Carian Maklumat Di Sini...

Google

Panduan Cara Menanam Serai Secara Komersial


Menanam serai dikatakan agak senang dan mudah hendak diuruskan, tidak seperti menanam sayur kerana banyak penjagaan perlu dilakukan dan untuk menjana pendapatan tetap RM1,000 sebulan, tanah yang diperlukan adalah 1/2 ekar.


Panduan Menanam Serai Secara Komersial


Serai adalah tumbuhan yang berasal dari keluarga Poaceae iaitu suku rumput dengan nama botaninya cymbopogon spp, juga disebut dengan nama lemongrass, barbed wire grass, silky heads, citronella grass, cha de Dartigalongue, fecer grass dan pelbagai nama lagi.

Jenis-jenis Serai

Terdapat 2 jenis serai yang terkenal dan ditanam di Malaysia dengan 2 tujuan sebagai serai makan dan serai untuk perubatan serta kesihatan.

Serai Makan (cymbopogoncitratus) ditanam dengan tujuan untuk dimasukkan ke dalam masakan.

Serai Wangi (cymbopogonnardus) pula ditanam untuk mendapatkan minyak pati yang sangat berguna untuk tujuan kesihatan.

Minyak pati tersebut digunakan bagi kegunaan luar mengubati sakit perut, angin yang mengakibatkan kembung perut, serta masalah hilang selera makan.

Selain itu, serai juga boleh diekstrak sebagai penghalau serangga (insect repellent).

Kegunaan Serai

Tanaman serai wangi ini dijadikan minyak serai atau losyen bagi tujuan kegunaan luaran sahaja.

Pada asasnya, serai makan tidak mempunyai apa apa bau kecuali variety serai wangi.

Namun, apabila serai makan tersebut dicampur ke dalam masakan, ia akan menambah kesedapan juadah dengan mengeluarkan aroma seakan-akan lemon yang lebih menyedapkan masakan tersebut.

Aroma yang harum akan dikeluarkan ketika bahan ini digoreng bersama bawang kecil dan bawang besar.

Tumbuhan berperisa lemon ini boleh dikeringkan untuk dikisar menjadi tepung atau digunakan secara segar.

Serai yang telah keringkan dicampur ke dalam minuman teh bagi menambahkan lagi rasa segar yang terkandung di dalam minuman tersebut.

Asal-usul Serai

Tumbuhan herba ini ditanam secara meluas di kebanyakan kawasan di Malaysia.

Tumbuhan ini dikatakan berasal dari India dan Sri Lanka dan telah tersebar penanamannya keseluruh dunia.

Penanaman serai di Malaysia adalah sangat sesuai kerana iklim dan cuaca di Malaysia yang panas dan kering sepanjang tahun.

Iklim tropika dan subtropika paling sesuai dalam penghasilan tanaman herba yang berkualiti.

Serai makan boleh dijumpai dengan mudah dijual di mana mana pasaraya, kedai sayuran dan pasar harian.

Tanaman serai berpotensi besar untuk dimajukan kerana permintaan terhadapnya sangat tinggi di pasaran terutama pada musim perayaan dan majlis perkahwinan.

SERAI PAHA GAJAH

Keistimewaan serai paha gajah ialah saiz yang besar berbanding serai jenis lain dan hasil pengeluaran juga lebih cepat.

Hanya 10 hingga 12 batang serai paha gajah sudah mencapai berat sekilogram berbanding serai kampung yang memerlukan kira-kira 30 batang sekilogram.

Dalam tempoh lima hingga tujuh bulan, serai paha gajah yang batangnya besar dan umbi tegap mampu mengeluarkan hasil antara enam hingga tujuh tan di kawasan seluas 0.4 hektar (1 ekar).

Proses menanam dan penjagaan juga tidak rumit tetapi perlu menjaga rumput bagi memastikan pengeluaran hasil yang banyak.

Seawal lima bulan serai sudah boleh dijual dan usia paling cantik ialah dalam tempoh lima hingga tujuh bulan.

Ketika proses menuai serai paha gajah juga, ia mudah dibersihkan dan dalam sehari seorang mampu membersihkan sehingga 100 kilogram.

SERAI PAHA AYAM

Serai peha ayam mempunyai batang yang besar serta umbi yang tegap, namun kurang digemari kerana aromanya tidak seharum serai biasa.

