Carian Maklumat Di Sini...

Google

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara


Kita mungkin biasa mendengar ayam kampung, serama dan ayam belanda (piru, turkey), tetapi tidak ramai yang mengenali sejenis lagi ayam yang tidak kurang hebatnya iaitu ayam mutiara, api-api atau unggas emas dan di negara Barat yang ia digelar Guinea Fowl misalnya, juadah ayam mutiara yang beratnya boleh mencecah 1.6 kilogram ini amat popular kerana baik untuk kesihatan, sekali gus menjadikan harganya tinggi.


Ayam Mutiara


Hebatnya ayam yang berasal dari benua Afrika ini bukan kerana bentuk fizikalnya, kelabu berbintik putih dan bertanduk kecil atau kerana kokokan yang nyaring hingga layak digelar ‘polis ladang’ termasuk menghalau ular, tetapi kerana nilai komersialnya yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.

Tidak kurang dakwaan yang mengaitkan telurnya mampu meningkatkan hubungan kelamin.

Ayam ini juga berperanan sebagai penjaga kebun, ini disebabkan ayam mutiara ini sememangnya diketahui sebagai pengawal haiwan perosak secara semula jadi.

Ayam mutiara ini juga mudah dijaga kerana kurang makan, cuma masalahnya, ia suka bertelur di tempat tersembunyi seperti di kawasan semak.

Harganya subjektif bergantung kepada penawaran dan permintaan di pasaran. Dulu ayam mutiara dewasa cuma RM35 seekor kerana tak banyak permintaan tapi sekarang, harga induk ayam mutiara ini dijual di kedai haiwan peliharaan pada harga RM130 seekor. Kalau beli terus dari ladang mungkin boleh dapat harga murah lagi.

Seekor ayam mutiara betina mampu bertelur sehingga 30-40 biji pada satu-satu masa dan tempoh matangnya pula sembilan bulan ke atas atau satu hingga satu setengah tahun ke atas. Tempoh pengeraman menggunakan inkubator adalah 28 hari.

Menariknya, kita tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan pun sudah boleh dijual.

Ayam mutiara boleh disifatkan sebagai produktif serta tahan lasak berbanding ayam daging biasa. Ia mula bertelur selepas berusia setahun manakala ayam daging pula bertelur apabila ia mencecah usia 20 minggu.

Tetapi ayam mutiara ini sebaliknya mampu bertelur sehingga tujuh tahun lamanya. Oleh itu kita boleh katakan antara keunikan ayam mutiara ini adalah tempoh kemampuannya bertelur.

Keunikan lain ayam mutiara ini adalah ia lebih tahan lasak dalam keadaan cuaca panas. Ayam mutiara tahan lasak disebabkan asal usulnya dari Afrika Barat yang bercuaca panas.

Ayam daging sebaliknya tidak tahan panas dan boleh mati kerana faktor genetiknya yang sudah diubah suai berikutan kedudukannya sebagai ternakan komersial.

Pengubahsuaian itu menjadikan ayam daging ‘lemah’ kerana keutamaannya ialah untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat.

Faktor itu juga turut menjadikan ayam daging lebih tinggi kolesterol kerana kandungan lemaknya yang banyak berbanding ayam mutiara.

Daging ayam mutiara diketahui lebih sihat dan rendah kolesterol jika dibanding dengan ayam daging. Bagi setiap 100 gram misalnya, lemak dalam ayam mutiara cuma dua gram manakala ayam daging, enam gram.

Ini menunjukkan kandungan lemak ayam daging adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada ayam mutiara.

Semoga memberi manfaat.


Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2019/01/ayam-mutiara.html#ixzz6KGFz4XH2

Pakej Teknologi Tebu JPNS

Kelapa Tacunan Varieti Terbaik Untuk Tanaman Komersial


Kelapa Tacunan (Cocos nucifera) merupakan sejenis varieti kelapa yang sangat popular ditanam di Filipina sebagai satu varieti kelapa renek dengan penghasilan tinggi.


Kelapa Tacunan Varieti Terbaik Untuk Tanaman Komersial


Menurut sumber dari Philiphines Coconut Authority (PCA), kelapa varieti tacunan merupakan varieti kelapa terbaik yang digunakan untuk menghasilkan produk makanan berasaskan kelapa.

Ia mempunyai permintaan tiinggi dikalangan penanam, pemproses dan juga para pengeksport kelapa di Filipina.

Kelapa Tacunan sesuai diproses untuk menghasilkan pelbagai produk dari produk berasaskan isi kelapa dan air kelapa serta penghasilan minyak kelapa dan gula dari kelapa (Nira dan Gula Melaka).

Terdapat seluas 3.6 juta hektar tanaman kelapa di Filipina yang mana ia telah menduduki tempat kedua terluas menanam kelapa selepas negara Indonesia iaitu seluas 3.8 juta hektar.

Malaysia hanya mempunyai sekitar 95,000 hektar keluasan tanaman kelapa. (Sumber: Laporan statistik Jabatan Pertanian MAlaysia 2014).

Penanaman kelapa dinegara yang berpulau seperti Filipina dan Indonesia merupakan pilihan terbaik untuk menjadi sumber ekonomi penduduknya.

Varieti

Philippine Coconut Authority (PCA) telah mengenalpasti dua varieti kelapa renek di negara mereka untuk di komersilkan iaitu Varieti Galas Hijau dan Varieti Tacunan.

