Carian Maklumat Di Sini...

Google

8 Langkah Gerenti Berjaya dalam Perniagaan! (Bahagian 2)


5. Gandakan nilai pertukaran prospek kepada pelanggan

Sekiranya langkah pertama dalam melakukan jualan adalah menambahkan prospek, langkah seterusnya adalah mengubahkan prospek menjadi pembeli. Di sini, jenama perniagaan anda adalah amat penting. Dalam konteks ini, maksud saya – jenama dari segi keyakinan dan kredibiliti perniagaan anda di mata prospek anda bukannya barangan berjenama.

Apabila prospek anda yakin pada jenama perniagaan anda akan dapat menyelesaikan masalah mereka, maka ini akan menghasilkan jualan! Pelajari teknik dan strategi dalam mengubahkan prospek kepada pembeli dan tambahkan nilai pertukaran prospek kepada pelanggan supaya dapat meningkatkan lagi bilangan pengguna.

6. Tambahkan Jualan


Apabila kita di restoran burger francais, selepas membuat pesanan burger, jurujual di kaunter akan bertanyakan “Abang mahu tambah fries?”. “Boleh juga!” jawab kita. Maka, restoran tersebut mendapat untung tambahan dari jualan fries tersebut, mungkin 30sen. 30sen mungkin kecil sahaja dilihat sebegitu, tetapi, nilai kecil itu boleh menjadi beribu atau beratus ribu jika melihat pada seluruh cawangan serata dunia!

Fikirkan jualan tambahan yang anda boleh lakukan dalam perniagaan. Ada tak produk atau perkhidmatan lain yang boleh ditambah untuk ditawarkan kepada pelanggan anda? Ingat, untung yang kecil akan menjadi untung yang besar sekiranya dilakukan berulang-ulang kali.

7. Ulang, ulang dan ULANG!

Sebenarnya, kos untuk mendapatkan pelanggan baru adalah lebih tinggi daripada mendapat pelanggan sedia ada. Ertinya, ianya lebih murah dan mudah untuk mendapatkan pelanggan kita membeli daripada kita berulang kali untuk mencari dan mendapatkan pelanggan baru.

Jangan sia-siakan pelanggan-pelanggan kita dan jangan lupakan mereka. Mereka adalah punca pendapatan sesuatu perniagaan untuk masa-masa yang akan datang- jadikan mereka pelanggan berulang.

Zaman pertanian, perindustrian, informasi sudah berlalu. Kini, adalah zaman komunikasi. Pelajari kaedah komunikasi berkesan dalam membina hubungan dengan pelanggan-pelanggan sedia ada untuk keuntungan masa depan.

8. Kurangkan kos perniagaan

Dalam perniagaan, kewangan adalah nadi. Pastikan kitaran kewangan kita terjaga dengan penuh teliti. Begitu banyak perniagaan mengalami kegagalan oleh kerana tidak teliti dan tidak berjimat dalam kos perniagaan.

Pastinya anda telah dengar kisah perniagaan yang belum apa pun lagi, terus bermula dengan kereta besar, ofis serba hebat, bangunan besar, dan akhirnya berita seterusnya yang kita dengar pula adalah perniagaan tersebut mengalami kegagalan!

Ini yang akan terjadi sekiranya kita tidak menjaga kos perniagaan kita. Pastikan perbelanjaan perniagaan adalah kurang daripada pendapatan perniagaan kita. Jangan pula perbelanjaan lebih daripada pendapatan- gulung tikarlah jawabnya!

8 Langkah Gerenti Berjaya dalam Perniagaan! (Bahagian 1)



Apakah kunci kejayaan dalam perniagaan? Saya telah menjalankan perniagaan selama lebih 14 tahun dan turut membantu usahawan-usahawan dalam membina perniagaan. Telah banyak juga melihat jatuh bangun perniagaan – orang lain, dan juga diri sendiri. Berikut adalah 8 kunci kejayaan perniagaan yang MESTI anda ikuti untuk pastikan perniagaan anda Berjaya :-

1. Buat kerana minat yang amat mendalam!

Semestinya kita mulakan perniagaan kerana mahukan wang. Wang merupakan motivasi utama dalam memulakan perniagaan. TETAPI, jangan jadikan wang sahaja sebagai sebab utama menjalankan perniagaan. Lakukan perniagaan kerana MINAT. Minat terhadap produk yang ingin dijual, minat terhadap perkhidmatan yang ingin diniagakan dan juga MINAT pada prospek menjalankan perniagaan untuk tahun-tahun yang akan datang tanpa jemu!

Minat akan membuatkan kita suka pada apa yang kita lakukan. Alangkah “best”nya sekiranya kita menjana pendapatan menerusi perniagaan dengan melakukan apa yang kita suka? Sekiranya kita suka bidang sukan lasak, maka jadikan sukan lasak sebagai perniagaan. Sekiranya kita suka bidang fesyen, maka bidang fesyen patut dijadikan konsep perniagaan kita.

Namun harus ingat, bahawa minat pada sesuatu bidang sahaja tidak mencukupi tanpa adanya minat dalam bidang perniagaan. Minat dalam bidang perniagaan akan memberi motivasi kepada kita untuk terus belajar selok belok perniagaan. Pelajari strategi dan teknik perniagaan untuk memastikan perniagaan yang kita minat dapat terus maju pada tahun-tahun yang akan datang.

2. Fokus, Fokus, dan FOKUS!

Jangan cepat berubah hati. Situasi ini selalu terjadi kepada kita semua sebenarnya, lebih-lebih lagi apabila perniagaan kita agak lembab dan tidak berhasil. Selalunya ini berlaku pada peringkat awal perniagaan.