Bagi penggemar serai tentu dapat membezakan dengan serai kampung walaupun kadang-kadang mata lebih tertarik dengan kegemukan serai peha ayam, tentu menyangka serai kampung telah cukup dari segi pembajaannya.

Dan pastinya, serai paha ayam menjadi pilihan untuk ditanam.

Biasanya dalam satu ekar, kita dapat menanam lebih kurang 10,000-15,000 rumpun serai jika hanya tanaman serai diusahakan.

Untuk integrasi kita boleh menanam antara 5,000–8,000 rumpun serai seekar.

Serumpun serai paha ayam pula boleh menghasilkan purata 3 kg yang siap proses.

Kalau tanah subur, baja boleh mencapai sehingga 9 kg serumpun.

PENANAMAN SERAI SECARA KOMERSIAL

1. Persediaan Awal

Sebelum menanam serai, pengusaha perlu meneliti samada kawasan penanaman mempunyai ciri seperti berikut:

Jenis tanah yang sesuai iaitu tanah gambut, tanah merah, tanah berpasir dan tanah BRIS.

Struktur kawasan penanaman samada berbukit, tanah rata, beralun atau laluan berair. Sistem pengaliran air yang berkesan bagi tujuan penyiraman dan pengaliran air banjir.

Jenis tumbuhan asal kawasan tersebut mempunyai akar, rumpai atau pokok berkayu.

Kawasan yang dipilih perlu dibajak dan digembur terlebih dahulu sekurang kurangnya 14 hari sebelum penanaman.

Proses penggemburan ini dilakukan bagi meningkatkan kandungan mineral di dalam tanah dan memudahkan proses pencucukan anak benih.

Sekiranya perlu, kawasan tersebut perlu disembur racun rumpai bagi mengawal pertumbuhan rumput yang akan mengganggu proses tumbesaran serai.

Benih serai perlulah berusia lebih lapan bulan atau lebih dan telah mula mengeluarkan akar dibahagian bawah batang.

Benih yang telah sedia perlu ditanam 4 hingga 6 benih serai pada satu lubang dengan menanam bahagian akar sedalam 1 inci.

Jarak tanaman adalah 0.5 meter diantara pokok dan 1.0 meter setiap barisan.

Tanaman serai mengikut jarak tersebut boleh menghasilkan kepadatan tanaman sehingga 20,000 rumpun bagi 1 hektar kawasan.

2. Penyediaan Anak Benih

Kita boleh mendapatkan anak benih daripada pasar tani atau kedai-kedai runcit sahaja.

Sebelum beli, rancang dahulu berapa rumpun kita nak tanam. Contohnya, kalau nak buat 10 rumpun, setiap rumpun kita letak 5 anak benih.

Jadi, kita kena beli 50 batang serai sebagai anak benih.

3. Merendam anak benih dalam air

Apabila cuba menanam terus benih serai yang dibeli dari pasar ke tanah, ada yang hidup dan ada yang mati.

Selalunya benih yang kita beli dari pasar tani telah dibersihkan dan tiada akar membuatkan anak benih susah nak hidup.

Jadi, kita perlu merendam semua benih kita dalam jag air. Kenapa perlu dalam jag air? Kerana jag air dibuat daripada kaca dan lutsinar.

Jadi kita boleh melihat takat air yang kita masukkan ke dalam jag. Nak pakai jag plastik pun boleh asalkan lutsinar.

Kita tegakkan semua benih serai dalam jag dan masukkan air cukup setakat sampai perut anak benih serai sahaja.

Kebiasannya, akar benih serai akan tumbuh selepas 4 hari kita merendamnya.

Benih yang kita ambil terus daripada rumpun serai tidak perlu direndam dengan air kerana sudah mempunyai akar.

4. Penyediaan Tanah

Serai memerlukan tanah yang sedikit padat untuk membolehkan anak benih berdiri tegak dan tidak mudah tumbang.

Tanah yang baik adalah campuran tanah lektrik, tanam merah dengan tanah bakaran sampah.

5. Cara Menanam Benih Serai Yang Betul

Menanam benih serai ke longgokan tanah atau batas adalah satu proses yang amat penting.

Pastikan kita menanam serai dengan kedalamannya cukup sekadar tenggelam akar sahaja dan bukannya sampai habis perut serai.

Serai akan mati jika kita menanam dengan terlalu dalam menyebabkan anak serai susah nak tumbuh keluar dari benih serai.