Kedua-dua varieti ini telah lulus untuk disyorkan penanamannya kerana ciri asas seperti saiz buah yang besar, kandungan berat isi yang baik, kandungan air yang banyak dan berkualiti, ketebalan isi serta kepadatannya (firmness).

Dari segi fizikal, kelapa Galas Hijau mempunyai bentuk seragam yang membulat dengan purata buah bersaiz besar, sabut yang tebal dan juga tahap keseimbangan pokok dipucuknya.

Ia juga mempunyai batang yang kukuh dipangkalnya dengan batang bawah lurus (Jenis renek) pertumbuhan yang lambat meninggi dengan warna mayang (peduncle) kekuningan atau kehijauan.

Pada para penanam kelapa dan pengguna, ramai memilih kelapa Galas Hijau dan Tacunan kerana kualiti air dan juga khasiat kesihatan yang ada padanya.

Kelapa Tacunan dan Galas Hijau ini merupakan varieti yang popular ditanam di negara tersebut kerana ia memberikan nilai ekonomi kepada petani.

Berbanding dengan buah Epal dan Oren yang menjadi buah dimakan oleh ramai penduduk dunia, banyak varieti yang dihasilkan oleh saintis biakbaka sehingga menghasilkan banyak varieti.

Tanaman kelapa bagaimanapun, tidak mempunyai banyak varieti tetapi boleh dikelaskan kepada 3 kategori iaitu Kelapa Tinggi (Tallvariety), Kelapa Renek (Dwarf variety) dan Kelapa Hibrid (Hybrid variety).

Varieti tanaman kelapa hanya khusus untuk kawasan tertentu sahaja yang ditanam dengan varieti sama kerana pokok kelapa melakukan pendebungaan silang (Cross pollination) menyebabkan buahnya tidak sesuai digunakan untuk benih.

Varieti kelapa yang sama ditanam disatu kawasan terpencil (seperti pulau) mampu mengekalkan sifat varieti kelapa tersebut dan sering dinamakan dengan nama lokaliti.

Nama kelapa jenis tinggi adalah seperti Malayan, Rennel dan juga Samoan yang lazimnya tumbuh tinggi sehingga melebihi 70 kaki dengan batang yang besar ditapak bawahnya (tapak gajah), lambat berhasil (7 tahun baru berhasil) dan tahan lasak.

Akarnya kuat mencengkam tanah sehingga ia tahan dan tidak tumbang jika ditiup angin kencang.

Kelapa ini menguasai 70% daripada varieti kelapa yang ditanam di Malaysia dan kebanyakan negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Buahnya besar dengan sabut tebal dan matang dalam 12-13 bulan sebelum gugur diatas tanah untuk dikutip. Ada teknik memetik kelapa tinggi ini dengan menggunakan beruk, mengait dengan galah dan sebagainya.

Berbalik kepada kelapa jenis renek, Ia mempunyai saiz batang yang kecil, pokok tidak tinggi dan membolehkan buah dituai dengan mudah.

Pokok varieti Tacunan adalah jenis renek yang mana pelepah daunnya masih mencecah tanah dan pokok sudah berbuah.

Kelapa Tacunan adalah varieti kelapa popular di Filipina yang singkatannya dikenali dengan TACD (Tacunan Green Dwarf).

Nama tempatan kelapa ini adalah 'Bilaka' dan 'Linkuranay' yang memberi makna 'jenis kelapa rendah dan hasil cepat'.

Saiz buah dari jenis SEDERHANA dan BESAR berbanding dengan varieti kelapa renek lain.

Kelapa ini amat popular ditanam untuk isi kelapa dan air kelapa dimana ia paling sesuai dikomersilkan. Dari segi bentuknya, kelapa ini berbentuk Bulat dan warna HIJAU.

Kelapa Tacunan adalah varieti kelapa yang cepat berbuah dimana tandan pertama lazimnya mencecah tanah dimana buahnya boleh dipetik tanpa perlu dipanjat atau menggunakan galah.

Ia boleh berbuah dalam masa kurang 2 tahun jika kawasan sesuai dan dijaga dengan baik.

Di Filipina yang mengalami bencana ribut taufan saban tahun, menanam varieti Tacunan telah dibuktikan sangat memberikan manfaat kerana ia tahan tiupan angin kuat dan ribut (cyclone) dan tidak mudah tumbang.

Ini kerana batang kelapa Tacunan berbatang kuat, akar dalam dan robust.

Kelapa Hibrid

Laporan menyatakan, kelapa Tacunan mampu memberikan purata hasil sebanyak 94 biji sepokok dalam setahun dengan hasil potensi 204 biji bagi setiap pokok dalam tahun. Kelapa Tacunan juga sesuai untuk ditanam di Malaysia.

Pokok kelapa Tacunan telah dibuat penyelidikan di Jabatan Pertanian Sabah dengan membuat biakbaka untuk memilih varieti terbaik.

Ia kini mula diterima oleh petani di Sabah sebagai satu varieti yang produktif dan menghasilkan buah dengan cepat.

Walau pun benih kelapa tacunan yang dijamin ketulenannya masih terhad, usaha untuk membiakkan dengan lebih banyak kelapa tacunan sedang giat dijalankan.

Ramai pegawai pengembangan dan petani di Semenanjung Malaysia yang menunggu untuk menanam kelapa varieti tacunan ini.

Walaupun ia jenis kelapa renek tetapi saiz buahnya menyamai dan lebih besar daripada kelapa Malayan Tall.

