Carian Maklumat Di Sini...

Google

Cara Mudah Tanam Daun Kesum dalam Pasu


Daun kesum adalah antara daun wajib ada dalam masakan laksa dan asam pedas. Ramai yang bertanya kepada saya cara tanam daun kesum. Mari kita belajar cara mudan penanam pokok herba ini.

Maklumat botani

Nama: Daun kesum, cenohom
Nama Inggeris: Vietnamese corriander
Nama saintifik: Persicaria tenella / Polygonum minus
Keluarga: Polygonaceae

Kesum adalah pokok berbatang lembut. Pokok ini dikategorikan sebagai pokok herba.

Penyediaan pasu

Daun kesum suka tanah yang berair dan lembab. Oleh itu kita perlu sediakan pasu yang ada takungan air. Cari pasu atau bekas yang tidak berlubang. Seterusnya tebuk di tepi pasu tersebut setinggi 5-10 cm. Saya tebuk dengan memanaskan pemutar skru di atas dapur. Boleh juga tebuk dengan paku panas. Kalau ada mesin gerudi, boleh guna juga.

Biar air dapat bertakung di bawah pasu nanti. Ada orang memberi tip untuk tidak menebuk langsung. Biar buat air bertakung. Masalah yang akan muncul pula adalah nyamuk mungkin akan bertelur pada takungan air dalam bekas. Nanti kita akan ada masalah dengan pegawai kesihatan apabila jejentik banyak membiak.

Gunakan pasu yang tiada lubang. Seterusnya tebuk lubang pada pasu di bahagian tepi dengan jarak 5-10 cm dari bontot pasu.

Penyediaan Tanah

Daun kesum tidak cerewet. Apa-apa tanah sesuai asalkan tanah tersebut sentiasa lembab. Saya paling suka tanam guna tanah yang kaya dengan bahan organik. Anda boleh buat sendiri campuran tanah dengan membaca pada tulisan saya ‘Cara Membuat Campuran Tanah Sendiri‘.

Cara Tanam

Cara tanam kesom paling mudah adalah dengan keratan batang. Kita boleh dapatkan keratan batang kesum yang dijual di pasar.

Potong daun kesum sekitar 15cm. Buang daun bahagian bawah. Biarkan sekitar 2-3 helai daun di bahagian pucuk. Sebab kita kurangkan daun adalah agar kita dapat kurangkan proses transpirasi. Transpirasi adalah proses pokok kehilangan air yang banyak. Jika nak dibandingkan dengan manusia, seperti kita berpeluh.

Apabila pokok kurang melakukan proses transpirasi, maka akan kurang kehilangan air. Seterusnya pokok boleh fokus pada pengeluaran akar yang baharu pada pangkal bawah batang.

Selepas itu tanam keratan batang ini sedalam dua per tiga panjang keratan. Jika keratan dipotong sepanjang 15 cm, maka lubang tanaman adalah 10 cm. Satu lubang masukkan sekitar 2-3 keratan. Jarak antara lubang boleh sekitar 5-10cm.

Letak di tempat redup selama 7 hari agar keratan dapat mengeluarkan akar dahulu. Tempat redup ini boleh di tepi rumah yang tidak terkena cahaya matahari terus. Tetapi bukanlah tempat yang gelap seperti di dalam garaj atau bilik.

Setelah itu boleh letak di tempat yang terkena cahaya matahari penuh. Kesum boleh hidup pada dua keadaan iaitu cahaya matahari penuh atau separa-redup.

[VIDEO] Cara semai kesum daripada keratan batang beli dari pasar

Penjagaan

Daun kesum jarang diserang penyakit. Mungkin akan ada kerosakan seperti berlubang pada daun kesum tetapi tidak perlu risau. Hal ini kerana daun kesum boleh bertindak sebagai penarik serangga.

Bermakna, jika ada pokok cili dan pokok kesum bersebelahan, belalang akan pilih kesum dahulu untuk makan. Apabila kenyang, belalang tak sempat nak ke pokok cili.

Siram pokok sekali sehari. Jika cuaca kering, siram dua kali sehari.

