun ini."Kami dalam pengembangan yang baik dengan sasaran 400 cawangan dibuka menjelang 2014 menggunakan modal permulaan RM120,000 meliputi sewaan kios, pengurusan, pekerja terlatih, peralatan, ramuan, lesen dan latihan," katanya.

Dianggarkan lapan hingga 10 cawangan dibuka setiap bulan manakala dua juta cawan minuman dijual sebulan, menguasai 10 peratus daripada populasi Malaysia yang menikmati minuman itu."Kami menambah cawa- ngan secara ketara kerana ingin mewujudkan jurang antara pesaing, justeru, diperuntukkan sejumlah dana untuk memperhebatkan bahagian promosi dan pengiklanan, "jelasnya.

Dalam soal pemilihan tapak, Cool Blog tidak mengehadkan kepada pusat membeli-belah sahaja dan pemegang lesen yang merancang membuka di kawasan tumpuan ramai seperti berdekatan bank, pasar raya dan kolej dipertimbangkan."Kami meneliti lokasi yang dipilih sekurang-kurangnya seminggu sekali agar tempat itu sesuai dan tepat dalam menjamin kestabilan jualan," tegasnya.

Diberi kepercayaan

Jenama ini juga mengadakan usaha sama dengan pihak Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) untuk membuka 25 kios bawa pulang dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

"Kami, jenama pertama diberi kepercayaan memulakan operasi seperti itu sekali gus dapat meningkatkan imej agar lebih terkenal seluruh Malaysia, "ujarnya.Selain itu, syarikat juga mendapat penghargaan dari taman tema, Legoland di Nusajaya, Johor untuk membuka dua kios dalam taman tema tersebut.Kehadiran Cool Blog di pasaran terus diberi perhatian apabila turut mendapat tempat di JB CIQ, pintu masuk laluan ke kota Singa. 

Meneruskan strategi pengembangan, Cool Blog juga menerima pertanyaan untuk mengkomersialkan jenama ini ke Thailand, Filipina, dan negara Timur Tengah beberapa tahun lalu. "Kami baru sahaja menandatangani perjanjian persefahaman dengan wakil perniagaan di Indonesia untuk membawa masuk jenama ini ke Sumatera yang dimuktamadkan akhir tahun ini."Populasi Muslim ramai, antara faktor jenama ini mudah dibawa masuk ke sana.

"Selain itu, tawaran minuman Cool Blog pelbagai perisa menjadikan jenama ini terus dipercayai," katanya.

Bagaimana Caranya Anda Memilih Produk Dan Perkhidmatan Untuk Pendapatan Yang Agak Konsisten?

peniaga online
Di dalam pasaran memang terdapat berbagai-bagai jenis produk dan perkhidmatan yang anda boleh jual.
Ada produk dan perkhidmatan yang hot, ada yang jadi ‘penghulu’ trend, ada yang ikut dan ada yang memang evergreen.
Produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan ini boleh menyebabkan anda rambang mata sehinggakan kebarangkalian anda membuat pilihan yang salah adalah tinggi.
Anda mungkin pening untuk memilihnya kerana terlampau banyak produk dan perkhidmatan yang ‘recommended’ samaada oleh otai atau bukan otai di dalam pasaran.
Jika anda inginkan pendapatan yang konsisten setiap minggu atau setiap bulan, produk atau perkhidmatan mana yang anda akan pilih?

Sebenarnya, penyumbang utama kepada masalah keliru dan tersalah pilih ini adalah apabila anda memulakan pemilihan produk dan perkhidmatan melalui ‘keyword research’ semata-mata.

Keyword research
Keyword research cuma memberitahu kita berapakah kuantiti carian oleh prospek setiap bulan.
Carian itu dilakukan oleh prospek mungkin kerana ingin mencari informasi, feedback, apa kata orang tentang item yang dicari mereka dan juga mungkin niat untuk membeli.
Kuantiti carian menggunakan keyword tersebut bukan bermakna sebahagian besar dari prospek tersebut akan membuat pembelian produk dan perkhidmatan tadi.
Tetapi ini bukan bermakna yang keyword reserach ini tidak penting.
Keyword research ini amat penting sewaktu anda merancang dan membentuk kempen pemasaran dan jualan nanti.