Jadi bagi mereka yang tidak tahan sabar, saat ini dirasakan gagal. Lalu, mereka membuat keputusan, ‘Sebelum gagal lebih lagi, baiklah mereka menukarkan kepada perniagaan lain!’

Jangan bimbang, bukan anda saja yang merasainya begitu. Ramai usahawan yang baru-baru terlibat di dalam perniagaan akan berpendapat sedemikian.

Sebenarnya, ini terjadi kerana kurang keyakinan dan tidak fokus. Anda hanya perlu fokus dan teruskan usaha anda. Usaha dengan lebih gigih lagi dan fokus pada satu perniagaan dulu sehingga berjaya. Jangan cepat-cepat menukar perniagaan lain.

3. Tambahkan prospek melalui promosi, promosi dan PROMOSI!


Tanpa promosi, perniagaan akan gagal. Itu sahaja! Perniagaan yang tidak melakukan promosi tidak akan mendapat prospek. Dan usaha menambahkan prospek adalah langkah pertama dalam mendapatkan jualan. Lebih ramai prospek yang kita perolehi, lebih besar kemungkinannya perniagaan kita akan berjaya.

Usaha mendapatkan prospek adalah melalui promosi dan pengiklanan. Promosi dan pengiklanan perlu dilakukan secara berterusan- setiap hari. Sekiranya kita berhenti melakukan sebarang promosi perniagaan, mungkin kita akan dapat lihat penurunan jumlah prospek berkurangan dalam minggu atau bulan yang akan datang. Begitu juga usaha promosi anda hari ini, mungkin hanya akan melihat prospek bertambah, minggu atau bulan yang akan datang.

4. Rancang dan atur perniagaan anda.

Setelah promosi dijalankan secara berturutan, semakin hari semakin ramai pelanggan anda, semakin banyak tanggungjawab anda. Di waktu ini, perancangan yang teliti, teratur dan jelas, boleh memberi anda kelebihan.

Tuliskan semua, rancangan anda agar anda dapat melihat “progress” perniagaan anda setakat ini. Jangan terus-terusan menerima pelanggan tanpa sebarang catatan. Ini amat penting untuk anda memiliki sebuah perniagaan yang boleh bertahan lama. Anda mesti ada fail-fail stok, jualan, perbelanjaan, keluar masuk wang ringgit. Semua ini akan menentukan kejayaan atau kegagalan anda dalam menguruskan sebuah perniagaan.

7 Tips Memajukan Perniagaan



Setiap perniagaan yang diusahakan mempunyai harapan yang tinggi, agar perniagaan itu terus maju dan berjaya serta dapat mengubah masa depan agar tidak ditindas pihak lain. Tiada sesiapa yang mengharap perniagaan yang dijalankan musnah dengan wang ringgit yang dikeluarkan. Namun, tidak semua perniagaan yang diusahakan mampu menetapkan jumlah pelanggan di dalam atau di luar negara. Tidak kira sebarang jenis perniagaan yang dijalankan samada melibatkan penjualan produk, servis, nasihat dan sebagainya. Kecekalan dan semangat yang kental sangat diperlukan bagi memastikan cita-cita yang diimpikan tercapai. Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah. Kerana ia mengambil masa dan memakan tempoh yang agak panjang. Sambutan pelanggan dalam perniagaan yang dijalankan mempunyai beberapa cara untuk dicapai.

Beberapa tips ini perlu diamalkan bagi memastikan perniagaan yang dijalankan menjanjikan pulangan yang lumayan dan memberangsangkan. Perkara pertama yang perlu kita amalkan adalah tips untuk mempelajari tentang keadaan kawasan yang menjadi tempat untuk memulakan perniagaan. Jika kita memulakan perniagaan yang padat dengan penduduk dan menjadi pusat pentadbiran, hasilnya akan positif. Sebaliknya jika kita membuka perniagaan di kawasan kampung yang tiada kemudahan dan sambutan ramai maka, perniagaan kita tidak akan bertahan lama.

1. Mengkaji tentang suasana dan kedudukan

Kita perlu mengkaji tentang latar dan faktor kedudukan tempat baru itu. Jika ia merupakan kawasan yang didiami pelajar dan pekerja, membuka kedai dobi adalah cadangan yang baik. Kerana golongan seperti ini lebih cenderung untuk menghantar pakaian yang kotor kedai dobi dari dicuci sendiri. Jangan pula di kawasan seperti itu kita mulakan dengan perniagaan besi buruk dan barang kitar semula. Selain itu, kawasan seperti ini juga sesuai dibuka perniagaan makanan dan minuman. Kerana pelajar dan pekerja sentiasa memerlukan tenaga untuk pergi belajar dan pergi bekerja. Katakan juga keinginan untuk memulakan kedai alat tulis dan perkhidmatan potostet di kawasan yang sama. Pendek kata, sesuatu kawasan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum memulakan perniagaan. Kerana perniagaan ini bukan untuk suka-suka dan main-main, sebaliknya sesuatu yang serius dan berat.

2. Mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai

Tips yang seterusnya adalah mencari rakan kongsi yang boleh dipercayai. Bukan sekadar seorang yang mempunyai wang untuk dilaburkan sahaja. Setidak-tidaknya minat dan hobi pada benda yang sama akan menampakkan lagi usaha yang dijalankan. Kerana manusia tidak akan jemu dan bosan melakukan sesuatu yang menjadi kegemaran mereka. Katakan Yusri dan Lisa mempunyai minat yang sama dalam bidang penerbitan dan periklanan. Jadi, mereka telah bersetuju dan melaburkan sejumlah wang untuk memulakan perniagaan ini di sebuah kawasan yang menjadi tumpuan. Kerana minta dan pendapat dalam bidang yang sama sangat tinggi, perniagaan mereka semakin maju. Kerana masing-masing memberi komitmen yang baik dalam perniagaan ini. Bukan hanya seorang sahaja yang perlu bekerja, sebaliknya kedua-dua belah pihak rakan kongsi ini. Pendek kata, perniagaan mereka maju kerana minat dan hobi dalam bidang yang sama.

3. Bermula secara kecil-kecilan

Tidak semua perniagaan itu perlu diusahakan secara besar-besaran yang menelan belanja sehingga jutaan ringgit. Sekadar sebagai hobi dan minat untuk memenuhi masa dan boleh dijadikan sebagai pendatan sambilan sudah memadai. Contohnya Pak Abas yang menjalankan perniagaan menjual kerepek di kampungnya. Perniagaan ini adalah perniagaan warisan daripada ayahnya dahulu. Jadi, Pak Abas membantu ayahnya yang telah tua kerana sudah tidak mampu melakukan pekerjaan berat lagi. Semakin lama, minatnya telah mendalam dalam dunia perniagaan dan dia menguruskan sepenuhnya perniagaan ini selepas kematian ayahnya. Pada awal penglibatan dalam dunia penjualan kerepek, arwah ayah Pak Abas berniaga dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas Pak Abas mengambil alih, dia telah membuat pinjaman dengan bank untuk mendirikan sebuah kilang pembuatan kerepak yang terletak di belakang rumahnya. Pendapatanya semakin maju tambahan pula semasa musim perayaan dan juga musim perkahwinan. Kerana Pak Abas telah mendapat pengalaman yang banyak semasa membantu arwah ayahnya dahulu. Kini, Pak Abas telah mendirikan lima buah kilang di daerah dalam negerinya.

4. Mengupah pekerja yang boleh dipercayai

Setelah mempunyai kedudukan yang baik dalam perniagaan yang diceburi, pasti kita ingin meluaskan perniagaan itu. Katakan perniagaan kedai pakaian lelaki dan wanita. membuka cawangan baru memerlukan lebih ramai perkerja untuk menguruskannya. Maka, kita perlu mengupah orang yang boleh dipercayai untuk memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak dirosakkan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan kita. Mungkin kita boleh mengupah jiran yang telah lama kita kenali sebelum memulakan perniagaan itu atau juga mengupah kawan-kawan yang sudah kita maklum dengan hati budi mereka. Jika tidak, perniagaan kita akan musnah berikutan ada pihak yang iri hati dengan kesenangan dan kemewahan yang kita capai. Oleh sebab itu, kita perlu menjalin perhubungan yang baik dan tidak bermusuh dengan semua orang agar kita juga selamat dan perniagaan kita terus maju.

5. Mempunyai strategi yang berkesan

Selain itu, untuk memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya, kita juga perlu mempunyai strategi yang berkesan. Bukan sahaja perniagaan, setiap pekerjaan yang dilakukan juga memerlukan perancangan yang sempurna. Jika tidak impian itu akan musnah di pertengahan jalan. Contohnya memulakan perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi. Dalam dunia yang serba canggih dan maju ini, kita sering dihantui dan dibayangi dengan pelbagai wabak penyakit yang disebabkan penyalahgunaan bahan kimia industri, wabak penyakit yang disebabkan bahan kimi berlebihan dalam bekalan makanan seperti sayur dan wabak penyakit berjangkit yang mudah disebarkan melalui migrasi manusia atau haiwan. Wabak penyakit berbahaya memang sukar untuk diubati, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk mencegahnya. Maka, perniagaan dalam bidang ubat-ubatan dan farmasi sentiasa mendapat sambutan yang baik kerana kita tidak mampu menjangka saat kita akan ditimpa penyakit. Perniagaan ini adalah perniagaan yang mampu memberi keuntungan kepada pengusaha. Masyarakat hari ini juga semakin bijak untuk menentukan ubat yang berkesan bagi penghalang penyakit merebak.

6. Mendengar dan mengikuti kemahuan pelanggan

Pihak yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu adalah pelanggan dan orang ramai. Maka, hasrat dan kemahuan mereka perlu diambil kira dan tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak, pelanggan akan lari dan kita yang akan mengalami kerugian kerana gagal memenuhi kehendak mereka. Sekurang-kurangnya kehendak pelanggan memberikan kita sesuatu yang baru untuk dicuba dalam dunia perniagaan itu. Contoh yang paling rapat dengan masyarakat adalah perniagaan francais iaitu McDonalds, yang berjaya meluaskan perniagaan ke serata dunia. McDonalds di India telah menyediakan menu khas bagi penduduk India dengan menyediakan burger ayam. Mereka telah tampil dengan Chicken Maharaja Mac, kerana meraka tidak boleh memakan daging. Selain itu, di Itali pula, mereka telah menyediakan burger yang disajikan dengan daging khinzir. Di Norway pula, burger telah disajikan dengan kepingan daging ikan salmon yang menjadi kegemaran penduduknya. Manakala di Thailand, ia juga disajikan dengan memasukkan perisa tomyam yang disesuaikan dengan selera pelanggan. Tidak kurang hebat juga dengan McDonalds di Malaysia.