Untuk pembajaan, boleh bubuh baja organik seperti tahi ayam atau kompos sebulan sekali dengan kadar segenggam.

Pokok kesum yang hidup subur dalam pasu.

Cara tuai

Kita menuai dengan mencantas daun kesum 10cm dari pangkal. Setelah itu pastikan kita membaja. Perlu ingat, kita kembalikan apa yang telah kita ambil.

Jika tidak tuai pun, apabila daun kesum mula merimbun, perlu sentiasa buat penyelenggaraan dengan mencantas semua daun pada aras 10cm dari pangkal. Selepas itu berikan baja.

Pemasuan Semula

Sekitar 5-10 bulan selepas tanam kita akan mula lihat daun kesum semakin menguning walaupun telah kita berikan air, baja dan cahaya yang cukup. Ini tanda kita perlu membuat pemasuan semula.

Cantas batang kesum sehingga hanya tinggal 10 cm dari pangkal. Selepas itu siram pasu. Siraman ini akan memudahkan kita mengeluarkan kesum dari pasu.

Kita akan lihat akar yang penuh. Di sini cantas akar kesum satu per tiga dari bawah dan dari tepi. Usah risau. Fungsi mencantas ini bagi menggalakkan kesum mengeluarkan akar baharu.

Apabila akar pokok dalam pasu mula penuh begini, masanya untuk memotong akar sekitarnya. (foto)

Setelah itu isi semula pasu dengan tanah campuran yang kaya dengan kompos. Masukkan pokok kesum dan penuhkan dengan tanah campuran itu.

Akhir sekali letak pokok kesum di tempat redup selama 7 hingga 10 hari bagi memulihkan pokok dari kejutan pemasuan semula.

Anda akan dapat lihat pokok kesum anda kembali segar selepas tempoh pemulihan.

Ulang proses ini apabila anda lihat kesum menampilkan tanda-tanda yang disebut di awal pemasuan semula ini. Biasanya sekitar 5-6 bulan sekali kita perlu buat pemasuan semula.

[VIDEO] Contoh cara untuk memotong akar pada akar yang sudah penuh dalam pasu.

Rumusan

Daun kesum paling sedap dibuat dalam masakan. Tidak semua tempat jual. Jadi menanam sendiri daun kesum adalah pilihan terbaik. 

Sumber: https://kebunbandar.com/tanam-daun-kesum/

Bahaya Furadan Yang WAJIB Setiap Petani Tahu


Furadan sangat berkesan untuk mencegah tanaman daripada dimakan oleh serangga sebaik sahaja ditabur.

Namun begitu, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa apa-apa racun yang mengandungi carbofuran telah lama diharamkan penggunaannya seperti Kanada dan Persatuan Eropah (EU) dalam tahun 2008. Ini diikuti Amerika Syarikat pada tahun 2009. Manakala Kenya bercadang mengharamkannya, tetapi masih membenarkan jualan di kedai pertanian.

Sedihnya, di Malaysia, racun ini dijual dengan bebas tanpa sebarang sekatan sehinggalah tahun 2019.

Racun Furadan berbentuk pasir, biasanya berwarna ungu. Fungsi utama adalah untuk membunuh serangga perosak dan nematod. Ia sangat berkesan sehinggakan jika seekor burung atau tupai termakan sebutir pun boleh terus mati.

Jika manusia termakan setengah sudu kecil teh pun sudah mampu masuk ke wad kecemasan. Silap silap boleh terus mati.

Furadan adalah racun sistemik yang bermakna racun ini akan menyerap dan kekal lama di dalam sistem tumbuhan. Batang, daun dan buah semuanya akan ada racun sebaik sahaja ia digunakan.

Kajian menunjukkan kesan racun furadan MASIH KEKAL walaupun selepas 3 bulan diberikan pada tanaman. Jadi kalau kita gunakan racun ini untuk tanaman kontan (yang boleh dituai hasil dalam 2-3 bulan) maksudnya racun tu masih ada kan?

Kesan Racun Furadan Kepada Manusia Petani Sayur
Kesan racun furadan kepada manusia.