Jadi, apa yang anda perlu lakukan?
Untuk membentuk pendapatan yang konsisten setiap minggu atau setiap bulan, anda hendaklah memulakan bisnes online anda dengan produk dan perkhidmatan keperluan yang dicari orang setiap masa.
Yang mana ianya berbentuk – produk dan perkhidmatan asas yang ‘wajib ada ada di rumah’ prospek dan ianya perlu digunakan setiap hari.
Tinggalkan dulu produk atau perkhidmatan yang canggih, hot, bermusim ataupun produk digital.

Memulakan penciptaan bisnes online anda melalui 4 bidang evergreen ini
Kebanyakan produk atau perkhidmatan yang evergreen berada di dalam 4 bidang ini yang:
1. Berasaskan pendidikan
2. Berasaskan makanan
3. Berasaskan pakaian
4. Berasaskan tempat tinggal
Apakah peluang dan potensi yang ada di dalam di dalam 4 bidang evergreen ini?
Ini bermaksud, anda akan membuat tawaran kepada prospek dengan cara menjual:
1. Menjual produk
2. Menjual perkhidmatan
3. Menjual produk berserta perkhidmatan – lebih banyak produk.
4. Menjual perkhidmatan berserta produk – lebih banyak produk.

1. Bidang berasaskan pendidikan
-Apakah keperluan pendidikan bayi dan kanak-kanak taska?
-Apakah keperluan pendidikan kanak-kanak tadika?
-Apakah keperluan pendidikan pelajar sekolah rendah?
-Apakah keprluan pendidikan pelajar sekolah menengah?
-Apakah keperluan pendidikan pelajar kolej atau universiti?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang masih belum bekerja?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang baru bekerja?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang telah lama bekerja?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang hendak berhenti kerja?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang telah berhenti kerja?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang ingin jadi peniaga dan usahawan?
-Apakah kepeluan pendidikan bagi mereka yang telah bersara?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang ingin menjadi muslim terbaik?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang ingin berkahwin?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang telah berkahwin?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang telah bercerai?
-Apakah keperluan pendidikan bagi mereka yang ingin menunaikan Haji dan Umrah?

2. Bidang berasaskan makanan
-Apakah keperluan makanan bagi bayi?
-Apakah keperluan makanan bagi kanak-kanak?
-Apakah keperluan makanan bagi kanak-kanak sekolah?
-Apakah keperluan makanan bagi pelajar sekolah?
-Apakah keperluan makanan bagi pelajar kolej dan universiti?
-Apakah keperluan makanan bagi mereka yang masih bujang?
-Apakah keperluan makanan bagi mereka yang sudah berkeluarga?
-Apakah keperluan makanan bagi mereka yang belajar di luar negara?
-Apakah keperluan makanan bagi mereka yang sibuk bekerja?
-Apakah keperluan makanan bagi mereka yang suka makan?
-Apakah keperluan makanan bagi mereka yang sedang diet?
-Apakah keperluan makanan untuk mereka yang hendak kurus?
-Apakah keperluan makanan untuk mereka yang sakit?
-Apakah keperluan makanan untuk mereka yang sudah tua?

3. Bidang berasaskan pakaian
-Apakah keperluan pakaian bagi bayi?
-Apakah keperluan pakaian bagi kanak-kanak?
-Apakah keperluan pakaian bagi kanak-kanak sekolah?
-Apakah keperluan pakaian bagi pelajar sekolah?
-Apakah keperluan pakaian bagi pelajar kolej dan universiti?
-Apakah keperluan pakaian bagi remaja?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang minat bersukan?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang masih bujang?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang sudah berkeluarga?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang belajar di luar negara?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang sibuk bekerja?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang suka bergaya?
-Apakah keperluan pakaian bagi mereka yang ingin tutup aurat?
-Apakah keperluan makanan untuk mereka yang ingin menjadi muslim terbaik?
-Apakah keperluan makanan untuk mereka yang ingin menunaikan Haji dan Umrah?
-Apakah keperluan makanan untuk mereka yang minat sukan bermotor?