Ia tidak sama seperti kelapa renek lain dimana buahnya kecil seperti kelapa renek Papua yellow, Samoan dan Fiji Dwarf and Cameroon red serta jenia kelapa Malayan Yellow (MYD) and Nias Green, namun umumnya semua kelapa renek berbuah cepat.

Kelapa Hibrid adalah kelapa hasil kacukan antara Kelapa Tinggi dan kelapa Renek untuk mendapatkan ciri pokok rendah, buah besar, cepat berbuah dan tahan penyakit.

Ia dibangunkan dengan kaedah kacukan silang yang bersistem untuk memastikan hanya hibrid yang terpilih sahaja akan dijadikan benih untuk ditanam.

Di Malaysia, antara kelapa Hibrid yang popular adalah seperti Kelapa Matag (Matag Hijau - CN13, Matag Orange - CN14 dan Matag Gold -CN15).

Kelapa hibrid lain yang pernah popular di tanam di Malaysia adalah varieti Kelapa MAWA.

Di Indonesia, kelapa Hibrid yang popular seperti Varieti KHINA 1, KHINA 2, KHINA 3, KHINA 4 dan KHINA 5.

Kelapa Macapuno merupakan sejenis kelapa mutan yang mana isinya adalah seperti jelly (thick gelatinous meat) dengan kandungan air yang sedikit.

Kelapa Macapuno adalah sangat popular di Filipina yang dijual sebagai makanan eksotik dalam bentuk sirap dan pencuci mulut.

Hasil


Kelapa Tacunan Varieti Terbaik Untuk Tanaman Komersial


Pokok kelapa varieti Tacunan mampu mengeluarkan hasil sehingga 50 ke 90 biji sepokok setahun buah kelapa pada keadaan tempatan.

Kajian dimakmal mendapati isi kelapa tacunan memang mengandungi asid laurik dan hasil minyak yang tinggi.

Purata sebiji kelapa tacunan boleh menghasilkan sebanyak 53 ml VCO (Virgin Coconut Oil).

Ia merupakan varieti kelapa yang sangat sesuai ditanam untuk industri pembuatan VCO dimasa akan datang.

Kajian juga mendapati buah kelapa tacunan yang cukup matang mengandungi 460g isi segar yang boleh menghasilkan 247g kopra pada 6% kelembapan.

Purata berat buah yang diukur adalah 1,292 gram (atau 1.3 kg sebiji) dan buah ini sebenarnya sangat besar.

Purata ukur lilit 'polar' buah ini adalah sepanjang 62 cm dan juga ukur lilit 'equatorial' buah adalah 55 cm kemudian, sabut kelapa dikeluarkan dan ditimbang dimana ia memberikan bacaan 381 gram.

Kajian mengenai jumlah isipadu air dalam kelapa tacunan adalah purata sebanyak 238 ml sebiji. Ini amat sesuai untuk dijadikan industri air kelapa dan cconut shake (boleh dapat 2-3 gelas!)

Apa yang istimewa mengenai kelapa tacunan ini juga adalah kandungan dan tahap kemanisan airnya dengan bacaan 8.9%TSS (Total soluble sugar) iaitu agak manis.

Berat tempurung yang dikira sebanyak 212 gram sebiji dan memberikan berat isi segar sebiji kelapa memberikan purata 460 gram. Kajian sterusnya mendapati ketebalan isi kelapa adalah sekitar 10.7 mm.

Analisa dilakukan terhadap kelapa tacunan dimana berat kopra yang dihasilkan sebanyak 247 gram sebiji dengan hasilkan kandungan minyak sebanyak 53 ml.

Purata berat buah kelapa muda untuk kegunaan air minuman pula adalah sekitar 3,837 gram dimana ia mempunyai air dan sabut basah yang besar.

USAHAWAN KELAPA

Ramai usahawan tani berminat untuk menanam kelapa varieti tertentu berikutan ia mampu menjana hasil pendapatan sehingga lebih RM5,000 sebulan berbanding kelapa sawit yang hanya mampu menjana antara RM700 hingga RM800 bagi setiap 0.4 hektar.

Usahawan tani yang menanam pokok kelapa selalunya akan turut menanam tanaman sampingan seperti kopi di antara pokok kelapa selain mengusahakan perusahaan madu kelulut dan ini menjana pendapatan lebih tinggi berbanding jika mengusahakan kelapa sawit.

INFO

  • Kelapa matag mampu mengeluarkan hasil sehingga 250 biji kelapa setahun.
  • Kelapa tacunan 200 biji kelapa setahun.
  • Kelapa pandan 180 biji kelapa setahun.


Kelapa Import

Kira-kira 3 juta biji kelapa Indonesia dibawa masuk menerusi Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat, Johor, setiap bulan sebelum diedarkan ke seluruh negara.

Kira-kira 1.5 juta biji kelapa Indonesia dibawa masuk menerusi Batu Pahat khusus untuk kegunaan musim Aidilfitri setiap tahun bagi pasaran Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Semoga memberi manfaat.

Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2018/07/kelapa-tacunan.html#ixzz6KG3tViCH

Panduan Cara Menanam Serai Secara Komersial


Menanam serai dikatakan agak senang dan mudah hendak diuruskan, tidak seperti menanam sayur kerana banyak penjagaan perlu dilakukan dan untuk menjana pendapatan tetap RM1,000 sebulan, tanah yang diperlukan adalah 1/2 ekar.