6. Mengasingkan Serai

Apabila telah matang dan serai sedia untuk dituai, dalam satu rumpun pasti ada batang serai yang gemuk, yang masih muda dan batang yang kurus melidi.

Kita kena asingkan serai yang gemuk dan serai yang kurus ini sebelum dihantar kepada pembeli.

7. Pantang Larang Serai

Jangan sesekali kita mengerat rumpun daun serai sewaktu serai dalam proses pembesaran. Kadang-kadang orang kita lebih suka mengerat daunnya supaya nampak cantik dan tidak semak.

Tetapi akibatnya membuatkan serai tumbuh melidi dan tidak gemuk kerana serai akan menggunakan tenaganya untuk kembali menumbuhkan daun.

Biarkan sahaja rumpun serai membesar dan menjadi semak sehinggalah sampai masa untuk kita menuainya.

PENGURUSAN TANAMAN

Benih serai yang telah ditanam perlu disiram sekurang kurangnya 2 kali sehari, namun jika bekalan air siraman kurang diberikan, serai masih boleh hidup subur kerana ianya mempunyai sifat tahan kepada cuaca panas dan kemarau.

Jika air berlebihan dibekalkan kepada tanaman serai, ia akan menyebabkan serai reput, berulat dan busuk terutama di bahagian akar.

PEMBAJAAN DAN KAWALAN RUMPAI

Pembajaan dilakukan dengan menabur baja NPK 15:15:15 di sekeliling pangkal pokok pada kadar 40 gram sepokok. Pembajaan dilakukan 2 kali sebulan.

Tanaman serai tidak memerlukan penjagaan yang rapi, dimana kawalan rumput di sekelilingnya perlu dicabut bagi mengelakkan persaingan mendapatkan makanan dan cahaya matahari.

Rumput pada tanaman serai sangat mudah untuk tumbuh membiak dan pengusaha tanaman perlu melakukan aktiviti merumpai sekurang kurangnya 2 minggu sekali.

Oleh kerana serai adalah sejenis tumbuhan herba, maka tiada serangga yang mendekati dan hinggap di pokok serai kecuali masalah Ulat Pengorek Batang.

Pengusaha perlu membuang rumpun yang terkena serangan ulat ini.

Manakala penyakit yang sering menyerang pokok serai adalah reput akar di mana bahagian batang dan akar serai akan membusuk.

Ini adalah disebabkan oleh kandungan air yang banyak lalu menyebabkan tanah di kawasan serai tersebut lembap.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan merosakan rumput serai tersebut.

Pengusaha perlu mencabut rumpun yang telah rosak dan mengalihkannya pada kawasan yang agak kering dan panas.

Bagi kawasan berkepadatan 20,000 rumpun sehektar akan menghasilkan 25 hingga 30 tan batang serai yang boleh dipasarkan.

Proses penuaian serai dilakukan di antara tempoh masa 4 hingga 6 bulan bergantung kepada kemajuan tumbesaran serai.

Serai akan dicabut keseluruhan rumpun dan memotong bahagian pangkal serta daunnya.

Tinggalkan kira kira 10 cm hingga 15 cm bahagian batang.

Bahagian batang yang mempunyai umbisi akan dibersihkan dari kotoran tanah.

Kemudian, serai tersebut diikat menggunakan getah dan dikumpulkan di dalam bekas besar untuk dijual kepada peraih atau pemborong.

ANGGARAN PENDAPATAN SEEKAR TANAMAN SERAI

1. Seekar tanah adalah seluas 43,560 kaki persegi.

2. Jarak tanaman serai yang disyorkan adalah 4’x3’

Oleh itu dalam seekar tanah terdapat 3,628 rumpun serai (43560/12=3628).

3. Pendapatan Kasar

Dalam satu lubang tanaman, disyorkan untuk ditanam dengan 2 batang serai dan satu rumpun serai ini boleh menghasilkan 2kg~3kg serai.

Harga pasaran sekarang adalah RM2 per kg.

Oleh itu pendapatan kasar adalah, 3,600 rumpun x 2 kg x RM2 = RM14,400.