4. Bidang berasaskan tempat tinggal
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang masih menyewa?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang sudah memiliki rumah?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang ingin menambah rumah?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang masih bujang?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang bakal berkahwin?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang berkeluarga tetapi anak-anak masih kecil?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang berkeluarga tetapi anak-anak yang sudah remaja?
-Apakah keperluan bagi mereka yang ingin sewakan rumah?
-Apakah keperluan produk dan perkhidmatan bagi mereka yang suka melancong?

Dalam 1 bidang sahaja anda boleh menjual banyak produk dan perkhidmatan.
Ini bermakna dalam 1 bidang sahaja, anda boleh cipta banyak kedai-kedai online niche anda.
Kalau anda memanfaatkan 4 bidang ini?
Berapa kedai online niche anda?

Anda Ingin Bersaing Dengan Lazada?

Anda mungkin akan menghabiskan banyak masa untuk mengenal pasti beberapa niche yang ada di dalam sesuatu bidang keperluan yang anda pilih.
Tetapi adakah dengan mengenal pasti niche -niche yang bagus sudah cukup untuk anda dapat buat duit secara berterusan?
Jika anda mengambil beberapa langkah tambahan ini selepas mengenal pasti niche, peratusan kejayaan untuk membuat jualan berterusan akan lebih tinggi.
Langkah-langkah ini perlu diambil agar anda bisnes online anda menjadi stagnant dan hasilnya tidakseperti apa yang anda harapkan.

Syarikat-syarikat besar yang beroperasi melalui online shopping mall seperti Lazada, Zalora mempunyai team, tools, support dan bajet berjuta-juta RM setiap bulan.
Mereka membuka kedai online dengan menggunakan shopping cart yang menghimpun segala jenis barangan (all in one) di dalamnya.
Jadi adalah tidak bijak jika anda turut membuat begitu dan secara tidak langsung telah bersaing dengan syarikat-syraikat besar tersebut.
Cara terbaik untuk tidak bersaing dengan syarikat-syarikat besar adalah dengan memanfaatkan:
1. niche (pasaran khusus) dalam salah satu bidang keperluan orang ramai.
2. mempunyai banyak niche di dalam satu bidang keperluan.
3. membuat tawaran khusus kepada prospek-prospek anda yang tidak dilakukan oleh syarikat-syarikat besar.
4. membuat tawaran susulan yang lebih kerap selepas itu jika anda mempunyai lain-lain produk dan perkhidmatan.
5. banyakkan channel jualan untuk produk dan perkhidmatan anda tersebut.

Perkara nombor 1 dan 2 telah pun diterangkan di dalam post sebelum ini.

No. 3 – Buat tawaran khusus kepada prospek-prospek anda yang tidak dilakukan oleh syarikat-syarikat besar.
Sebagai contoh, saya dapati banyak syarikat-syarikat besar dan sederhana tidak mengamalkan penghantaran sample produk kepada prospek.
Mereka mungkin tidak ada masa atau ianya tidak berkaitan dengan kempen pemasaran mereka.
Tuan punya www.SerundingOnline.com menjual serunding seperti syarikat-syarikat yang lain juga.
Tetapi hampir tiada syarikat-syarikat besar dan sederhana yang membuat tawaran menghantar sample serunding kepada prospek mereka.
Ianya nampak merugikan tetapi ini adalah satu teknik untuk mendapat maklumat dan feedback prospek.
Dalam masa beberapa bulan selepas www.SerundingOnline.com dilancarkan, ianya telah dapat mengumpul beratus-ratus maklumat dan feedback dari prospek.
Jualan pula konsisten setiap bulan dan meletop-letop bila tiba bulan Ramadhan dan musim perayaan.
Jika anda menjual kain, anda boleh menghantar secebis sample kain untuk mendapatkan maklumat dan feedback dari prospek.
Adakah ini diamalkan oleh syarikat-syarikat besar dan sederhana?

No. 4 – Buat tawaran susulan yang lebih kerap selepas itu jika anda mempunyai lain-lain produk dan perkhidmatan.
Mungkin di dalam 1 bidang keperluan, anda mempunyai beberapa niche. Dan di dalam niche-niche ini anda mungkin mempunyai beberapa produk dan perkhidmatan untuk dijual.
Jika kedai online anda menjual 1 atau 2 produk dan perkhidmatan di dalam 1 niche , anda boleh menambah jualan dengan membuat tawaran susulan selepas itu.
Jika anda menjual kurang produk dan perkhidmatan di dalam kedai online anda, lebih banyak informasi (content) yang anda boleh masukkan ke dalam kedai online anda.
Ini boleh lebih meyakinkan prospek anda dan boleh mengurangkan kekeliruan prospek membuat keputusan pembelian.