Panduan Menanam Serai Secara Komersial


Serai adalah tumbuhan yang berasal dari keluarga Poaceae iaitu suku rumput dengan nama botaninya cymbopogon spp, juga disebut dengan nama lemongrass, barbed wire grass, silky heads, citronella grass, cha de Dartigalongue, fecer grass dan pelbagai nama lagi.

Jenis-jenis Serai

Terdapat 2 jenis serai yang terkenal dan ditanam di Malaysia dengan 2 tujuan sebagai serai makan dan serai untuk perubatan serta kesihatan.

Serai Makan (cymbopogoncitratus) ditanam dengan tujuan untuk dimasukkan ke dalam masakan.

Serai Wangi (cymbopogonnardus) pula ditanam untuk mendapatkan minyak pati yang sangat berguna untuk tujuan kesihatan.

Minyak pati tersebut digunakan bagi kegunaan luar mengubati sakit perut, angin yang mengakibatkan kembung perut, serta masalah hilang selera makan.

Selain itu, serai juga boleh diekstrak sebagai penghalau serangga (insect repellent).

Kegunaan Serai

Tanaman serai wangi ini dijadikan minyak serai atau losyen bagi tujuan kegunaan luaran sahaja.

Pada asasnya, serai makan tidak mempunyai apa apa bau kecuali variety serai wangi.

Namun, apabila serai makan tersebut dicampur ke dalam masakan, ia akan menambah kesedapan juadah dengan mengeluarkan aroma seakan-akan lemon yang lebih menyedapkan masakan tersebut.

Aroma yang harum akan dikeluarkan ketika bahan ini digoreng bersama bawang kecil dan bawang besar.

Tumbuhan berperisa lemon ini boleh dikeringkan untuk dikisar menjadi tepung atau digunakan secara segar.

Serai yang telah keringkan dicampur ke dalam minuman teh bagi menambahkan lagi rasa segar yang terkandung di dalam minuman tersebut.

Asal-usul Serai

Tumbuhan herba ini ditanam secara meluas di kebanyakan kawasan di Malaysia.

Tumbuhan ini dikatakan berasal dari India dan Sri Lanka dan telah tersebar penanamannya keseluruh dunia.

Penanaman serai di Malaysia adalah sangat sesuai kerana iklim dan cuaca di Malaysia yang panas dan kering sepanjang tahun.

Iklim tropika dan subtropika paling sesuai dalam penghasilan tanaman herba yang berkualiti.

Serai makan boleh dijumpai dengan mudah dijual di mana mana pasaraya, kedai sayuran dan pasar harian.

Tanaman serai berpotensi besar untuk dimajukan kerana permintaan terhadapnya sangat tinggi di pasaran terutama pada musim perayaan dan majlis perkahwinan.

SERAI PAHA GAJAH

Keistimewaan serai paha gajah ialah saiz yang besar berbanding serai jenis lain dan hasil pengeluaran juga lebih cepat.

Hanya 10 hingga 12 batang serai paha gajah sudah mencapai berat sekilogram berbanding serai kampung yang memerlukan kira-kira 30 batang sekilogram.

Dalam tempoh lima hingga tujuh bulan, serai paha gajah yang batangnya besar dan umbi tegap mampu mengeluarkan hasil antara enam hingga tujuh tan di kawasan seluas 0.4 hektar (1 ekar).

Proses menanam dan penjagaan juga tidak rumit tetapi perlu menjaga rumput bagi memastikan pengeluaran hasil yang banyak.

Seawal lima bulan serai sudah boleh dijual dan usia paling cantik ialah dalam tempoh lima hingga tujuh bulan.

Ketika proses menuai serai paha gajah juga, ia mudah dibersihkan dan dalam sehari seorang mampu membersihkan sehingga 100 kilogram.

SERAI PAHA AYAM

Serai peha ayam mempunyai batang yang besar serta umbi yang tegap, namun kurang digemari kerana aromanya tidak seharum serai biasa.

Bagi penggemar serai tentu dapat membezakan dengan serai kampung walaupun kadang-kadang mata lebih tertarik dengan kegemukan serai peha ayam, tentu menyangka serai kampung telah cukup dari segi pembajaannya.

Dan pastinya, serai paha ayam menjadi pilihan untuk ditanam.

Biasanya dalam satu ekar, kita dapat menanam lebih kurang 10,000-15,000 rumpun serai jika hanya tanaman serai diusahakan.

Untuk integrasi kita boleh menanam antara 5,000–8,000 rumpun serai seekar.

Serumpun serai paha ayam pula boleh menghasilkan purata 3 kg yang siap proses.

Kalau tanah subur, baja boleh mencapai sehingga 9 kg serumpun.

PENANAMAN SERAI SECARA KOMERSIAL

1. Persediaan Awal

Sebelum menanam serai, pengusaha perlu meneliti samada kawasan penanaman mempunyai ciri seperti berikut:

Jenis tanah yang sesuai iaitu tanah gambut, tanah merah, tanah berpasir dan tanah BRIS.

Struktur kawasan penanaman samada berbukit, tanah rata, beralun atau laluan berair. Sistem pengaliran air yang berkesan bagi tujuan penyiraman dan pengaliran air banjir.

Jenis tumbuhan asal kawasan tersebut mempunyai akar, rumpai atau pokok berkayu.

Kawasan yang dipilih perlu dibajak dan digembur terlebih dahulu sekurang kurangnya 14 hari sebelum penanaman.

