Carian Maklumat Di Sini...

Google

Tanaman keledek menguntungkan

 

Tanah berpasir sesuai untuk tanaman ubi keledek.




KETIKA penanaman jagung kurang memberikan pulangan memberangsangkan, penanaman pelbagai jenis ubi keledek pula diusahakan.

Itu yang dikongsi Nur Suria Aisyah Mohd Wahid, 27, berkenaan kisah kegigihan ibu saudaranya, Zuraini Osman yang menjadi inspirasi kepadanya untuk turut membantu.

Katanya Nur Suria Aisyah, penanaman ubi keledek dengan teknik yang betul mampu memberi pulangan tiga hingga empat kali ganda berbanding kos mengusahakan tanaman semusim.

"Selepas bersara, ibu saudara saya mengusahakan pelbagai tanaman dan menternak kambing dalam ladang di Batu Gajah, Perak. Sebelum ubi keledek, dia usahakan ladang jagung, tetapi tidak begitu menguntungkan.


"Jadi, kami beralih kepada ubi keledek atas nasihat seorang kenalan yang juga pembekal baja dan racun tanaman. Kami disarankan tanaman ubi berkenaan sebagai ganti kerana harganya lebih stabil selain kos tidak terlalu tinggi.


"Kami mulakan terlebih dahulu dengan satu lot iaitu kira-kira 0.135 hektar. Selepas lihat hasil tanaman ubi keledek makin memberangsangkan, kami kembangkan kepada plot lain. Tanaman kemudian dilakukan secara berperingkat supaya dapat keluarkan hasil dan jana pendapatan konsisten setiap bulan," katanya.

POKOK perlu diangkat selain kerja merumput bagi memastikan ubi keledek membesar dengan baik pada batas tanah.



Menjelaskan secara kasar keuntungan penanaman ubi keledek, kata Nur Suria Aisyah, kos menanam pada 0.404 hektar adalah kira-kira RM4,000.

"Ketika mula menanam, kami beli dahulu benih daripada pembekal iaitu keratan batang pucuk keledek. Selain itu dalam penanaman, keledek juga memerlukan racun perosak dan baja supaya tumbuh dengan baik. Anggaran kos ialah RM4,000 dan bahagian paling banyak menelan belanja ialah baja iaitu kira-kira RM2,000.

"Biasanya pengeluaran bagi 0.404 hektar di ladang ini berjaya hasilkan sekitar lapan hingga sembilan tan ubi keledek sebulan. Pada kadar harga pasaran semasa pula, ubi keledek yang dibeli secara borong antara RM1.80 hingga RM2.20 sekilogram.

"Paling tinggi hasil jualan ubi keledek dari ladang ini ialah RM19,000. Itu apabila ubi keledek terjual semuanya kategori gred A. Dalam penjualan ubi keledek, gred terbahagi kepada A, B dan C. Ia dibezakan mengikut kerosakan ubi keledek menerusi bilangan lubang dihasilkan serangga pengorek," katanya.

PERMUKAAN ubi keledek yang licin menunjukkan ia sudah matang.



Kata Nur Suria Aisyah, tekstur tanah juga memainkan peranan penting dalam penanaman. Ladang berkenaan berkeluasan kira-kira 4.86 hektar itu adalah tanah berpasir. Tanah berkenaan antara terbaik bagi tanaman ubi keledek.

"Dalam penanaman ubi keledek, tempoh matang adalah kira-kira empat hingga empat bulan setengah selain turut mengambil kira tekstur pada kulit atau permukaan ubi sama ada masih berkedut atau licin. Kalau berkedut lagi ketika masuk empat bulan, ia belum cukup matang dan perlukan seminggu dua lagi sebelum dituai.

"Kebetulan ladang ini adalah sebahagian daripada kawasan lombong, teksturnya berpasir dan bagi tanah berpasir, tanaman seperti keledek amat sesuai sekali. Tanaman ubi keledek tidak boleh ada takungan air kerana 'ibu' akan lembik dan mudah rosak.

"Pernah juga ada penanam ubi keledek menanam keledek pada tanah gambut menyebabkan permukaan ubi seperti 'bermisai' disebabkan akar halus tumbuh pada kulit dan tidak licin seperti keledek yang ditanam pada tanah berpasir," katanya.

Katanya, dalam kaedah penanaman, selain ubi keledek memerlukan siraman air mencukupi, rutin baja setiap 15 hari sekali amat penting memastikan hasil iaitu saiz ubi keledek memuaskan.

MENUAI secara manual.



"Dalam semusim biasanya baja diberikan sebanyak lapan kali dan bulan pertama biasanya baja daun, bagi bulan berikutnya ialah baja buah. Racun pula penting kerana ancaman perosak seperti ulat pengorek dan tikus boleh mempengaruhi kualiti jualan gred ubi.

"Kalau terdapat tiga lubang saja, ubi keledek boleh jatuh kepada gred C atau 'direject', tetapi hasilnya masih boleh dijual untuk makanan ternakan seperti penternak landak raya atau mereka yang memiliki taman haiwan," katanya.

Selain ubi keledek, daunnya juga boleh dijual untuk dijadikan makanan ternakan haiwan seperti dalam ladangnya apabila turut diberi kepada kambing dan arnab peliharaan.

"Ubi keledek memang menguntungkan, tetapi ia ada tempoh atau had tanaman. Macam dalam ladang ini sudah masuk tiga tahun mengusahakan tanaman ubi keledek, perlu beralih kepada tanaman lain bagi pulihkan kembali kesuburan tanah dan mencegah ancaman perosak.

HASIL rosak teruk akibat serangga perosak.



"Jadi, kami mungkin akan usahakan projek sayur-sayuran termasuk kacang tanah dan kacang botol yang boleh mendatangkan keuntungan seperti keledek," katanya.

1 comment:

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...