DARI terbiar sejak beberapa tahun ini, ia dimanfaatkan lima penduduk dengan mengusahakan tanah seluas 4.8 hektar itu secara berkelompok dengan tanaman jagung manis hingga memberi pulangan hasil lumayan.
Mereka adalah penduduk di Kampung Kuala Balah di Jeli, Kelantan yang mengusahakan tanaman itu setahun lalu hingga berjaya menanam hampir 30,000 pokok jagung semusim.
Pada tahun ini, mereka sudah menanam jagung itu dalam tiga musim membabitkan lebih dua bulan semusim dan permintaan pasarannya juga menggalakkan.
Selain dijual yang mentah sebanyak 14 tongkol RM10, mereka juga sepakat membuka gerai di tepi Jalan Jelawang-Jeli untuk pasaran jagung rebus.
Ketua kumpulan tanaman jagung berkelompok itu, Mat Izman Mat Hussin, 54, berkata, tanaman jagung manis yang diusahakannya antara paling luas.
Katanya, memang ada juga penduduk lain berbuat demikian, tetapi tidak seluas kumpulannya dan mempunyai kemahiran mengeluarkan jagung bermutu.
Dia mengakui tanah di kawasan itu lebih lama terbiar dan melihat kepada keadaan kerugian ada kesepakatan untuk memajukannya secara beramai-ramai.
Tanaman yang diusahakan di kawasan itu juga melihat kepada musim dan mungkin selepas ini diusahakan pula dengan tembikai kerana musim tengkujuh.
"Apabila kita tanam tembikai mungkin hasil dapat dikeluarkan pada Ramadan tahun depan dan sudah tentu mendapat pasaran baik hingga mampu meningkatkan keuntungan.
"Begitu juga musim seterusnya mungkin pelbagai sayur-sayuran seperti lada solok, timun batang dan terung sebelum datang semula pusingan jagung," katanya.
Rakan kongsi, Mohd Riduwan Shafie, 29, pula berkata, Kampung Kuala Balah terkenal sebagai pengeluaran jagung manis setanding dengan Cameron Highlands, Pahang.
Malah, katanya, ada juga pemborong daripada beberapa daerah di Kelantan datang membelinya untuk dijual secara rebus di tempat mereka.
Tanaman jagung itu sentiasa mendapat khidmat nasihat daripada jabatan berkaitan khususnya Jabatan Pertanian Kelantan dan baja serta racun dikongsi bersama.
Katanya, sehari paling kurang dapat kutip 1,500 tongkol jagung dan kadangkala hampir 3,000 tongkol apabila ada permintaan lebih daripada itu.
"Kami juga menggunakan pelbagai jentera bermula daripada membersih kawasan, membajak dan menanam bagi menjimatkan masa,"katanya.
Bagi, Siti Zuliha Shafie, 27, yang ditugaskan menjual secara tongkol jagung pula mengakui ramai yang datang membeli menyatakan jagung manis ini tersohor.
Katanya, ini kerana mereka tidak bersusah payah lagi ke Cameron Highlands bagi mendapatkan jagung manis dan harganya pula lebih murah.
"Bayangkan jagung kami ini dijual 14 tongkol RM10, tetapi saya dimaklumkan ada dijual di Cameron Highlands lebih mahal sekitar lima hingga tujuh tongkol RM10,"katanya.
Kakaknya, Noor Syatila Shafie, 31, berkata, dia ditugaskan merebus jagung untuk dijual dan permintaan juga tinggi setiap hari.
Katanya, jagung itu dijual dengan harga RM1 setongkol hingga mendapat pasaran lebih 200 tongkol sehari dan tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.
"Syukur kami tiga beradik berada dalam kumpulan tanaman jagung berkelompok itu. Hanya abang ditugaskan berada di kebun dan saya dua beradik bahagian menjual," katanya.
Rujukan: https://www.hmetro.com.my/xpresi/2020/11/644455/sepakat-tanam-jagung-manis