No. 5 – Banyakkan channel jualan untuk produk dan perkhidmatan anda dan halakan kembali fokus prospek ke kedai online anda.
Anda melakukan strategi jualan yang lebih bijak dengan membuka banyak channel jualan.
Anda boleh buka channel jualan melalui:
1. Mudah
2. Lelong
3. eBay
4. Facebook
5. Twitter
6. Instagram
7. Blogspot
8. WordPress
9. Forum
10.Agen
11.Affiliate
Sewaktu anda berkomunikasi dengan prospek dan pelanggan, anda ‘wajib’ memberitahu yang anda mempunyai kedai online anda sendiri.
Sentiasa letakkan link kedai online anda di semua channel jualan anda.
Ini merupakan promosi dan backlink yang boleh meningkatkan traffic, branding dan value kedai online anda.
Seperti nasihat seorang Jutawan Online Marketer - ‘jangan buat rumah anda di tanah sewa’.
Sumber: http://www.peniagaonline.com/

Rahsia Bisnes Cara Rasullullah SAW



Rasulullah SAW adalah manusia biasa, bukan malaikat dan bukan pula anak Tuhan atau lain-lainnya. Beliau secara manusiawi sama dengan kita seluruh umat manusia. Ayahanda beliau adalah Abdullah bin Abdul Muthallib, ibundanya bernama Aminah, keduanya dari suku Quraisy di Mekah keturunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim AS. 
Rasulullah SAW adalah Rasul pilihan Allah yang diutuskan kepada umat manusia untuk membimbing mereka kepada hidayah Allah; berbuat yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah. Sebelum kedatangan Rasulullah SAW, manusia berada di ambang kehancuran lantaran kebudayaan yang menyebabkan tertegak nya tamadun ketika itu telah hancur.
Ketika kemanusiaan sedang berada dalam kesesakan nafas di ambang maut, Allah mengutuskan Rasulullah SAW untuk membangkitkannya semula dan mengeluarkan umat manusia dari kegelapan kepada cahaya. Rasulullah SAW memecah belengu-belengu jahiliah dan khurafat dan mengajak manusia kepada pengabdian yang akan membebaskan mereka daripada segala bentuk ikatan lain. Dia mengembalikan kepada mereka kebahagiaan hidup yang sebenarnya.
Itu semua biasa kita baca dalam buku-buku agama. Yang jarang kita dengar ialah sifat keusahawanan atau ciri-ciri perniagaan Rasulullah SAW.
Baginda sudah mula berniaga sejak berumur 12 tahun. Di bawah jagaan Abu Talib as, Rasulullah saw telah mula mengikut Abdul Talib as berniaga sehingga ke Syria. Abdul Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah ketika muda.
Dan Rasulullah merupakan ahli perniagaan yang hebat. Pada suatu ketika, di waktu berniaga, Rasulullah telah memperoleh keuntungan lebih dari usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama. Oleh kerana kehebatan Rasulullah saw dalam perniagaan, Baginda berjumpa dengan isterinya, Siti Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul) ketika berumur 25 tahun.
Perniagaan adalah perkara yang penting dalam Islam, malah menjadi satu terminologi yang sering disebut dalam al-Quran, contohnya:
“Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi(35:29)”
“Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (61:10-11)”
Kenapa Allah menyebut perniagaan dan bukan pekerjaan? Kerana perniagaan itu ialah sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat kita sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan dengan betul.
Dan Rasulullah sering disalah anggap sebagai miskin. Tidak, Baginda seorang yang kaya. Cuma hidup yang dijalaninya tidak seperti orang-orang kaya. Tiada rumah bertingkat-tingkat, tiada TV Plasma, tiada kereta Ferrari. Tetapi apabila Baginda keluar berjuang, contohnya berperang. Baju perang, pedang Baginda adalah dari yang terbaik, kuda-kuda perang adalah dari jenis yang terbaik. Makna kata seluruh harta Baginda digunakan untuk memperjuangkan Islam, bukan membuncitkan perut sendiri. Malah Baginda Rasulullah pernah mengikat batu-batu ke perutnya untuk menahan lapar.
Rasulullah pernah bersabda tentang pemilikan harta:
“Harta itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi orang yang soleh, kerana orang yang soleh akan menggunakan hartanya secara bijaksana, tidak dikotori rasa angkuh yang menghilangkan keberkatan dari Allah.”
Ingin tahu cara Rasul Terulung kita berniaga? Teruskan membaca.
Tidak Pernah Berdebat
Rasulullah dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum Baginda diangkat menjadi rasul lagi. Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Rasulullah . Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Teknik Menjual Yang Unik
Mengikut riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak seperti diamalkan oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu. Baik peniaga Arab atau pun bukan Arab. Biasanya para peniaga kebanyakannya mereka menjual barang-barang dagangan mereka dengan meletakkan harga yang setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan cara memberitahu harga pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa harga yang mereka kehendaki.
Dengan cara ini pembeli merasa puas dan senang hati kerana mereka merasa tidak tertipu oleh peniaga. Lalu mereka membeli dengan larisnya sehingga barang-barang Nabi paling laku dan cepat habis berbanding rakan-rakan Baginda yang lain. Selain itu Nabi juga mengambil sikap menjual pada harga modal apabila sipembelinya seorang yang benar-benar miskin tetapi memerlukan kepada barang itu. Baginda amat bertimbang rasa dan amat pengasihan belas kepada sesama manusia. Manakah ada manusia yang menjual barang-barang dagangannya dengan harga modal?
Sentiasa Senyum
Satu lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik para pembeli untuk mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda semasa berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan Allah berwajah kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda itu. Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah seseorang itu semakin bertambah. Walaupun tutur kata tidak seberapa , tetapi para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan selalu memberi senyuman kepada orang.