4. Perbelanjaan

a. Benih = RM1,000 seekar (21,600 batang).

b. Baja = RM560

  • 8 beg baja urea (N46) diperlukan seekar.
  • 1 beg (50kg) berharga RM70
  • (8 beg x RM70 = RM560.00).


c. Racun = RM 390

  • 12 liter racun BASTA diperlukan dalam seekar.
  • 1 kotak 4 liter jadi perlu 3 kotak.
  • 1 kotak berharga RM130.
  • 3 kotak x RM130 = RM390.


d. Upah tanam per ekar = RM 200

e. Upah meracun (3 kali) RM60/ekar = RM 180.

f. Upah membaja

  • RM30 per ekar (3 kali) = RM 90.
  • 2 kali baja Urea.
  • 1 kali baja 0:18:20:TE.


g. Upah menyiram = RM210

  • Pokok serai perlu disiram selama 7 hari bermula dari tarikh tanam, waktu menyiram 4.30~5.00 petang.
  • Upah siram RM30 per ekar (RM30x7 kali = RM 210).


h. Upah menuai = Lebih kurang RM1,000

  • Jumlah Perbelanjaan = Lebih kurang RM4,000
i. Pendapatan Bersih
  • PENDAPATAN BERSIH PER EKAR = RM 14,400-RM 4,000 = RM 10,000.
  • RM 10,000.00/5 bulan, sebulan RM2,000.00.


Bayangkan sekiranya anda tanam seluas 10 ekar, berapa pendapatan sebulan?

Ini adalah kiraan pendapatan paling minimum, tetapi ini semua bergantung kepada rezaki dari Allah.

Tanaman serai 2′x3′ seekar boleh mendapat hasil lebih tinggi.

Semoga memberi manfaat.

Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2018/06/panduan-cara-menanam-serai.html#ixzz6KG1k7I3u

Khasiat Kacang Bendi Yang Ramai Tak Tahu


Sayur kacang bendi terkenal sebagai sayur tambahan dalam masakan kari atau pun asam pedas. Ada orang kurang menggemari sayur bendi kerana lendir yang ada di dalamnya.

Khasiat Kacang Bendi

Namun terdapat banyak khasiat tersembunyi di dalam sayur ini. Buahnya dikatakan mampu membantu menguatkan otak serta menambah daya ingatan dan kecerdasan.

Sementara biji, akar serta bunganya kalau direbus boleh membantu melawas pembuangan air kecil serta mengurangkan bengkak atau radang.

Bahkan ada orang mengamalkan makan bendi kerana dikatakan mampu mengurangkan masalah sukar bersalin.

Air rebusan biji,akar, serta bunganya boleh dijadikan ubat pada pelbagai kudis dan bisul.

Air rebusan buahnya kalau dicampur dengan gula memang sesuai dijadikan sebagai sirap ubat batuk atau merawat sakit kerongkong.

Lendir yang terdapat dalam buahnya boleh dijadikan krim penyejuk serta melembutkan kulit.

Air rebusan buahnya boleh juga digunakan untuk meredakan bengkak saluran kerongkong dan hidung.

Dikatakan kacang bendi baik amat untuk rawatan penyakit kencing manis.

Caranya ialah dengan mengambil dua biji kacang bendi. Potong kedua hujungnya. Turis bahagian tengahnya. Rendam dalam segelas air semalaman (tutup gelas).

Keesokannya, keluarkan kacang bendi dan terus minum airnya. Lakukan selama dua minggu.


Sumber: Majalahpama


Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2016/05/khasiat-kacang-bendi-yang-ramai-tak-tahu.html#ixzz6KG1F4zFN

Khasiat Kacang Sacha Inchi Tinggi Kandungan Omega 3


Sacha Inchi (Plukenetia volubilis) merupakan sejenis tanaman kekacang yang kurang dikenali di Malaysia, yang didakwa amat berkhasiat apabila pihak RISDA mencadangkan tanaman ini diusahakan oleh pekebun kecil getah bagi meningkatkan pendapatan mereka.


Khasiat Kacang Sacha Inchi Tinggi Kandungan Omega 3


Tumbuhan berasal dari negara PERU ini juga dipanggil sebagai 'Sacha Peanut', 'Inca Peanut', 'Mountain Peanut' dan 'Sacha Inci'.

Sacha inchi semakin mendapat perhatian ramai selepas berjaya disenaraikan sebagai salah satu ‘superfood’ di dunia pada tahun 2016.

Walaupun ia baru diketahui ramai, sacha inchi sebenarnya telah lama digunakan sejak 3000 tahun yang lalu oleh masyarakat Inca di Peru.