7. Bersedia untuk memulakan perniagaan yang besar

Perniagaan yang semakin maju menjadi idaman semua usahawan. Tetapi adakah kita sudah bersedia untuk memulakan perniagaan ke peringkat yang seterusnya? Kejayaan kita mampu diukur setelah kita melihat dan merasakan sambutan yang diterima ramai orang. Katakan dulu Iqbal hanya menjual laksa dengan menaiki motorsikal sahaja. Selepas 5 tahun bersusah-payah, dia telah mengumpul wang yang banyak dan membuka sebuah kedai laksa bersama adik lelakinya. Memang cita-cita Iqbal untuk membuka sebuah kedai laksa daripada resipi arwah ibunya. Dia telah bersedia dengan sepenuhnya. Dengan pembukaan kedai baru itu, Iqbal menjadi semakin bersemangat untuk bekerja dan juga untuk merubah masa depannya. Semakin hari, perniagaannya semakin maju. Kerana Iqbal sudah mempunyai pelanggan tetap selama 5 tahun sepanjang dia berniaga menaiki motorsikal roda tiga.

Secara kesimpulannya, tips ini perlu diamalkan agar perniagaan yang kita ceburi itu menampakkan hasil dengan titik peluh yang dikorbankan. Kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat. Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata yang mudah, setiap usaha yang kita lakukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti. Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkan-Nya.

Kenapa anda perlu takut berniaga

Takut berniaga dengan tidak berniaga adalah dua perkara yang berbeza. Orang yang berjaya menjadi usahawan dan berjaya membina empayar perniagaannya adalah orang yang teruskan juga merealisasikan perniagaan walaupun dalam keadaan takut.
Orang yang akhiri hidupnya sampai tua makan gaji dan kekal pencen tetap masih tak berniagaa adalah orang yang hakikatnya takut berniaga dan melayan perasaan takut itu untuk menjadi penghalang ia meneruskan cita-citanya.
Banyak saya baca laporan berkenaan perbezaan jurujual yang berjaya dengan tidak berjaya mengalami perasaan takut yang sama. Tapi mereka dibezakan oleh sikap terus buat juga walaupun dalam keadaan takut sedangkan satu kumpulan lagi berhenti melakukan urusan mereka kerana dihantui perasaan takut.
Begitu juga dengan urusan kerja lain seperti berpidato, bertemu orang, meyakinkan orang memujuk orang, berniaga dan lain-lain lagi. Semua orang ada perasaan takut.

Sejarah takut berniaga

Otak kita pandai membayangkan seribu satu macam andaian yang mengerikan untuk menghalang kita daripada meneruskan apa saja yang boleh mendatangkan risiko.
Ini adalah peranan otak primitif yang dikaitkan dengan cara hidup kita pada zaman primitif dahulu. Zaman itu, risiko bermakna pilihan hidup atau mati. Bila ada risiko yang dihidu, otak akan cergas berusaha menyelamatkan tuannya.
Dipulau oleh rakan-rakan atau puak pada zaman dahulu sahaja boleh mengundang bahaya. Andainya kita bersikap pelik luar biasa daripada rakan-rakan atau puak kita, penyingkiran daripada puak mengakibatkan diri kita keseorangan.
Bila keseorangan, kita tak mampu mempertahankan diri. Terlalu sukar untuk keluar pergi berburu binatang untuk dijadikan makanan secara solo. Keluar memburu seorang diri boleh mengakibatkan leher kita berada di celah rahang haiwan buas.
Salah satu risiko yang otak bayangkan jika kita berhenti kerja dan jadi usahawan adalah risiko keluar daripada puak yang biasa kita gauli. Bagi otak, itu satu risiko besar yang boleh membawa maut, maka berbagai usaha otak lakukan untuk takutkan tuannya.

Redakan perasaan takut berniaga

Tapi anda perlu sedar bahawa zaman dahulu jauh berbeza dengan zaman sekarang. Kebanyak daripada risiko tidak berada di dalam kategori antara hidup dan mati.
Dipulau oleh rakan atau saudara terdekat hanya disebabkan kita nak jadi usahawan walaupun ada kelulusan tinggi untuk jadi hamba abdi pada majikan tidak membuatkan manusia sekarang mati kebuluran.
Untuk membolehkan seseorang itu dapatkan makanan samada untuk dirinya ataupun untuk tanggungannya adalah satu urusan mudah dalam zaman ini.
Saya lihat ramai orang yang tua masih kekal hidup samada secara solo ataupun dijaga keluarga. Paling ketara adalah golongan orang tua yang jadi gelandangan. Bukankah sesuatu yang hebat melihatkan diri mereka masih kekal hidup dan dapat makan? dengan usaha sedikit mereka itu ada saja makanan masuk ke dalam mulut mereka.
Secara ringkasnya, apa yang nak saya sampaikan adalah, takut berniaga boleh diatasi jika anda berjaya yakinkan otak primitif anda bahawa berhenti kerja dan berniaga tidak akan membuatkan anda maut.
Kecuali anda berhenti kerja dan mula jalankan perniagaan morfin, ganja, kokain, pil kuda atau yang seumpamanya, itu memang ada risiko ke tali gantung. Jadi jangan pilih perniagaan sebegitu.