Kesan Racun Furadan

Bahaya ke FURADAN ini? Ya, sangat bahaya dimana ia merupakan racun yang sangat toksik yang boleh membawa kepada kematian. Menurut laporan berita, di Kota bharu, Kelantan seramai tiga kanak-kanak beradik dimasukkan ke hospital selepas dipercayai terhidu serbuk racun jenis ‘Furadan’ ketika bermain ‘masak-masak’ di belakang rumah mereka di Kampung Berangan Pondok, Tumpat.

“Ibu mereka mendapati ketiga-tiga anak terbaring dengan badan yang lemah dan muntah-muntah di ruang tamu rumah,” katanya ketika dihubungi. Ini baru kes terhidu, belum lagi sisa racun perosak yang terdapat di dalam sayuran atau buah-buahan yang kita makan sekiranya ia disembur oleh FURADAN. Pelbagai impak buruk yang akan berlaku.

Ada laporan menyatakan bahawa furadan digunakan dalam penanaman tebu, tembikai dan jagung bagi tujuan mengawal serangga pengorek batang. Ada yang dengan gembira bahawa racun ini tidak akan masuk ke dalam buah.

Perlu kita ingat bahawa furadan ini adalah racun jenis sistemik, maknanya racunnya cair dalam air dan diserap masuk keseluruh bahagian pokok, mustahil ia berhenti mengalir hanya di tangkai buah. Sudah pasti ia turut masuk ke dalam buah.

Jika kita pula makan buahan yang tercemar, sisa baki racun ini juga akan berada dalam tubuh badan. Sisa baki racun ini akan terkumpul dalam badan tahun demi tahun. Sebab itu kita seperti mudah diserang pelbagai penyakit kronik walhal selalu makan sayur.

Boikot Furadan

Marilah kita sama-sama memboikot pengunaan furadan ini demi kemaslahatan sejagat. Terutama kepada petani-petani kita.

Terdapat alternatif kepada racun berbahaya ini iaitu dengan kita membuat racun furadan organik. Bahan-bahan untuk buat racun organik ini pun mudah didapati.

Sama-sama lah kita menjadikan amalan berkebun sentiasa memberi satu yang baik kepada diri kita dan keluarga.

Rujukan

CARA TANAM HALIA DALAM PASU

Halia boleh ditanam di dalam pasu selain daripada di atas tanah.

Maklumat Botani

Nama: Halia
Nama Inggeris: Ginger
Nama Saintifik: Zingiber officinale
Keluarga: Zingiberaceae

Halia adalah tumbuhan herba iaitu tumbuhan yang tiada berbatang keras seperti pokok mangga atau pun durian.

Halia mempunyai rizom iaitu akar yang terubahsuai sama seperti kunyit.

Pembiakan

Untuk membiakkan halia perlulah kita gunakan rizom. Paling bagus adalah kalau kita ambil halia yang telah ada mata tunas keluar.

Tetapi jika tiada, kita boleh gunakan sahaja rizom yang ada.

Masukkan rizom halia ke dalam plastik berisi tisu lembab. Sertakan sekali dengan beberapa keping bawang merah. Tutup plastik dan tunggu sekitar dua hingga tiga minggu untuk mula kelihatan mata tunas. Apabila mata tunas nampak, kita akan gelar sebagai benih rizom.

Benih rizom ini perlulah dipotong sekitar 3-5 cm dengan ada satu atau dua mata tunas per potongan.

Pada setiap rizom akan ada bonjol. Bonjol tersebut akan mengeluarkan mata tunas. sumber: foto

Semai benih rizom ini di dalam dulang semaian berisi sabut kelapa hancur (cocopeat). Biar sehingga benih rizom mengeluarkan akar dan membentuk anak benih halia.

Anak pokok rizom yang tumbuh di dalam dulang semaian. sumber: foto
Anak benih halia yang sudah boleh dipindahkan ke dalam pasu.

Kemudian kita akan pindah anak pokok ke dalam pasu. Proses semaian ini nampak rumit tetapi akan memberi hasil yang memuaskan berbanding kita tanam terus ke dalam pasu.

Video cara semai halia paling cepat.

Pemindahan ke dalam Pasu / Polibeg

Kita boleh lah pindah anak pokok bersaiz 10-15 cm tinggi ke dalam pasu.