Tumbuhan ini kini ada ditanam secara komersil di Thailand, Vietnam dan Kemboja untuk menghasilkan bijinya yang mengandungi minyak yang sangat bernilai.

Sacha Inchi adalah jenis renek (shrub) yang parrenial dengan memerlukan sokongan untuk menjalar diaatas kayu sokongan untuk penanaman komersil.

Ia jenis tanaman yang perlukan cahaya matahari 100% atau dengan sedikit perlindungan sahaja, memerlukan tanah yang subur dengan air yang mencukupi dan sistem saliran yang baik.

Tanah dengan pH diantara 5.1-5.5 dikatakan sesuai untuk petani menjadikan pertumbuhan dengan baik dan aplikasi bahan organan.

Tanaman ini selalunya ditanam oleh pekebun kecil dengan keluasan yang mudah dijaga dan ada yang menanamnya sebagai tanaman keliling rumah dinegara jiran untuk menambahkan pendapatan keluarga dengan menjual bijinya kepada pemborong.

Banyak produk yang dihasilkan daripada tanaman sacha inchi dipasaran sebagai makanan kesihatan.

Menurut RISDA, permintaan terhadap herba ini terutama untuk produk kesihatan, kecantikan dan minyak sangat tinggi di peringkat antarabangsa.

Khasiat Sacha Inchi

Sacha Inchi mempunyai banyak khasiat-khasiat penting yang di perlukan oleh tubuh badan yang dapat membantu mencegah pelbagai jenis penyakit berbahaya.

Sacha Inchi kaya dengan Omega 3 yang lebih tinggi berbanding dengan kandungan omega dalam ikan dan juga jenis-jenis pokok yang lain.

Antara kandungan yang terdapat dalam Sacha Inchi adalah Omega 3 (48%), Omega 6 (35%) dan Omega 9 (9%).

Kelebihan ini dapat membantu merawat dan mencegah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh setiap tubuh badan.

Antara khasiat-khasiat yang terdapat dalam Sacha Inchi:

  • Membantu mencegah dan meningkatkan kesihatan jantung serta melancarkan pengaliran darah dalam tubuh.
  • Membekalkan nutrisi penting kepada otak untuk lebih produktif dan kreatif serta meningkatkan daya ingatan.
  • Membantu mencegah dan melawan sel-sel kanser.
  • Menguatkan tulang dan sendi serta memperbaiki ligament yang telah koyak.
  • Melancarkan sistem buah pinggang dan pencernaan yang dapat membantu membuang lemak-lemak berlebihan yang boleh mengakibatkan obesiti.
  • Meningkatkan tahap kesihatan paru-paru dan membantu mengurangkan penyakit asma dan alahan.
  • Sesuai untuk ibu mengandung di mana dapat meningkatkan tumbesaran bayi dalam kandungan serta perkembangan otak bayi.
  • Melancarkan keseluruhan sistem dan setiap organ dalam tubuh agar dapat berfungsi dengan baik.
  • Menurunkan tahap kandungan gula dalam darah.
  • Memberikan nutrisi penting untuk retina agar mata sentiasa segar dan tahap penglihatan yang lebih optimum.
  • Membantu menyihat dan melembabkan kulit serta dapat mengurangkan kedutan dan jeragat.
  • Minyak Sacha Inchi juga boleh menyembuhkan penyakit-penyakit kulit dan juga membantu meningkatkan tahap kesuburan rambut.


Tumbuhan Menjalar


Pokok Sacha Inchi


Tumbuhan ini mampu tumbuh menegak setinggi 2 - 3 meter tanpa sokongan asas, bagaimanapun untuk penanaman baik ia memerlukan kayu sokongan atau sistem para setinggi 3-4 meter.

Batangnya akan menjalar atau merambat dengan mempunyai daun deciduous yang berwarna hijau dikawasan tropika.

Daun yang berwarna hijau tersusun dengan baik dan menghasilkan pucuk baru untuk terus menjalar.

Ia mengeluarkan bunga dalam jambak yang berwarna putih hijau yang kecil dibahagian hujung dahan.

Daunnya berbentuk hati (heart shape) dengan susunan bersilang berukuran 10-12 cm panjang dan 8-10 cm lebar dengan panjang tangkai sekitar 2-6 cm panjang.

Bunga Jantan yang berwarna putih bersaiz kecil dalam jambak sementara bunga betina berada dibahagian bawah jambak.