Proses penggemburan ini dilakukan bagi meningkatkan kandungan mineral di dalam tanah dan memudahkan proses pencucukan anak benih.

Sekiranya perlu, kawasan tersebut perlu disembur racun rumpai bagi mengawal pertumbuhan rumput yang akan mengganggu proses tumbesaran serai.

Benih serai perlulah berusia lebih lapan bulan atau lebih dan telah mula mengeluarkan akar dibahagian bawah batang.

Benih yang telah sedia perlu ditanam 4 hingga 6 benih serai pada satu lubang dengan menanam bahagian akar sedalam 1 inci.

Jarak tanaman adalah 0.5 meter diantara pokok dan 1.0 meter setiap barisan.

Tanaman serai mengikut jarak tersebut boleh menghasilkan kepadatan tanaman sehingga 20,000 rumpun bagi 1 hektar kawasan.

2. Penyediaan Anak Benih

Kita boleh mendapatkan anak benih daripada pasar tani atau kedai-kedai runcit sahaja.

Sebelum beli, rancang dahulu berapa rumpun kita nak tanam. Contohnya, kalau nak buat 10 rumpun, setiap rumpun kita letak 5 anak benih.

Jadi, kita kena beli 50 batang serai sebagai anak benih.

3. Merendam anak benih dalam air

Apabila cuba menanam terus benih serai yang dibeli dari pasar ke tanah, ada yang hidup dan ada yang mati.

Selalunya benih yang kita beli dari pasar tani telah dibersihkan dan tiada akar membuatkan anak benih susah nak hidup.

Jadi, kita perlu merendam semua benih kita dalam jag air. Kenapa perlu dalam jag air? Kerana jag air dibuat daripada kaca dan lutsinar.

Jadi kita boleh melihat takat air yang kita masukkan ke dalam jag. Nak pakai jag plastik pun boleh asalkan lutsinar.

Kita tegakkan semua benih serai dalam jag dan masukkan air cukup setakat sampai perut anak benih serai sahaja.

Kebiasannya, akar benih serai akan tumbuh selepas 4 hari kita merendamnya.

Benih yang kita ambil terus daripada rumpun serai tidak perlu direndam dengan air kerana sudah mempunyai akar.

4. Penyediaan Tanah

Serai memerlukan tanah yang sedikit padat untuk membolehkan anak benih berdiri tegak dan tidak mudah tumbang.

Tanah yang baik adalah campuran tanah lektrik, tanam merah dengan tanah bakaran sampah.

5. Cara Menanam Benih Serai Yang Betul

Menanam benih serai ke longgokan tanah atau batas adalah satu proses yang amat penting.

Pastikan kita menanam serai dengan kedalamannya cukup sekadar tenggelam akar sahaja dan bukannya sampai habis perut serai.

Serai akan mati jika kita menanam dengan terlalu dalam menyebabkan anak serai susah nak tumbuh keluar dari benih serai.

6. Mengasingkan Serai

Apabila telah matang dan serai sedia untuk dituai, dalam satu rumpun pasti ada batang serai yang gemuk, yang masih muda dan batang yang kurus melidi.

Kita kena asingkan serai yang gemuk dan serai yang kurus ini sebelum dihantar kepada pembeli.

7. Pantang Larang Serai

Jangan sesekali kita mengerat rumpun daun serai sewaktu serai dalam proses pembesaran. Kadang-kadang orang kita lebih suka mengerat daunnya supaya nampak cantik dan tidak semak.

Tetapi akibatnya membuatkan serai tumbuh melidi dan tidak gemuk kerana serai akan menggunakan tenaganya untuk kembali menumbuhkan daun.

Biarkan sahaja rumpun serai membesar dan menjadi semak sehinggalah sampai masa untuk kita menuainya.

PENGURUSAN TANAMAN

Benih serai yang telah ditanam perlu disiram sekurang kurangnya 2 kali sehari, namun jika bekalan air siraman kurang diberikan, serai masih boleh hidup subur kerana ianya mempunyai sifat tahan kepada cuaca panas dan kemarau.

Jika air berlebihan dibekalkan kepada tanaman serai, ia akan menyebabkan serai reput, berulat dan busuk terutama di bahagian akar.

PEMBAJAAN DAN KAWALAN RUMPAI

Pembajaan dilakukan dengan menabur baja NPK 15:15:15 di sekeliling pangkal pokok pada kadar 40 gram sepokok. Pembajaan dilakukan 2 kali sebulan.

Tanaman serai tidak memerlukan penjagaan yang rapi, dimana kawalan rumput di sekelilingnya perlu dicabut bagi mengelakkan persaingan mendapatkan makanan dan cahaya matahari.

Rumput pada tanaman serai sangat mudah untuk tumbuh membiak dan pengusaha tanaman perlu melakukan aktiviti merumpai sekurang kurangnya 2 minggu sekali.

Oleh kerana serai adalah sejenis tumbuhan herba, maka tiada serangga yang mendekati dan hinggap di pokok serai kecuali masalah Ulat Pengorek Batang.

Pengusaha perlu membuang rumpun yang terkena serangan ulat ini.

Manakala penyakit yang sering menyerang pokok serai adalah reput akar di mana bahagian batang dan akar serai akan membusuk.

Ini adalah disebabkan oleh kandungan air yang banyak lalu menyebabkan tanah di kawasan serai tersebut lembap.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan merosakan rumput serai tersebut.

Pengusaha perlu mencabut rumpun yang telah rosak dan mengalihkannya pada kawasan yang agak kering dan panas.

