Carian Maklumat Di Sini...

Google

Cara Mudah Tanam Daun Kesum dalam Pasu


Daun kesum adalah antara daun wajib ada dalam masakan laksa dan asam pedas. Ramai yang bertanya kepada saya cara tanam daun kesum. Mari kita belajar cara mudan penanam pokok herba ini.

Maklumat botani

Nama: Daun kesum, cenohom
Nama Inggeris: Vietnamese corriander
Nama saintifik: Persicaria tenella / Polygonum minus
Keluarga: Polygonaceae

Kesum adalah pokok berbatang lembut. Pokok ini dikategorikan sebagai pokok herba.

Penyediaan pasu

Daun kesum suka tanah yang berair dan lembab. Oleh itu kita perlu sediakan pasu yang ada takungan air. Cari pasu atau bekas yang tidak berlubang. Seterusnya tebuk di tepi pasu tersebut setinggi 5-10 cm. Saya tebuk dengan memanaskan pemutar skru di atas dapur. Boleh juga tebuk dengan paku panas. Kalau ada mesin gerudi, boleh guna juga.

Biar air dapat bertakung di bawah pasu nanti. Ada orang memberi tip untuk tidak menebuk langsung. Biar buat air bertakung. Masalah yang akan muncul pula adalah nyamuk mungkin akan bertelur pada takungan air dalam bekas. Nanti kita akan ada masalah dengan pegawai kesihatan apabila jejentik banyak membiak.

Gunakan pasu yang tiada lubang. Seterusnya tebuk lubang pada pasu di bahagian tepi dengan jarak 5-10 cm dari bontot pasu.

Penyediaan Tanah

Daun kesum tidak cerewet. Apa-apa tanah sesuai asalkan tanah tersebut sentiasa lembab. Saya paling suka tanam guna tanah yang kaya dengan bahan organik. Anda boleh buat sendiri campuran tanah dengan membaca pada tulisan saya ‘Cara Membuat Campuran Tanah Sendiri‘.

Cara Tanam

Cara tanam kesom paling mudah adalah dengan keratan batang. Kita boleh dapatkan keratan batang kesum yang dijual di pasar.

Potong daun kesum sekitar 15cm. Buang daun bahagian bawah. Biarkan sekitar 2-3 helai daun di bahagian pucuk. Sebab kita kurangkan daun adalah agar kita dapat kurangkan proses transpirasi. Transpirasi adalah proses pokok kehilangan air yang banyak. Jika nak dibandingkan dengan manusia, seperti kita berpeluh.

Apabila pokok kurang melakukan proses transpirasi, maka akan kurang kehilangan air. Seterusnya pokok boleh fokus pada pengeluaran akar yang baharu pada pangkal bawah batang.

Selepas itu tanam keratan batang ini sedalam dua per tiga panjang keratan. Jika keratan dipotong sepanjang 15 cm, maka lubang tanaman adalah 10 cm. Satu lubang masukkan sekitar 2-3 keratan. Jarak antara lubang boleh sekitar 5-10cm.

Letak di tempat redup selama 7 hari agar keratan dapat mengeluarkan akar dahulu. Tempat redup ini boleh di tepi rumah yang tidak terkena cahaya matahari terus. Tetapi bukanlah tempat yang gelap seperti di dalam garaj atau bilik.

Setelah itu boleh letak di tempat yang terkena cahaya matahari penuh. Kesum boleh hidup pada dua keadaan iaitu cahaya matahari penuh atau separa-redup.

[VIDEO] Cara semai kesum daripada keratan batang beli dari pasar

Penjagaan

Daun kesum jarang diserang penyakit. Mungkin akan ada kerosakan seperti berlubang pada daun kesum tetapi tidak perlu risau. Hal ini kerana daun kesum boleh bertindak sebagai penarik serangga.

Bermakna, jika ada pokok cili dan pokok kesum bersebelahan, belalang akan pilih kesum dahulu untuk makan. Apabila kenyang, belalang tak sempat nak ke pokok cili.

Siram pokok sekali sehari. Jika cuaca kering, siram dua kali sehari.

Untuk pembajaan, boleh bubuh baja organik seperti tahi ayam atau kompos sebulan sekali dengan kadar segenggam.

Pokok kesum yang hidup subur dalam pasu.

Cara tuai

Kita menuai dengan mencantas daun kesum 10cm dari pangkal. Setelah itu pastikan kita membaja. Perlu ingat, kita kembalikan apa yang telah kita ambil.

Jika tidak tuai pun, apabila daun kesum mula merimbun, perlu sentiasa buat penyelenggaraan dengan mencantas semua daun pada aras 10cm dari pangkal. Selepas itu berikan baja.

Pemasuan Semula

Sekitar 5-10 bulan selepas tanam kita akan mula lihat daun kesum semakin menguning walaupun telah kita berikan air, baja dan cahaya yang cukup. Ini tanda kita perlu membuat pemasuan semula.

Cantas batang kesum sehingga hanya tinggal 10 cm dari pangkal. Selepas itu siram pasu. Siraman ini akan memudahkan kita mengeluarkan kesum dari pasu.

Kita akan lihat akar yang penuh. Di sini cantas akar kesum satu per tiga dari bawah dan dari tepi. Usah risau. Fungsi mencantas ini bagi menggalakkan kesum mengeluarkan akar baharu.

Apabila akar pokok dalam pasu mula penuh begini, masanya untuk memotong akar sekitarnya. (foto)

Setelah itu isi semula pasu dengan tanah campuran yang kaya dengan kompos. Masukkan pokok kesum dan penuhkan dengan tanah campuran itu.

Akhir sekali letak pokok kesum di tempat redup selama 7 hingga 10 hari bagi memulihkan pokok dari kejutan pemasuan semula.

Anda akan dapat lihat pokok kesum anda kembali segar selepas tempoh pemulihan.

Ulang proses ini apabila anda lihat kesum menampilkan tanda-tanda yang disebut di awal pemasuan semula ini. Biasanya sekitar 5-6 bulan sekali kita perlu buat pemasuan semula.

[VIDEO] Contoh cara untuk memotong akar pada akar yang sudah penuh dalam pasu.

Rumusan

Daun kesum paling sedap dibuat dalam masakan. Tidak semua tempat jual. Jadi menanam sendiri daun kesum adalah pilihan terbaik. 

Sumber: https://kebunbandar.com/tanam-daun-kesum/

No comments:

Post a Comment

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...