Jujur

Baginda bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi). Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang Muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.
Pada suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan. Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Rasulullah menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu. “Apa ini saudara ?” tanya Rasulullah. “Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu. “Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya ?” kata Rasulullah. Kemudian Baginda berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
Tidak Bersumpah Palsu
Dengan tegas, Rasulullah SAW mengecam amalan perdagangan yang dipenuhi tipu daya. Apalagi sampai bersumpah palsu, mengandungi unsur riba atau berbisnes di pasar gelap. Sebab, model menjalankan bisnes seperti itu tak saja merugikan orang lain, tapi juga membuat perniagaan yang dijalankan tidak lancar. Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang), mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli mereka.” (HR. Muslim) Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat untuk tidak melakukan sumpah, selain mengakibatkan kehilangan berkatnya.
Lemah Lembut
Baginda Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat tuntutan.”
Bukan Mengejar Harta Semata-mata
Rasulullah SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda tetapi juga untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan perniagaan.
Muamalah seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman Allah SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud: “Dan hendaklah kamu bantu membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan.”
Fasih Tutur Kata
Rasulullah SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya. Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak. Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah: Bermaksud: “Adalah Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelaslagi tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama Baginda).
Keuntungan Maksimum Adalah Mungkin
Walaupun ada ustaz (penceramah) yang mengatakan untung hanya boleh diambil sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama untuk kita jadikan pegangan. Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan, seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat itu tadi menjual salah seekor kambing itu dengan harga 1 dinar. Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi kambing dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang kepada Rasulullah dan kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan (menjual dengan cara begitu). Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan mendoakan agar sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang dilakukannya.
Ada lagi hadis sahih lain riwayat Abu Daud di mana Rasulullah ditanya mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan). Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para peniaga. Daripada dua contoh di atas berasaskan dalil yang sahih, kita dapati tidak mengapa kita menaikkan keuntungan sesuatu jualan produk sehingga 100%. Cuma yang dilarang adalah menyorokkan barangan keperluan asasi manusia pada ketika permintaan mendadak, dan dijual kembali apabila harganya dinaikkan. Ataupun apabila pihak pemimpin (kerajaan) menetapkan sesuatu perkara, maka kita wajib mematuhinya.
Maka, kepada para peniaga, marilah contoh cara-cara bisnes Rasulullah SAW, yakni akan memperoleh pahala kerana mengikut sunah Baginda.
Wallahualam.