Tanaman dikawasan tropika mampu tumbuh dengan baik dimana pokok akan menghasilkan bunga dan buah sepanjang tahun.

Buah

Buahnya dalam kapsul berukuran 3-5 cm garis pusat dengan ada 4-7 point yang berwarna hijau semasa muda dan bertukar warna coklat gelap apabila masak.

Bila cukup matang, ia akan terbuka sendiri dan dapat dilihat melalui bijinya dan dituai apabila buah telah betul-betul kering.

Buahnya ada 5 lobes dan ada yang mempunyai sehingga 7 lobes. Didalamnya terdapat bijinya yang berbentuk oval dengan warna coklat kehitaman berukuran 1.5 - 2.0 cm garis pusat.

Ia mempunyai berat sekitar 45 - 100 gram setiap biji, mempunyai kotilidon terbuka dengan ada lapisan nipis dan jika digoreng memberikan rasa yang sangat sedap.

Cara menanam


Buah Sacha Inchi


Penanaman sacha inci menggunakan biji benih yang diambil dari pokok matang. Biji benih perlu direndam selama 24 jam dalam air bersih sebelum disemai diatas tapak semaian dalam suhu sekitar 25 - 30 Celcius untuk bercambah.

Lazimnya ia akan bercambah dalam masa 14 hari dan boleh dialih ke kebun. Ada juga petani yang menanam terus biji benih ke ladang tetapi percambahan tidak sekata.

Kaedah menanam dengan bahan keratan jug ada dilakukan tetapi lebih mudah dengan semaian biji.

Bagi mereka yang ingin menanam sancha inci dalam bekas, sebaiknya ia berukuran 3 gelen media tanam atau lebih besar lagi untuk satu point tanaman.

Tanaman ini mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan penyakit.

Penuaian

Pokok merambat ini sebaiknya diberikan sokongan untuk membolehkan kerja-kerja memetik buah mudah dijalankan.

Pokok yang berhasil perlu dipetik buah matang dan dikumpulkan dalam bekas sebelum dijual atau diproses terus.

Pada masa ini belum ada harga ladang jualan buah sacha inchi ini di Malaysia kerana tidak ditanam secara komersil.

Cadangan pihak RISDA yang yakin tanaman sacha inchi mampu memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah sehingga RM500 sebulan dipaparkan oleh akhbar tempatan.

Bagi tujuan itu, RISDA akan memberi 20 hingga 30 batang pokok untuk setiap isi rumah pekebun kecil getah bagi mengusahakan tanaman tersebut.

Seterusnya, RISDA akan mengedarkan benih sacha inchi dari Thailand ini kepada pekebun kecil getah.

Tempoh matang

Apa yang penting kepada tanaman Sacha Inchi adalah buahnya yang berbentuk lengai dihasilkan apabila pokok matang dalam masa dua tahun sahaja.

Laporan menunjukkan pokok mula berbunga 5 bulan selepas ditanam dan mula berbuah 8 bulan selepas ditanam.

Sepokok dewasa mampu mengeluarkan 100 kuntum buah setahun dengan sebanyak 400 - 500 biji yang terhasil dan bahagian biji inilah yang bernilai untuk digunakan.

Biji Sacha Inci yang matang dikeluarkan daripada kelongsong berbentuk bulat leper dengan warna coklat kehitaman.

Bagi penduduk tempatan, mereka akan memetik buah sacha inchi ini dan merebusnya untuk terus dimakan begitu sahaja dengan rasa lemak.

Bagaimanapun, bahagian biji inilah yang dikatakan mengandungi pati minyak yang kaya dengan Essential Amino Acids, Alpha Linoleic Acids (ALA) dan juga Omega-3 Fatty Acids.

Nilai khasiat ini telah lama digunakan oleh orang Inca di Peru dan juga penduduk kawasan Amazon sejak lama dulu sebagai sumber protin tumbuhan yang didakwa terbaik didunia.

Bagaimanapun, kini produk dari sancha inci ini telah dikomersilkan dan boleh dibeli daripada kedai farmasi dengan mudah.

Bahan yang dihasilkan daripada tumbuhan ini adalah selamat dimakan dalam kategori herba atau makanan kesihatan.

Bagi menyediakan produk pati minyak sancha inchi ini, negara Thailand banyak mengkomersilkannya dalam bentuk minyak pati cecair dan produk didalam kapsul.