Bagi kawasan berkepadatan 20,000 rumpun sehektar akan menghasilkan 25 hingga 30 tan batang serai yang boleh dipasarkan.

Proses penuaian serai dilakukan di antara tempoh masa 4 hingga 6 bulan bergantung kepada kemajuan tumbesaran serai.

Serai akan dicabut keseluruhan rumpun dan memotong bahagian pangkal serta daunnya.

Tinggalkan kira kira 10 cm hingga 15 cm bahagian batang.

Bahagian batang yang mempunyai umbisi akan dibersihkan dari kotoran tanah.

Kemudian, serai tersebut diikat menggunakan getah dan dikumpulkan di dalam bekas besar untuk dijual kepada peraih atau pemborong.

ANGGARAN PENDAPATAN SEEKAR TANAMAN SERAI

1. Seekar tanah adalah seluas 43,560 kaki persegi.

2. Jarak tanaman serai yang disyorkan adalah 4’x3’

Oleh itu dalam seekar tanah terdapat 3,628 rumpun serai (43560/12=3628).

3. Pendapatan Kasar

Dalam satu lubang tanaman, disyorkan untuk ditanam dengan 2 batang serai dan satu rumpun serai ini boleh menghasilkan 2kg~3kg serai.

Harga pasaran sekarang adalah RM2 per kg.

Oleh itu pendapatan kasar adalah, 3,600 rumpun x 2 kg x RM2 = RM14,400.

4. Perbelanjaan

a. Benih = RM1,000 seekar (21,600 batang).

b. Baja = RM560

  • 8 beg baja urea (N46) diperlukan seekar.
  • 1 beg (50kg) berharga RM70
  • (8 beg x RM70 = RM560.00).


c. Racun = RM 390

  • 12 liter racun BASTA diperlukan dalam seekar.
  • 1 kotak 4 liter jadi perlu 3 kotak.
  • 1 kotak berharga RM130.
  • 3 kotak x RM130 = RM390.


d. Upah tanam per ekar = RM 200

e. Upah meracun (3 kali) RM60/ekar = RM 180.

f. Upah membaja

  • RM30 per ekar (3 kali) = RM 90.
  • 2 kali baja Urea.
  • 1 kali baja 0:18:20:TE.


g. Upah menyiram = RM210

  • Pokok serai perlu disiram selama 7 hari bermula dari tarikh tanam, waktu menyiram 4.30~5.00 petang.
  • Upah siram RM30 per ekar (RM30x7 kali = RM 210).


h. Upah menuai = Lebih kurang RM1,000

  • Jumlah Perbelanjaan = Lebih kurang RM4,000
i. Pendapatan Bersih
  • PENDAPATAN BERSIH PER EKAR = RM 14,400-RM 4,000 = RM 10,000.
  • RM 10,000.00/5 bulan, sebulan RM2,000.00.


Bayangkan sekiranya anda tanam seluas 10 ekar, berapa pendapatan sebulan?

Ini adalah kiraan pendapatan paling minimum, tetapi ini semua bergantung kepada rezaki dari Allah.

Tanaman serai 2′x3′ seekar boleh mendapat hasil lebih tinggi.

Semoga memberi manfaat.

Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2018/06/panduan-cara-menanam-serai.html#ixzz6KG1k7I3u

Khasiat Kacang Bendi Yang Ramai Tak Tahu


Sayur kacang bendi terkenal sebagai sayur tambahan dalam masakan kari atau pun asam pedas. Ada orang kurang menggemari sayur bendi kerana lendir yang ada di dalamnya.

Khasiat Kacang Bendi

Namun terdapat banyak khasiat tersembunyi di dalam sayur ini. Buahnya dikatakan mampu membantu menguatkan otak serta menambah daya ingatan dan kecerdasan.

Sementara biji, akar serta bunganya kalau direbus boleh membantu melawas pembuangan air kecil serta mengurangkan bengkak atau radang.

Bahkan ada orang mengamalkan makan bendi kerana dikatakan mampu mengurangkan masalah sukar bersalin.

Air rebusan biji,akar, serta bunganya boleh dijadikan ubat pada pelbagai kudis dan bisul.

Air rebusan buahnya kalau dicampur dengan gula memang sesuai dijadikan sebagai sirap ubat batuk atau merawat sakit kerongkong.

Lendir yang terdapat dalam buahnya boleh dijadikan krim penyejuk serta melembutkan kulit.

Air rebusan buahnya boleh juga digunakan untuk meredakan bengkak saluran kerongkong dan hidung.

Dikatakan kacang bendi baik amat untuk rawatan penyakit kencing manis.

Caranya ialah dengan mengambil dua biji kacang bendi. Potong kedua hujungnya. Turis bahagian tengahnya. Rendam dalam segelas air semalaman (tutup gelas).

Keesokannya, keluarkan kacang bendi dan terus minum airnya. Lakukan selama dua minggu.


Sumber: Majalahpama


Sumber artikel: http://www.sentiasapanas.com/2016/05/khasiat-kacang-bendi-yang-ramai-tak-tahu.html#ixzz6KG1F4zFN

Khasiat Kacang Sacha Inchi Tinggi Kandungan Omega 3


Sacha Inchi (Plukenetia volubilis) merupakan sejenis tanaman kekacang yang kurang dikenali di Malaysia, yang didakwa amat berkhasiat apabila pihak RISDA mencadangkan tanaman ini diusahakan oleh pekebun kecil getah bagi meningkatkan pendapatan mereka.