Apa kegunaan takut berniaga

Kembali pada zaman primitif dahulu, perasaan takut adalah tugasan otak untuk selamatkan diri kita. Dalam keadaan tengah lapar dan ketika sedang masak untuk makan, kita akan cabut lari bila terdengar bunyia ngauman harimau.
Lari itu akan berlaku secara spontan. Kalau tak buat begitu, kita akan maut dibaham harimau.
Dalam zaman moden ini, kita akan ada perasaan takut yang sama bila ada petanda bahaya. Tapi disebabkan ianya tidak berapa kritikal dan tak boleh membuatkan kita mati on the spot, maka perasaan takut itu menjadi satu perkara yang baik.
Baik kerana ia memberikan petanda untuk kita bersedia dengan plan kecemasan. Jika anda takut berhenti kerja dan berniaga disebabkan imaginasi tak boleh bayar sewa rumah, maka bersedialah dengan membuat risk study.
Senaraikan segala risiko yang ada akibat daripada tak boleh bayar sewa rumah. Senaraikan juga alternatif yang ada bagi menyelesaikan risiko tersebut. Paling mudah sekali adalah dengan membuat andaian risiko paling teruk yang ada dan kemudian cari jalan keluar untuk selesaikannya.
Secara mudahnya, takut berniaga adalah amaran awal otak anda untuk sediakan perancangan kecemasan. Bila dan rangka plan kecemasan itu, teruskan langkah untuk melakukan apa yang anda nak buat.
Rumusannya, takut berniaga membolehkan anda kreatif untuk merancangan dengan baik. Bukankah itu satu kebaikan untuk anda ?, masalahnya, ramai orang yang takut berniaga dan takut macam-macam, tapi mereka tak gunakan otak untuk merangka strategi penyelesaian secara sistematik melainkan hanya membesar-besarkan ketakutan itu dalam otak sahaja.
Perancangan serta pemikiran dalam mengatasi takut berniaga itu perlu dikeluarkan daripada dalam kepala dengan menulis atas kertas. Jangan hanya congak dalam kepala. Jika anda buat begitu, anda boleh melihat dengan lebih jelas.
Jika anda dah buat kesemua itu dan nampak dengan jelas segala risikonya dan jalan penyelesaiannya, tapi masih takut berniaga, tak apa. Elok jangan berniaga dan teruskan makan gaji dan mati putih mata sebab orang macam itu memang tak layak jadi usahawan. Mereka hanya layak jadi pencetus alasan dan berkhidmat pada para majikan… jangan terasa jika anda begitu, ok!
Kredit to:http://hidupringkas.com/keusahawanan/kenapa-anda-perlu-takut-berniaga/

Petua Rancangan Perniagaan untuk usahawan

Petua Rancangan Perniagaan untuk usahawan ini saya ambil dari bahan penulisan Centre for Entrepereneur Development and Research (CEDAR). Ia merupakan tulisan Abdul Aziz Abdul Samad dan Zaini Jasami @ Jasmi.
Bagi kebanyakan usahawan terutamanya yang dah buat setting dalam fikiran bahawa Rancangan Perniagaan itu hanya untuk mereka yang mengaji tinggi, tentu merasa sukar untuk menyediakannya.
Bagi yang tak pernah berniaga juga akan rasa ianya satu bebanan dan susah nak buat rancangan perniagaan ini.
Malah mereka tidak ada keyakinan untuk meyakinkan pihak pembiaya kewangan agar meluluskan Rancangan Perniagaan mereka sebab anggap Rancangan Perniagaan mestilah hebat.
Saya berikan petua Rancangan Perniagaan ini dalam bentuk point supaya anda mudah nak hadam bila perlu buat nanti.
  1. Rancangan perniagaan biasanya mesti dihantar bersama dengan perkara berikut:
    1. Borang permohonan pembiayaan
    2. Sijil pendaftaran perniagaan / syarikat
    3. Sebut harga mesin dan peralatan serta lain-lain bersangkutan
    4. Penyata bank akaun syarikat / perniagaan
    5. Lain-lain lampiran yang berkenaan.
  2. Pihak pembiaya kewangan akan menilai risiko pembiayaan terhadap perniagaan anda. Ia bergantung pada jenis bank:
    1. Bank biasa yang konvensional akan hanya ambil risiko yang rendah. Oleh itu anda perlu buktikan perniagaan anda amat tinggi kemungkinannya untuk berjaya dan telah terbukti dari sejarah butiran akaun syarikat anda yang lalu (sekurang-kurangnya 6 bula terakhir).
    2. Pihak bank pembangunan biasanya sanggup ambil risiko lebih sikit berbanding bank biasa. Bank sebegitu adalah seperti SME Bank, PUNB, MARA dan lain-lain seumpamanya. Mereka terpaksa buat begitu sebab mendapat mandat dari Kerajaan.
  3. Rancangan perniagaan anda mestilah ada dua ciri penting ini:
    1. Punya kemampuan untuk bayar balik pembiayaan yang diberikan.
    2. Ada disiplin dan keinginan untuk bayar balik pinjaman. Oleh itu sejarah aktiviti pinjaman anda mesti baik.
  4. Semua maklumat mestilah mudah difahami dan mencukupi serta logik. Oleh itu dokumen sokongan mestilah ada serta lengkap. Ini untuk memudahkan pembiaya buat keputusan. Untuk itu Rancangan Perniagaan anda mestilah:
    1. Ringkas dan padat. Tak perlu buat ayat berbunga macam nak tulis Novel. Gunakan perkataan mudah dan bukannya bahasa pasar atau ejaan sms atau budaya ‘leteu’ dan sebagainya.
    2. Gunakan ayat pendek dan mudah. Ingat !, tiada penilaian terhadap bahasa tinggi dan berbunga. Sebaiknya satu ayat untuk satu fakta dan beri rujukan pada dokumen sokongan.
    3. Lebih mudah jika anda sertakan fakta dalam bentuk jadual, rajah, graf atau carta. Tak perlu buat penerangan berjela-jela.
    4. Gunakan satu bahasa saja, samada Bahasa Malaysia ata Bahasa Inggeris.
  5. Ingat ! semua perangkaan mesti logik. Contohnya jangan anda belasah unjuran jualan produk anda 10 ribu unit sebulan sedangkan kapasiti (keupayaan) pengeluaran anda hanya seribu unit sahaja sebulan.
  6. Biasanya ada 4 aspek utama yang pihak pembiaya akan buat penilaian, iaitu:
    1. Operasi
      1. Pastikan anda sebut lokasi dan beri maklumat serta lampiran lokasi jika anda belum berniaga, atau nak buka cawangan baru. Dapatkan maklumat kadar sewa, deposit dan sebagainya. Seeloknya jangan sewa terlebih dahulu.
      2. Jika perlu buat ubah suai, pastikan ia perlu untuk operasi perniagaan anda dan harganya berpatutan.
      3. Sebutkan peralatan atau mesin berserta dengan maklumat pembekal dengan sebut harga perbandingan. Pastikan hanya yang perlu sangat-sangat sahaja dan harga mesti patut.
    2. Kewangan
      1. Angka-angka yang anda beri mesti logik. Macam mesin nak kena beli mesti ada bukti sebut harganya.
      2. Angka unjuran juga mesti logik. Dapatkan maklumat dari usahawan lain yang ada pengalaman atau dari pakar atau dari data industri. Anda juga boleh gunakan maklumat dari rekod perniagaan anda yang lalu.
    3. Pengurusan
      1. Letakkan semua kakitangan pengurusan utama yang penting untuk perjalanan perniagaan. Kalau nak buka restoran sebagai contoh, tukang masak adalah kakitangan utama.
      2. Masukkan semua biodata kakitangan utama tersebut.
    4. Pemasaran
      1. Dapatkan maklumat pasaran anda secara betul. Penting untuk buat kajian pasaran untuk dapatkan maklmat berikut:
        1. Lokasi pasaran atau kawasan pasaran anda
        2. Saiz pasaran atau jumlah pelanggan berpotensi
        3. Anggaran pendapat dari pasaran yang ada. Ianya mesti logik. Jangan temberang anda boleh jual produk lebih banyak dari pesaing lain yang sudah lama dan lebih besar dan lama dari anda.
        4. Dapatkan maklumat dari samada Google atau Jabatan Perangkaan.
        5. Pasaran yang anda sasarkan mesti jelas. Berikan senarai jika ada.
Dengan maklumat atau petua Rancangan Perniagaan yang saya berikan di atas, jelas bahawa untuk menyediakannya bukanlah sesuatu yang sukar.
Ingat ! rancangan perniagaan tak semestinya panjang. Sekadar 15 ke 20 mukasurat dah mencukupi.
Jika anda benar-benar menghayati perniagaan yang anda sedang jalankan atau akan jalankan, sudah tentu anda tak akan mengarut dan berlebih-lebihan.
Rujukan:http://hidupringkas.com/keusahawanan/petua-rancangan-perniagaan-untuk-usahawan/