Khasiat terbukti secara klinikal


Minyak Sacha Inchi


Maklumat ringkas mengenai produk sacha inci (Quick Fact) dikaitkan dengan Produk Makanan Kesihatan dan Ubat merujuk kepada tindakbalas perubatan terhadap kes Cardioprotective dan Nutritional.

Ia disebabkan kandungan bahan Alpha Linoelic Acid yang tinggi terhasil daripada tumbuhan yang tidak toksik dan selamat dimakan.

Antara kehebatan khasiat sacha inchi ini adalah seperti membantu dalam pembentukan sistem otot disebabkan oleh bahan proton tumbuhan didalamnya.

Ia juga membantu mengelakkan masalah Kardiovaskular dimana kandungan Omega-3 dapat mengimbangan kolesterol dan juga mampu menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan serangan jantung.

Setiap satu sudu serbuk sancha inchi dengan berat sekitar 15 gram membekalkan 4.5 gram bahan protin tumbuhan.

Pengambilan bahan ini disyorkan dengan kadar sebanyak 56 gram sehari atau sekitar 3 sudu sehari menurut Persatuan Dietary Antarabangsa.

Bagaimanapun, bagi sacha inci dalam bentuk minay (oil) hanya disyorkan 2 gram sehari dengan lazimnya minyak ini mempunyai 47% protin didalamnya.

Semoga memberi manfaat.



Panduan Mudah Menanam Kacang Tanah


Kacang Tanah (Arachis hypogea) atau Groundnuts merupakan sejenis tanaman kontan yang semakin kurang popular ditanam, walaupun Malaysia kini merupakan pengimport tegar kacang tanah dari luar negara untuk pelbagai kegunaan domestik.


Menanam Kacang Tanah


Hanya beberapa negara di dunia yang menanam kacang tanah secara meluas untuk dijadikan produk pertanian utama negara tersebut.

Keluasan tanaman kacang tanah di Malaysia semakin menurun semenjak 20 tahun lalu kerana kurang menarik minat petani.

Hanya beberapa negeri sahaja yang masih menanam kacang tanah iaitu di Perak, Kelantan, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Hampir sebahagian besar kacang tanah yang ditanam di Malaysia adalah untuk kegunaan segar sahaja iaitu dibuat kacang rebus dan sebahagian kecil pula diproses menjadi Kacang Goreng.

Di pasaran dunia, bijirin kacang tanah banyak digunakan sebagai minyak, marjerin, sabun, kacang goreng dan sebagainya.

Minyak Masak (cooking oil) yang dibuat daripada kacang tanah merupakan salah satu produk global yang didagangkan.

Kacang tanah juga mengandungi banyak nutrien seperti niacin, folate, serat, magnesium, vitamin E dan sebagainya.

Kacang tanah merupakan sumber niacin yang baik untuk kesihatan otak dan perjalanan darah di samping kandungan unsur antioksidan.

Kesesuaian Tanah

Secara ummumnya, antara keperluan bentuk muka bumi dan keadaan tanah bagi tanaman ini sebaiknya dari jenis tanah rata hingga sedikit bercerun atau tanah berpasir seperti tanah bekas lombong.

Tanah dipilih untuk tanaman kacang tanah mestilah tiada berlaku kejadian air bertakung dengan saliran air yang baik kerana tanaman ini akan rosak jika ada masalah takungan air.

Sebaiknya kedalaman tanah melebihi 50 cm dengan tekstur tanah yang longgar dan pH tanah sekitar pH5.5 - 7.0.

Persediaan Awal

Lazimnya, proses penyediaan tanah sebelum menanam dibajak dengan bajak piring untuk membalik-balikkan tanah untuk menghapuskan rumpai dan pada waktu yang sama semestinya dilakukan aktiviti menambah bahan organik atau baja tahi ayam atau kompos dengan kadar disyorkan.

Ia kemudian diikuti dengan kerja membajak putar untuk menghancurkan tanah untuk mendapatkan tekstur yang sesuai.

Pemasangan sistem pengairan sangat digalakkan dengan jenis sistem pengairan renjis (sprinkler system) terutama untuk peringkat awal pertumbuhan kacang tanah.

Jika kawasan menpunyai kelembapan mencukupi seperti tanah tepi sungai maka keperluan sistem pengairan boleh disesuaikan.