Khasiat Kacang Sacha Inchi Tinggi Kandungan Omega 3


Tumbuhan berasal dari negara PERU ini juga dipanggil sebagai 'Sacha Peanut', 'Inca Peanut', 'Mountain Peanut' dan 'Sacha Inci'.

Sacha inchi semakin mendapat perhatian ramai selepas berjaya disenaraikan sebagai salah satu ‘superfood’ di dunia pada tahun 2016.

Walaupun ia baru diketahui ramai, sacha inchi sebenarnya telah lama digunakan sejak 3000 tahun yang lalu oleh masyarakat Inca di Peru.

Tumbuhan ini kini ada ditanam secara komersil di Thailand, Vietnam dan Kemboja untuk menghasilkan bijinya yang mengandungi minyak yang sangat bernilai.

Sacha Inchi adalah jenis renek (shrub) yang parrenial dengan memerlukan sokongan untuk menjalar diaatas kayu sokongan untuk penanaman komersil.

Ia jenis tanaman yang perlukan cahaya matahari 100% atau dengan sedikit perlindungan sahaja, memerlukan tanah yang subur dengan air yang mencukupi dan sistem saliran yang baik.

Tanah dengan pH diantara 5.1-5.5 dikatakan sesuai untuk petani menjadikan pertumbuhan dengan baik dan aplikasi bahan organan.

Tanaman ini selalunya ditanam oleh pekebun kecil dengan keluasan yang mudah dijaga dan ada yang menanamnya sebagai tanaman keliling rumah dinegara jiran untuk menambahkan pendapatan keluarga dengan menjual bijinya kepada pemborong.

Banyak produk yang dihasilkan daripada tanaman sacha inchi dipasaran sebagai makanan kesihatan.

Menurut RISDA, permintaan terhadap herba ini terutama untuk produk kesihatan, kecantikan dan minyak sangat tinggi di peringkat antarabangsa.

Khasiat Sacha Inchi

Sacha Inchi mempunyai banyak khasiat-khasiat penting yang di perlukan oleh tubuh badan yang dapat membantu mencegah pelbagai jenis penyakit berbahaya.

Sacha Inchi kaya dengan Omega 3 yang lebih tinggi berbanding dengan kandungan omega dalam ikan dan juga jenis-jenis pokok yang lain.

Antara kandungan yang terdapat dalam Sacha Inchi adalah Omega 3 (48%), Omega 6 (35%) dan Omega 9 (9%).

Kelebihan ini dapat membantu merawat dan mencegah masalah-masalah utama yang dihadapi oleh setiap tubuh badan.

Antara khasiat-khasiat yang terdapat dalam Sacha Inchi:

  • Membantu mencegah dan meningkatkan kesihatan jantung serta melancarkan pengaliran darah dalam tubuh.
  • Membekalkan nutrisi penting kepada otak untuk lebih produktif dan kreatif serta meningkatkan daya ingatan.
  • Membantu mencegah dan melawan sel-sel kanser.
  • Menguatkan tulang dan sendi serta memperbaiki ligament yang telah koyak.
  • Melancarkan sistem buah pinggang dan pencernaan yang dapat membantu membuang lemak-lemak berlebihan yang boleh mengakibatkan obesiti.
  • Meningkatkan tahap kesihatan paru-paru dan membantu mengurangkan penyakit asma dan alahan.
  • Sesuai untuk ibu mengandung di mana dapat meningkatkan tumbesaran bayi dalam kandungan serta perkembangan otak bayi.
  • Melancarkan keseluruhan sistem dan setiap organ dalam tubuh agar dapat berfungsi dengan baik.
  • Menurunkan tahap kandungan gula dalam darah.
  • Memberikan nutrisi penting untuk retina agar mata sentiasa segar dan tahap penglihatan yang lebih optimum.
  • Membantu menyihat dan melembabkan kulit serta dapat mengurangkan kedutan dan jeragat.
  • Minyak Sacha Inchi juga boleh menyembuhkan penyakit-penyakit kulit dan juga membantu meningkatkan tahap kesuburan rambut.


Tumbuhan Menjalar


Pokok Sacha Inchi


Tumbuhan ini mampu tumbuh menegak setinggi 2 - 3 meter tanpa sokongan asas, bagaimanapun untuk penanaman baik ia memerlukan kayu sokongan atau sistem para setinggi 3-4 meter.

Batangnya akan menjalar atau merambat dengan mempunyai daun deciduous yang berwarna hijau dikawasan tropika.

Daun yang berwarna hijau tersusun dengan baik dan menghasilkan pucuk baru untuk terus menjalar.

Ia mengeluarkan bunga dalam jambak yang berwarna putih hijau yang kecil dibahagian hujung dahan.

Daunnya berbentuk hati (heart shape) dengan susunan bersilang berukuran 10-12 cm panjang dan 8-10 cm lebar dengan panjang tangkai sekitar 2-6 cm panjang.

Bunga Jantan yang berwarna putih bersaiz kecil dalam jambak sementara bunga betina berada dibahagian bawah jambak.

Tanaman dikawasan tropika mampu tumbuh dengan baik dimana pokok akan menghasilkan bunga dan buah sepanjang tahun.

Buah

Buahnya dalam kapsul berukuran 3-5 cm garis pusat dengan ada 4-7 point yang berwarna hijau semasa muda dan bertukar warna coklat gelap apabila masak.