3 sebab orang jadi usahawan

Mungkin ramai menyangka duit merupakan sebab utama yang membuatkan orang berhenti kerja makan gaji dan berniaga.
Tetapi bancian yang dijalankan terhadap 1,700 taukeh mendapati bahawa duit bukanlah faktor utama atau yang paling penting.
Berikut 3 faktor utama orang jadi usahawan:
  1. Kebebasan mengejar peluang baru – Peluang yang terbukan luas apabila terjun jadi usahawan merupakan faktor yang cukup penting untuk seseorang terjun menjadi usahawan.
  • Sudah tentu mereka yang terjun berniaga terlebih dulu nampak peluang di hadapan lalu terus terjun untuk mendapatkannya. Kalau terus terjun dengan harapan akan bertemu peluang alamat nak cari nahas le tu.
  • Biasanya peluang pertama yang dilihat kemudiannya direbut akan disusuli pula dengan peluang-peluang lain yang baru. Ini perkara biasa apabila kita menjadi usahawan yang kerjanya mencari peluang. Apabila kita mencari, maka mudahlah untuk nampak.

  • Bertekad merealisasikan minat sendiri – Mengejar minat atau kecenderungan tersendiri tanpa rasa terkongkong atau terbatas juga merupakan satu lagi faktor orang jadi usahawan.

    • Jika makan gaji, semua objektif telah ditetapkan oleh pihak atasan atau majikan. Kita hanya perlu menurutinya dan kalau nak kreatifpun mungkin sekadar terhad pada strategi atau kaedah untuk mencapai objektif sahaja.
    • Bila kita bebaskan diri daripada ditentukan orang lain, maka kita sendirilah yang menentukan hala tuju terhadap apa yang kita minat, percaya atau yakin.
    • Melakukan sesuatu yang diminati juga membuatkan susah payah tidak terasa. Ini juga amat membantu dalam menghadapi tempoh cabaran saat-saat mula menjadi usahawan sehingga berjaya. 

  • Membebaskan diri dari rasa dikawal orang lain – Faktor ini adalah lanjutan daripada faktor yang telah disebut di atas tadi.