Sulaiman Al Rajhi: Jutawan Islam Yang Kaya Dunia Dan Akhirat

sulaiman-al-rajhii
“Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam mereka dalam keadaan kelaparan?”
Pada bulan Mei 2011, Sulaiman Al Rajhi telah melemparkan soalan ini kepada sekumpulan ahli perniagaan di hadapannya.  Pada bulan yang sama juga, dunia telah digemparkan dengan pengumuman beliau untuk memindahkan sebahagian besar harta kekayaannya yang dianggarkan Forbes bernilai USD 7.7 bilion itu kepada anak-anak beliau dan sebahagian besar yang lain kepada badan-badan amal dan kebajikan.  Dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan, pengagihan harta perniagaannya termasuklah saham dan hartanah miliknya telah berjaya dilakukan dan seterusnya menjadikan beliau insan yang ‘miskin’ semula dan hanya tinggal ‘sehelai sepinggang’.  Kata Sulaiman Al Rajhi, jalan yang dipilihnya ini, telah membuatkan jiwanya menjadi lebih tenang dan gembira.  Beliau menganggap dirinya hanyalah penjaga bagi seluruh harta kekayaannya, dan pemilik kekal adalah Allah S.W.T.  Dengan melakukan pengagihan hartanya, beliau juga dapat mengelakkan perebutan harta dan seterusnya permusuhan dalam kalangan anak-anaknya sekiranya beliau pergi meninggalkan dunia tanpa mengagihkan hartanya terlebih dahulu.  Sesuatu yang tidak diingininya adalah melihat perpecahan antara anak-anaknya sendiri, seperti yang kerap berlaku dalam masyarakat sekarang yang seterusnya pada fikirannya akan merugikan keluarga, masyarakat dan negara.  Pengagihan harta ini juga dibuat agar beliau boleh memastikan pewarisnya boleh menguruskan perniagaan dan pelaburan yang telah dibuatnya.  Dengan cara ini juga, beliau berpeluang untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya, sekiranya mereka menghadapi masalah dalam mentadbir perniagaan yang diwarisi.  Sulaiman Al Rajhi juga berharap dengan mewariskan sebahagian besar daripada hartanya ke jalan Allah, beliau telah dapat menunaikan tanggungjawab menjaga saudara-saudara Islam yang lain dan seterusnya menjadi bekalan pahala untuk dirinya di akhirat kelak. 
Latar Belakang Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi – Daripada Padang Pasir Akhirnya Ke Mata Dunia
Sulaiman Al Rajhi lahir pada tahun 1920, merupakan seorang tokoh korporat dan jutawan berbangsa Arab Saudi.  Beliau menerima pendidikan terakhirnya daripada Universiti King Abdul Aziz di Arab Saudi.  Beliau merupakan pengerusi kepada Bank Al Rajhi, salah satu syarikat terbesar di Arab Saudi dan bank Islam yang terbesar di seluruh dunia.   Sulaiman Al Rajhi merupakan seorang jutawan Arab yang hebat.  Pada tahun 2011, Forbes telah menyenaraikan beliau sebagai seorang yang berpengaruh dan merupakan orang yang ke 120 terkaya di dunia.  Beliau juga dikatakan antara 10 orang yang terkaya di Arab Saudi.
Sulaiman Al Rajhi bukanlah seorang yang lahir dalam keluarga yang berada dan bukan juga seorang yang berketurunan diraja.  Beliau membesar di padang pasir Nejd dan bersama-sama saudara kandungnya, Saleh Al Rajhi telah memulakan perniagaan menukar wang untuk pengembara yang merentasi padang pasir ke Bandar Mekah dan Madinah.  Banyak syarikat yang telah ditubuhkan oleh Sulaiman Al Rajhi antaranya ialah Bank Al Rajhi, Pusat Penternakan Ayam al-Watania dan Pusat Pertanian Al-Watania.  Sulaiman Al Rajhi juga merupakan pengasas kepada Yayasan Kebajikan Sulaiman Al Rajhi yang juga dikenali sebagai Yayasan SAAR yang merupakan sebuah organisasi kebajikan dan amal yang terkemuka di dunia.  Kini selepas pengagihan hartanya dibuat, fokus Sulaiman Al Rajhi lebih kepada kerja-kerja amal seperti menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan Yayasan SAAR.
Walaupun usianya sudah mencecah lebih 90 tahun, Sulaiman Al Rajhi masih lagi aktif dalam menguruskan hal-hal perniagaan beliau. 