Bila cukup matang, ia akan terbuka sendiri dan dapat dilihat melalui bijinya dan dituai apabila buah telah betul-betul kering.

Buahnya ada 5 lobes dan ada yang mempunyai sehingga 7 lobes. Didalamnya terdapat bijinya yang berbentuk oval dengan warna coklat kehitaman berukuran 1.5 - 2.0 cm garis pusat.

Ia mempunyai berat sekitar 45 - 100 gram setiap biji, mempunyai kotilidon terbuka dengan ada lapisan nipis dan jika digoreng memberikan rasa yang sangat sedap.

Cara menanam


Buah Sacha Inchi


Penanaman sacha inci menggunakan biji benih yang diambil dari pokok matang. Biji benih perlu direndam selama 24 jam dalam air bersih sebelum disemai diatas tapak semaian dalam suhu sekitar 25 - 30 Celcius untuk bercambah.

Lazimnya ia akan bercambah dalam masa 14 hari dan boleh dialih ke kebun. Ada juga petani yang menanam terus biji benih ke ladang tetapi percambahan tidak sekata.

Kaedah menanam dengan bahan keratan jug ada dilakukan tetapi lebih mudah dengan semaian biji.

Bagi mereka yang ingin menanam sancha inci dalam bekas, sebaiknya ia berukuran 3 gelen media tanam atau lebih besar lagi untuk satu point tanaman.

Tanaman ini mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan penyakit.

Penuaian

Pokok merambat ini sebaiknya diberikan sokongan untuk membolehkan kerja-kerja memetik buah mudah dijalankan.

Pokok yang berhasil perlu dipetik buah matang dan dikumpulkan dalam bekas sebelum dijual atau diproses terus.

Pada masa ini belum ada harga ladang jualan buah sacha inchi ini di Malaysia kerana tidak ditanam secara komersil.

Cadangan pihak RISDA yang yakin tanaman sacha inchi mampu memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah sehingga RM500 sebulan dipaparkan oleh akhbar tempatan.

Bagi tujuan itu, RISDA akan memberi 20 hingga 30 batang pokok untuk setiap isi rumah pekebun kecil getah bagi mengusahakan tanaman tersebut.

Seterusnya, RISDA akan mengedarkan benih sacha inchi dari Thailand ini kepada pekebun kecil getah.

Tempoh matang

Apa yang penting kepada tanaman Sacha Inchi adalah buahnya yang berbentuk lengai dihasilkan apabila pokok matang dalam masa dua tahun sahaja.

Laporan menunjukkan pokok mula berbunga 5 bulan selepas ditanam dan mula berbuah 8 bulan selepas ditanam.

Sepokok dewasa mampu mengeluarkan 100 kuntum buah setahun dengan sebanyak 400 - 500 biji yang terhasil dan bahagian biji inilah yang bernilai untuk digunakan.

Biji Sacha Inci yang matang dikeluarkan daripada kelongsong berbentuk bulat leper dengan warna coklat kehitaman.

Bagi penduduk tempatan, mereka akan memetik buah sacha inchi ini dan merebusnya untuk terus dimakan begitu sahaja dengan rasa lemak.

Bagaimanapun, bahagian biji inilah yang dikatakan mengandungi pati minyak yang kaya dengan Essential Amino Acids, Alpha Linoleic Acids (ALA) dan juga Omega-3 Fatty Acids.

Nilai khasiat ini telah lama digunakan oleh orang Inca di Peru dan juga penduduk kawasan Amazon sejak lama dulu sebagai sumber protin tumbuhan yang didakwa terbaik didunia.

Bagaimanapun, kini produk dari sancha inci ini telah dikomersilkan dan boleh dibeli daripada kedai farmasi dengan mudah.

Bahan yang dihasilkan daripada tumbuhan ini adalah selamat dimakan dalam kategori herba atau makanan kesihatan.

Bagi menyediakan produk pati minyak sancha inchi ini, negara Thailand banyak mengkomersilkannya dalam bentuk minyak pati cecair dan produk didalam kapsul.

Khasiat terbukti secara klinikal


Minyak Sacha Inchi


Maklumat ringkas mengenai produk sacha inci (Quick Fact) dikaitkan dengan Produk Makanan Kesihatan dan Ubat merujuk kepada tindakbalas perubatan terhadap kes Cardioprotective dan Nutritional.

Ia disebabkan kandungan bahan Alpha Linoelic Acid yang tinggi terhasil daripada tumbuhan yang tidak toksik dan selamat dimakan.

Antara kehebatan khasiat sacha inchi ini adalah seperti membantu dalam pembentukan sistem otot disebabkan oleh bahan proton tumbuhan didalamnya.

Ia juga membantu mengelakkan masalah Kardiovaskular dimana kandungan Omega-3 dapat mengimbangan kolesterol dan juga mampu menurunkan tekanan darah tinggi dan mengurangkan serangan jantung.

Setiap satu sudu serbuk sancha inchi dengan berat sekitar 15 gram membekalkan 4.5 gram bahan protin tumbuhan.

Pengambilan bahan ini disyorkan dengan kadar sebanyak 56 gram sehari atau sekitar 3 sudu sehari menurut Persatuan Dietary Antarabangsa.

Bagaimanapun, bagi sacha inci dalam bentuk minay (oil) hanya disyorkan 2 gram sehari dengan lazimnya minyak ini mempunyai 47% protin didalamnya.

Semoga memberi manfaat.



Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...