    • Lumrah mereka yang bercita-cita tinggi dan bertenaga tidak gemar dirinya dikawal oleh orang lain. Ini juga merupakan salah satu ciri-ciri ketua yang degil dengan caranya tersendiri dan rasa tercabar apabila disuruh ke sana ke mari.
    • Apabila tiada sesiapa yang mengawal, maka apa yang perlu dilakukan dan pada masa mana ianya perlu dilaksanakan menjadi hak kebebasan diri sendiri. Jika kita melakukannya adalah atas dorongan keputusan sendiri tanpa paksaaan.
    • Masa yang fleksibel merupakan satu nikmat yang cukup berharga bagi mereka yang ada disiplin yang tinggi. Sebaliknya ia adalah satu masalah pada mereka yang tidak ada disiplin kerana tiadanya kawalan membuatkan manusia sering menangguh-nangguh apa saja yang penting yang perlu dilakukan.
    Sudah tentu ketiga-tiga faktor pendorong di atas yang membuatkan seseorang jadi usahawan akan disusuli dengan ganjaran kejayaan atau wang ringgit.
    Jika terkial-kial terlalu lama melayan dorongan yang tersebut tanpa keupayaan menyara kehidupan dan ditambah dengan tekanan daripada tanggungan, siapa saja akan hilang punca.
    Apabila hilang punca, kalau tak kena gaya anda akan mengalah dan mula memikirkan semula untuk makan gaji.
    Cuma mereka yang bersabar dan berfikir dengan tenang untuk menyelesaikan segala masalah yang sedang dihadapi saja akan lepas terselamat dan naik semula.
    Di sinilah perlunya kawan-kawan, saudara mara, mentor, dan lain-lain seumpamanya bagi menyuntik kekuatan dan semangat untuk terus ke hadapan.
    Anda bagaimana? kalau dah berniaga, mana satu yang menjadi dorongan anda ketika membuat keputusan untuk menjadi usahawan.
    Kalau masih makan gaji, agak-agaknya ada tak salah satu daripada tiga faktor tersebut di atas terlintas dalam fikiran?
    Kalau hanya sekadar faktor nak jadi kaya sahaja selama ini yang anda fikirkan, elok fikirkan semula….!
    Cuba fikirkan samada:
    • Tak teringin kah anda mengejar berbagai-bagai peluang yang terbentang luas di hadapan, di muka bumi Allah yang luas ini? atau anda selesa menjadi seperti ayam daging yang terkurung dalam kandang berhawa dingin dan disembelih bila tiba masanya?
    • Tak kan tak ada satu pun minat yang tersemat kuat dalam dada. Cuba fikirkan jika faktor wang bukanlah satu masalah, bagaimanakah anda akan mengisi masa yang ada atau apakah yang akan anda usahakan sementara menunggu masuknya waktu magrib?
    • Suka ke asyik kena ikut perintah boss dari umur 24 tahun sehingga tua lanjut 60 tahun dan kemudiannya pencen? Tak takut kah di hari tua nanti bila dah pencen terus jadi gelabah kerana tak ada orang lagi nak suruh itu dan ini? maklumlah dah terbiasa kena kawal dengan boss!

    Usahawan: Adakah ianya dilahirkan atau dibina?