Saya kongsikan petua agar rizom halia banyak. Semasa pindah, jangan isi penuh media tanah dalam pasu. Isi hanya 1/2 tanah sahaja dahulu. Apabila pokok halia semakin tinggi, tambah tanah sebanyak 2-3 cm tinggi sehingga menutup perdu. Aktiviti ini biasanya dalam sebulan sekali sehinggalah halia boleh dituai.

Biasanya setiap sebulan, halia akan mula nampak perdu untuk pertumbuhan baru. Tambah tanah pada perdu ini agar halia terus membesar. sumber: foto

Sambil top up tanah di pangkal pokok, sambil itu kita boleh membaja. Dalam segenggam baja organik.

Rizom halia ini bukanlah seperti ubi kayu yang tumbuh membesar ke bawah. Rizom halia akan tumbuh membesar ke atas. Sebab itulah penting untuk kita tutup perdu halia setiap bulan. Hal ini akan memberikan rizom halia yang banyak ketika kita tuai nanti. Sama seperti kita menanam ubi kentang. Top up, top up, top up.

Media Tanaman

Halia suka tanah yang kaya dengan bahan organik. Sebab itu bagus jika guna campuran tanah yang kaya dengan kompos. Untuk resipi campuran tanah boleh klik sini.

Ada juga bertanya kepada saya jika ingin guna sabut kelapa hancur (cocopeat) seratus peratus. Adakah menjadi?

Biasanya untuk penanaman fertigasi, petani memang akan menggunakan 100% sabut kelapa. Sebab mereka guna baja AB sebagai pembajaan.

Jika tanam di rumah, boleh juga guna baja AB. Siram tiga kali seminggu dengan baja AB dengan kepekatan 1.5 EC. Kalau nak tahu lanjut pasal baja AB, boleh klik sini.

Saiz Pasu / Polibeg

Halia sesuai ditanam dengan pasu berisipadu 15L ke atas. Untuk polibeg, saiz 16 inci x 16 inci ke atas sangat saya sarankan.

Apa yang penting ketinggian pasu perlulah sekurangnya 30cm dan ukurlilit 25 cm agar halia dapat berkembang dengan bagus.

Pembajaan Halia

Halia adalah tanaman yang banyak memakan baja berbanding tanaman lain. Asasnya, lagi banyak kita beri baja, lagi banyak pertumbuhannya.

Kita boleh mulakan dengan baja organik seperti kompos atau baja tahi ayam. Tabur sekitar segenggam sebaik sahaja kita menanam benih rizom ke dalam pasu.

Setelah itu tabur baja selang setiap dua minggu. Saya suka guna baja tahi ayam. Tak kisah la dalam bentuk pallet atau yang telah kering (beli dari kandang). Antara sebab adalah murah dan senang nak dapat.

Kalau kita ada baja organik lain, lagi bagus. Kuantiti seperti awal penanaman dalam pasu iaitu segenggam setiap pasu.

Cahaya

Pokok halia paling bagus ditanam di tempat separa redup. Jika terlalu terik matahari boleh menyebabkan daun halia kekuningan.

Kita boleh letakkan pasu di bawah pokok atau gunakan jaring hitam.

Contoh penanaman halia di bawah jaring hitam oleh petani halia fertigasi. sumber: foto

Sambil tambah tanah itu, sambil itu berikan juga baja.

Tuai

Halia boleh kita tuai dalam dua umur iaitu halia muda ataupun tua. Untuk halia muda, sekitar 5 bulan selepas tanam. Manakala untuk mendapatkan halia tua, kita perlu tunggu sehingga 7-9 bulan.

Halia muda – 5 bulan selepas tanam
Halia tua – 8 bulan selepas tanam

Cara tuai halia sangatlah mudah. Hanya perlu tarik halia dari dalam tanah. Leraikan tanah yang ada pada rizom.

Rumusan

Menanam halia di dalam pasu sangat sesuai untuk pekebun di rumah. Tanah yang tidak banyak tidak bermakna kita tidak boleh menanam halia.

Selamat mencuba!

Sumber:https://kebunbandar.com/tanam-halia-dalam-pasu/

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...