Bank Al Rajhi – Perbankan Secara Islam
Di kala usia mudanya, beliau berpengalaman dalam aktiviti penukaran mata wang.  Pengalaman yang dikutipnya ini dijadikan asas dan panduannya untuk menubuhkan Bank Al Rajhi, dan seterusnya menjadikannya pemegang saham terbesar untuk syarikat itu.  Abang beliau Sheikh Saleh Bin Abdul Aziz Al Rajhi juga turut menjadi tulang belakangnya dalam merancang penubuhan serta menguruskan Bank Al Rajhi.  Sulaiman Al Rajhi adalah seorang yang bijak mentadbir dan menjalankan urusan perniagaannya sehingga Bank Al Rajhi dilaporkan mencatat keuntungan yang paling tinggi jika dibandingkan dengan bank-bank lain di Arab Saudi. 
Menceritakan semula detik permulaan perbankan secara Islam, melalui satu wawancara media yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi daripada Al-Eqtisadiah Business Daily, Sulaiman Al Rajhi telah menceritakan bagaimana pada lebih 30 tahun dahulu, beliau telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Pengurus Bank of England untuk berbincang mengenai perbankan secara Islam.  Beliau menegaskan bahawa bayaran ‘faedah’ adalah riba yang haram bagi kedua-dua agama Islam dan Kristian, dan mengesyorkan perbankan secara Islam sebagai penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf ekonomi dunia.  Setelah idea dan fakta-fakta yang dibincangkan ini diterima, beliau kemudiannya telah pergi ke serata dunia untuk berjumpa dengan ketua-ketua bank negara dan memberitahu mereka bagaimana ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Perbankan secara Islam yang mendapat sokongan mufti besar, Sheikh Abdul Aziz Bin Baz ini kemudiannya mula diterima di mata dunia dan dilaksanakan di negara Arab dan juga di kota London.
Terkini, Bank Al-Rajhi telah mempunyai sebanyak 570 cawangan di seluruh dunia.  Pada Oktober 2006, Bank Al Rajhi telah membuka cawangannya di Malaysia dan sebanyak 25 cawangan bank nya sudah dibuka sehingga kini, 15 di Lembah Kelang, satu masing-masing di Johor Bahru, Melaka, Penang, Ipoh, Kota Bharu, Kuantan, Kuching, Sg. Petani dan Kota Kinabalu.   Bank Al Rajhi juga telah dianugerahkan beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.
Pusat Penternakan Ayam al-Watania
“Dan janganlah kamu makan daripada apa (daging haiwan) yang ketika disembelih tidak disebut nama Allah, perbuatan itu benar-benar suatu kefasiqan..” – Surah Al-An ‘am ayat 121.
Sulaiman Al Rajhi seorang yang amat sensitif dalam etika penternakan haiwan ternakan.  Ketika beliau mengadakan lawatan ke ladang ternakan di luar negara, beliau telah melihat dengan matanya sendiri proses penternakan yang ada. Beliau merasakan proses yang dilakukan pada ketika itu adalah salah dari segi syariah.  Beliau kemudiannya memutuskan untuk menceburi bidang ternakan dengan menubuhkan Pusat Penternakan Ayam al-Watania yang terletak di Bandar Qassim, Arab Saudi. Ayam-ayam di ladang ternakannya ini diternak dengan baik, diberi makan dengan sempurna dan disembelih secara halal mengikut undang-undang syariah. Kini syarikat ini telah berjaya mengeluarkan setengah juta ayam dan satu juta telur setiap hari dan menguasai 40% pasaran di Arab Saudi dan merupakan ladang binatang ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Pusat Pertanian Al-Watania
Sulaiman Al Rajhi juga telah melabur lebih USD 250 juta dalam pertanian secara organik untuk memastikan masyarakat dapat makan makanan yang bebas daripada bahan kimia berbahaya.  Syarikat Pertanian Al-Watania yang ditubuhkan pada tahun 1982 kini telah menjadi salah satu syarikat pertanian terkemuka di Arab Saudi.  Syarikat ini telah banyak melakukan penyelidikan terhadap tanaman secara organik dan berbangga dengan produk pertanian nya yang menggunakan baja organik sepenuhnya.  Beribu pejabat di kota Riyadh, syarikat ini mempunyai ladang yang terletak di utara, tengah dan selatan Arab Saudi.