Penanaman kacang tanah menggunakan biji benih berkualitii yang boleh di beli daripada Jabatan Pertanian atau kedai swasta atau benih sendiri simpanan petani yang dibuat pada musim sebelumnya.

Cara Penanaman

Keperluan dan kadar biji benih serta jarak tanaman perlu dilkira awal sebelum menanam.

Kadar biji benih kacang tanah yang disyorkan adalah 60kg sehektar.

Biji benih perlu dirawat dengan racun kulat sebelum ditanam bagi tujuan mengelakkan serangan kulat.

Jarak tanaman yang sesuai adalah 50 cm x 10 cm dimana sebaiknya bubuh sebiji selubang dengan kepadatan 200,000 pokok sehektar.

Cara penanaman kacang tanah dikawasan tradisional adalah dengan menggunakan tugal atau menggunakan jentera bagi kawasan tanaman luas.

Apa yang penting dalam penanaman kacang tanah adalah bagaimana menguruskan amalan agronomi.

Pembajaan

Pembajaan perlu dilakukan mengikut jadual dimana kadar pembajaan yang biasa adalah menggunakan baja NPK dengan kadar iaitu 34:56:56 kg sehektar, bergantung kepada kesuburan tanah.

Kacang tanah memerlukan unsur kalsium yang lebih tinggi terutama pada peringkat pembentukan lengai dimana jika berlaku kekurangan unsur ini akan menyebabkan lengai tidak berisi.

Sumber kalsium ini boleh didapati dari baja kapur dimana adalah disyorkan ditabur pada peringkat pokok mula berbunga.

Penggunaan kapur seperti GML dan sebagainya akan membantu meningkatkan kutipan hasil.

Kawalan Rumpai

Pengawalan rumpai dikawasan tanaman kacang tanah amat penting dilakukan yang lazimnya kacang tanah akan kalah dengan pertumbuhan rumpai yang lebih dominan jika tidak dikawal dari peringkat awal penanaman.

Penggunaan racun rumpai pracambah seperti Lasso boleh digunakan sebelum menanam.

Aktiviti merumpai pusingan pertama boleh dijalankan antara 14 dan 21 hari selepas menanam dan pusingan kedua dia antara 30 dan 35 hari selepas menanam dan kebun yang bebas dari rumpai akan menjamin hasil yang bakal dituai.

Serangga Perosak

Kacang tanah adalah tanaman yang mempunyai ancaman serangan serangga perosak dan penyakit.

Diantara serangga perosak yang sering menyerang kacang tanah adalah seperti Ulat Makan daun.

Ulat daun seperti Spodotera litura dan Heliothis arnigera lazimnya akan memakan daun, menyebabkan daun berkurangan dan pokok lambat naik dan boleh dikawal dengan racun serangga yang bersesuaian.

Jenis perosak lain adalah seperti Ulat Perosak Lengai seperti Etella zinckenella yang masuk dalam lengai kacang tanah dan merosakannya.

Cara kawalan adalah dengan racun serangga Diazinon yan disembur mengikut aturan.

Perosak lain yang boleh merendahkan penghasilan adalah serangan haiwan iaitu Tikus.

Ini kerana tikus merupakan perosak utama yang boleh menyebabkan kerugian besar penanaman kacang tanah seperti mana didakwa oleh petani.

Amalan kultura yang baik dan kebersihan kawasan didapati mampu mengurangkan serangan tikus.

Ada juga petani yang menggunakan racun dan umpan untuk mengawal serangan tikus dari berlaku.

Bagi serangan penyakit seperti serangan oleh Penyakit Layu Bakteria disebabkan oleh Pseudomonas solanacearum boleh menyebabkan pokok kacang tanah layu dan mati.

Penyakit lain iaitu Mozek Kacang Tanah pula yang disebarkan oleh kutu daun (aphid) menyebabkan daun bertompok-tompok berwarna hijau tua.

Selalunya penyakit kacang tanah dapat dikawal dengan amalan kultura yang baik termasuk penggiliran tanaman.

Hasil

Kajian mendapati aktiviti pemungutan hasil kacang tanah boleh dikutip antara 90 dan 110 hari selepas ditanam bergantung kepada varieti yang ditanam, dengan purata anggaran hasil adalah 3-3.7 tan sehektar.

Harga pasaran bagi kacang tanah mentah adalah sekitar RM5-7 sekilogram.

Semoga memberi manfaat.


Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...