    usahawan_dibina
    Memperkasakan ekonomi diri sendiri dahulu sebelum anda ingin memperkasakan ekonomi dunia.
    Tahukah anda bahawa secara amnya ekonomi dunia ini telah direka untuk sentiasa meningkat. Ini bermakna kos saraan hidup akan terus naik dari tahun ke tahun tanpa henti.  Adakah anda masih ingat berapa sen yang anda bawa ke sekolah ketika anda kecil? Saya masih ingat lagi pada zaman saya membawa duit poket sebanyak 50 sen ketika saya bersekolah rendah. Anda boleh teka berapa umur saya pada zaman tersebut? Ketika itu saya bersekolah rendah di antara tahun 1980-an. Adakah hari ini  ianya mencukupi sekiranya kita memberikan duit poket hanya sebanyak 50 sen? Pastinya tidak. Kenapa? Kerana ada satu perkara tentang sistem ekonomi dunia yang anda perlu faham iaitu masalah inflasi. Samada anda suka atau tidak, duit sentiasa susut nilai dan harga barang 10 tahun dahulu seperti harga rumah, barang dapur dan banyak lagi pastinya tidak akan sama. Jadi usahlah kita membuang masa menunding jari kepada sesiapa sahaja apabila kenaikkan ini terjadi. Dari anda pening memikirkan masalah ekonomi dunia atau cuba menjadi “Superman” mahu merubah ekonomi dunia, lebih baik anda fikirkan bagaimana hendak mengukuhkan lagi ekonomi diri sendiri dan keluarga.
    Mungkin anda boleh mula dengan mengurangkan perbelanjaan yang tak sepatunya dibelanja. Mula perhatikan aliran wang keluar masuk anda dan isi rumah. Cuba mencari jalan untuk menambahkan lagi simpanan dan yang paling penting, mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan bagi menampung kenaikan saraan hidup yang luar biasa ini. Antara cara meningkatkan pendapatan adalah melalui bekerja makan gaji ataupun berniaga sendiri.
    Ramai yang menganggap dengan mempunyai kelulusan yang tinggi sahaja boleh menjamin mendapat pekerjaan yang bagus serta gaji yang lumayan. Mungkin fahaman ini telah dipupuk dari kecil sehinggakan ia telah menjadi satu bentuk budaya atau tradisi yang patut diikuti oleh kita sehingga ke hari ini. Tak salah mempunyai pendidikan yang bagus serta gred yang cemerlang, yang menjadi persoalannya kenapa anda perlu bekerja untuk orang lain sekiranya anda boleh berniaga sendiri.
    Masalahnya kebanyakan bangsa kita menjadikan perniagaan itu satu pilihan terakhir di dalam memilih kerjaya sedangkan jika anda melihat kaum cina, berniaga merupakan satu keutamaan di dalam masyarakat mereka. Mereka seolah-olah percaya yang bangsa mereka wajib berniaga berbanding dengan bangsa saya yang rata-ratanya ditekankan tentang betapa pentingnya untuk makan gaji terutamanya bekerja dengan kerajaan. Ia seolah-olah pilihan selamat untuk mendapat pencen satu hari nanti.
    Kaum bumiputera, bangkitlah dari keselesaan anda sekarang! Sedarlah yang kehidupan anda hari ini dalam keadaan membimbangkan. Pendapatan melalui makan gaji tidak dapat menampung dari getaran kewangan ekonomi dunia. Tetapi jika anda berniaga dan menjadi usahawan yang bermatlamat, anda pasti mampu tersenyum melihat gelagat ekonomi sedia ada dan juga yang bakal menjelma. Jika anda dapat menguasai ekonomi diri sendiri anda dapat tentukan apa yang anda inginkan dan ini merupakan salah satu kelebihan menjadi seorang usahawan.
    Bakat dan ilmu merupakan antara intipati untuk menjadi seorang usahawan.
    Kebiasaannya ramai yang beranggap untuk menjadi usahawan berjaya memerlukan bakat semulajadi ataupun diwarisi dari keluarga. Realitinya, untuk menjadi usahawan anda tidak memerlukan bakat yang hebat tetapi apa yang anda perlukan adalah ilmu yang mencukupi. Dari ilmu, bakat dan kemahiran akan dibina secara tidak langsung ke dalam diri usahawan tersebut secara berperingkat sehingga ia menjadi darah dagingnya sendiri. Ramai yang telah lahir menjadi usahawan yang berjaya terutamanya beberapa tahun ke belakangan ini di kalangan bumiputera dengan sokongan dari pihak kerajaan serta inisiatif banyak pihak termasuk saya di dalam membantu melatih membangunkan usahawan yang berjaya.
    Jika anda perhatikan mereka yang menjadi usahawan yang berjaya, ramai daripada mereka yang tidak mempunyai latarbelakang keluarga yang berniaga atau mempunyai kelulusan MBA di dalam pengurusan perniagaan, malah ramai yang mempunyai latarbelakang kelulusan bidang pengurusan perniagaan yang takut berniaga atau gagal di dalam perniagaan mereka. Adakah kita perlukan “genetik” usahawan untuk menjadi usahawan? Pada tahun 2010, penulis buku “Born Entrepreneurs, Born Leaders”, Scott Shane, seorang professor bidang kajian keusahawanan di Cleveland Case Western Reserve University menganjurkan bahawa masalah genetik tidak mempengaruhi samada seseorang itu akan memilih untuk bekerja atau berniaga; tetapi beliau tidak menafikan bahawa faktor sekeliling banyak mempengaruhi seseorang membuat keputusan untuk berniaga.
    Usahawan datang dari semua lapisan masyarakat, semua kumpulan umur dan dari segala sudut. Mereka adalah orang-orang biasa seperti anda dan saya. Mereka telah tinggal dan bekerja di negara ini. Mereka telah menghadapi masalah yang sama yang kita hadapi setiap hari. Mereka mempunyai akses kepada sumber-sumber yang sama, seperti yang kita miliki.
    Namun, apa yang membezakan usahawan dan orang biasa ialah ilmu dan pilihan berani bertindak membuat keputusan dalam mencapai sesuatu perkara.
    Bagi mewujudkan lebih ramai usahawan di negara ini, kerajaan telah memperkasakan penyertaan Bumiputera ke dalam sektor perniagaan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah mengumumkan lima teras untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam ekonomi negara. Antara teras itu ialah penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang tidak lama lagi akan dipengerusi oleh perdana menteri sendiri. Dengan kemudahan ini, ia akan memberi banyak peluang keemasan serta memudahkan  usahawan-usahawan Bumiputera untuk memperluaskan lagi perniagaan mereka.
    Mungkin anda tengah tersenyum ghairah mendengar peluang-peluang yang bakal menjelma. Ini merupakan salah satu cara pemangkin kerajaan memastikan kaum Bumiputera tidak ketinggalan dalam dunia keusahawanan di Malaysia. Dengan ini, usahawan Bumiputera tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada perlindungan dari kerajaan. Tetapi percayalah, tanpa bantuan kerajaan sekalipun, kita sebenarnya mampu membina perniagaan kita sendiri berbekalkan formula-formula membina perniagaan yang terbukti berjaya.
    Sebenarnya peluang mendapat pendapatan yang lebih tinggi sememangnya menuntut untuk kita menjadi usahawan. Jika anda masih lagi bersandarkan kehidupan makan gaji, inilah masanya untuk anda mula berjinak-jinak dalam dunia keusahawan. Tetapi ingat, jangan terjah dalam dunia keusahawanan jikalau anda masih belum mempunyai ilmu yang cukup tentangnya. Mulalah mencari ilmu melalui pembacaan buku, hadiri seminar-seminar keusahawan dan pastikan anda mempunyai mentor yang betul untuk menolong anda mencapai arah yang ingin ditujui dengan mudah dan pantas.
    Sumber: Azizan Osman pada 01 Oktober 2013Dr Azizan Osman, Penulis, Usahawan, Pakar Pembangunan Usahawan & Pemasaran

    Jual ulam raih RM30,000 sebulan

    KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...