Universiti Sulaiman Al Rajhi
Selain itu, Sulaiman Al Rajhi juga telah menubuhkan Universiti Sulaiman Al Rajhi yang fokus utamanya adalah untuk melahirkan pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang antaranya kesihatan dan perbankan Islam. Kelahiran pelajar daripada universiti yang terletak di daerah Qassim, Arab Saudi ini juga dilihat dapat memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara Arab Saudi.
Keperibadian Sulaiman Al Rajhi
Kejayaan sentiasa berpihak kepada Sulaiman Al Rajhi, tak kira apa jua bidang yang diceburinya.  Namun beliau juga tidak pernah terlepas daripada dugaan Allah S.W.T., antaranya apabila kilang ternakan beliau hangus terbakar dijilat api.  Peristiwa ini berlaku bukan sekali tetapi dua kali kilang yang berlainan menghadapi masalah kebakaran.  Apabila diberitahu perihal kejadian itu oleh kakitangan syarikatnya, beliau tampak sabar dan tabah dan hanya mengucapkan ‘Alhamdulillah’.  Beliau kemudiannya meminta agar pengurusan syarikat kilangnya itu berpindah ke tempat lain dan membersihkan segala kerosakan yang dialami sehingga semuanya dapat dibaiki.
Sulaiman Al Rajhi bersifat suka merendah diri dan turut memiliki pegangan saham syarikat penerbangan namun tidak berminat untuk memiliki jet peribadi.  Katanya beliau lebih suka menaiki penerbangan kelas ekonomi, baginya Allah tidak memberikannya harta untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai.  Beliau juga seorang yang sangat suka bersedekah dan baru-baru ini telah membuat amal dengan memberi makan kepada hampir 3 juta jemaah haji yang mengerjakan wuquf di Arafah.  Sulaiman Al Rajhi tidak hanya menyediakan wang dan mengupah orang memasak hidangan itu, tetapi beliau sendiri telah ‘turun padang’ dan terlibat secara aktif bersama-sama lebih daripada 800 tukang masak yang diupah untuk penyediaan hidangan itu. 
Sesuatu yang dipelajarinya pada awal pembabitannya dalam urusan perniagaan, ialah untuk menepati masa.  Pernah katanya temu janjinya untuk berjumpa dengan seorang pegawai di Eropah dibatalkan hanya kerana beliau terlewat beberapa minit untuk temu janji itu.  Sejak daripada peristiwa itu, beliau telah mendisiplinkan dirinya untuk lebih menepati masa.  Beliau juga sering membawa buku nota kecil untuk mencatatkan aktiviti harian beliau dan akan sentiasa merujuk buku nota nya untuk memastikan beliau tidak lupa apa-apa aktiviti atau temu janji yang telah dijadualkan.
Ketegasannya dengan prinsip Islam amat digeruni, pernah beliau keluar daripada satu majlis makan malam apabila mengetahui terdapat program hiburan di majlis makan malam itu.   Setelah pembatalan program hiburan tersebut, dan setelah dijemput semula oleh menteri yang terbabit barulah beliau menyertai semula majlis makan malam itu.
Kerajaan Arab Saudi juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Antarabangsa Raja Faisal 2012 dalam satu acara gilang gemilang yang telah diadakan di Riyadh.  Beliau telah dipilih untuk menerima anugerah ini atas jasa dan peranan besar beliau dalam mewujudkan perbankan Islam yang terbesar selaras dengan ajaran Syariah.  Beliau juga diiktiraf atas segala jasa beliau seperti sokongan kewangan yang diberikan, mencetak ratusan ribu salinan Al-Quran dan mengedarkan nya secara percuma ke seluruh dunia, terutamanya di Afrika, pembinaan masjid dan sumbangan tak terkira beliau dalam pembangunan sosio-ekonomi.
Semoga jasa dan bakti yang telah beliau taburkan diingati selalu.  Marilah kita sama-sama berdoa agar usianya dipanjangkan dan hidupnya diberkati Allah dunia dan akhirat.

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...