Rasulullah SAW adalah
manusia biasa, bukan malaikat dan bukan pula anak Tuhan atau
lain-lainnya. Beliau secara manusiawi sama dengan kita seluruh umat
manusia. Ayahanda beliau adalah Abdullah bin Abdul Muthallib, ibundanya
bernama Aminah, keduanya dari suku Quraisy di Mekah keturunan Nabi
Ismail bin Nabi Ibrahim AS.
Rasulullah
SAW adalah Rasul pilihan Allah yang diutuskan kepada umat manusia untuk
membimbing mereka kepada hidayah Allah; berbuat yang ma’ruf dan
mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah. Sebelum kedatangan
Rasulullah SAW, manusia berada di ambang kehancuran lantaran kebudayaan
yang menyebabkan tertegak nya tamadun ketika itu telah hancur.
Ketika
kemanusiaan sedang berada dalam kesesakan nafas di ambang maut, Allah
mengutuskan Rasulullah SAW untuk membangkitkannya semula dan
mengeluarkan umat manusia dari kegelapan kepada cahaya. Rasulullah SAW
memecah belengu-belengu jahiliah dan khurafat dan mengajak manusia
kepada pengabdian yang akan membebaskan mereka daripada segala bentuk
ikatan lain. Dia mengembalikan kepada mereka kebahagiaan hidup yang
sebenarnya.
Itu
semua biasa kita baca dalam buku-buku agama. Yang jarang kita dengar
ialah sifat keusahawanan atau ciri-ciri perniagaan Rasulullah SAW.
Baginda
sudah mula berniaga sejak berumur 12 tahun. Di bawah jagaan Abu Talib
as, Rasulullah saw telah mula mengikut Abdul Talib as berniaga sehingga
ke Syria. Abdul Talib adalah mentor perniagaan kepada Rasulullah ketika
muda.
Dan
Rasulullah merupakan ahli perniagaan yang hebat. Pada suatu ketika, di
waktu berniaga, Rasulullah telah memperoleh keuntungan lebih dari
usahawan-usahawan lain dalam rombongan yang sama. Oleh kerana kehebatan
Rasulullah saw dalam perniagaan, Baginda berjumpa dengan isterinya, Siti
Khadijah (yang juga seorang usahawan unggul) ketika berumur 25 tahun.
Perniagaan
adalah perkara yang penting dalam Islam, malah menjadi satu terminologi
yang sering disebut dalam al-Quran, contohnya:
“Sesungguhnya
orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta
mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi
atau secara terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan rugi(35:29)”
“Wahai orang-orang yang beriman. Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang
tidak terperi sakitnya? Yakni kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya,
serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta
benda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu,
jika kamu hendak mengetahui (61:10-11)”
Kenapa
Allah menyebut perniagaan dan bukan pekerjaan? Kerana perniagaan itu
ialah sesuatu yang menguntungkan dan memerlukan usaha tulang empat kerat
kita sendiri. Dan boleh juga merugikan sekiranya tidak dijalankan
dengan betul.
Dan
Rasulullah sering disalah anggap sebagai miskin. Tidak, Baginda seorang
yang kaya. Cuma hidup yang dijalaninya tidak seperti orang-orang kaya.
Tiada rumah bertingkat-tingkat, tiada TV Plasma, tiada kereta Ferrari.
Tetapi apabila Baginda keluar berjuang, contohnya berperang. Baju
perang, pedang Baginda adalah dari yang terbaik, kuda-kuda perang adalah
dari jenis yang terbaik. Makna kata seluruh harta Baginda digunakan
untuk memperjuangkan Islam, bukan membuncitkan perut sendiri. Malah
Baginda Rasulullah pernah mengikat batu-batu ke perutnya untuk menahan
lapar.
Rasulullah pernah bersabda tentang pemilikan harta:
“Harta
itu merupakan kekayaan terpuji TETAPI hanya bagi orang yang soleh,
kerana orang yang soleh akan menggunakan hartanya secara bijaksana,
tidak dikotori rasa angkuh yang menghilangkan keberkatan dari Allah.”
Ingin tahu cara Rasul Terulung kita berniaga? Teruskan membaca.
Tidak Pernah Berdebat
Rasulullah
dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain. Hal
ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan Baginda SAW sebelum
Baginda diangkat menjadi rasul lagi. Dalam satu peristiwa, seorang
peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat
Saib datang, Rasulullah berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara
saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata
Rasulullah . Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar
sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.”
Teknik Menjual Yang Unik
Mengikut
riwayat, Nabi menjual barang-barang Baginda tidak seperti diamalkan
oleh kebanyakan peniaga atau lain-lain saudagar ketika itu. Baik peniaga
Arab atau pun bukan Arab. Biasanya para peniaga kebanyakannya mereka
menjual barang-barang dagangan mereka dengan meletakkan harga yang
setinggi mungkin. Tetapi Nabi menjualnya dengan cara memberitahu harga
pokok dan meminta para pelanggan atau pembeli membayar berapa harga yang
mereka kehendaki.
Dengan
cara ini pembeli merasa puas dan senang hati kerana mereka merasa tidak
tertipu oleh peniaga. Lalu mereka membeli dengan larisnya sehingga
barang-barang Nabi paling laku dan cepat habis berbanding rakan-rakan
Baginda yang lain. Selain itu Nabi juga mengambil sikap menjual pada
harga modal apabila sipembelinya seorang yang benar-benar miskin tetapi
memerlukan kepada barang itu. Baginda amat bertimbang rasa dan amat
pengasihan belas kepada sesama manusia. Manakah ada manusia yang menjual
barang-barang dagangannya dengan harga modal?
Sentiasa Senyum
Satu
lagi daya penarik yang luar biasa yang telah menarik para pembeli untuk
mendekati barang-barang Nabi ialah sikap dan wajah Baginda semasa
berjualan itu. Selaku seorang insan yang sedia dijadikan Allah berwajah
kacak menawan dan gemar melemparkan senyuman kepada orang, maka Nabi
telah menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah kepada Baginda
itu. Dengan wajah yang manis dan menawan dihiasi pula dengan senyuman
yang manis, pastilah keindahan dan keelokan yang terpancar di wajah
seseorang itu semakin bertambah. Walaupun tutur kata tidak seberapa ,
tetapi para pelanggan tetap menggemari orang yang berwajah manis dan
selalu memberi senyuman kepada orang.
Jujur
Baginda
bersabda, “Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama
para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati
syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi). Dalam konteks ini, kejujuran
ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam
perniagaan.Ketika kita berbincang mengenai perniagaan seorang Muslim,
kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang
membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan
piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.
Pada
suatu hari, Rasulullah berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah.
Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang
dilonggok-longgokkan. Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan
memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan. Kemudian Rasulullah
menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada
peniaga itu. “Apa ini saudara ?” tanya Rasulullah. “Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu. “Mengapa
saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas
supaya orang dapat melihatnya ?” kata Rasulullah. Kemudian Baginda
berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
Tidak Bersumpah Palsu
Dengan
tegas, Rasulullah SAW mengecam amalan perdagangan yang dipenuhi tipu
daya. Apalagi sampai bersumpah palsu, mengandungi unsur riba atau
berbisnes di pasar gelap. Sebab, model menjalankan bisnes seperti itu
tak saja merugikan orang lain, tapi juga membuat perniagaan yang
dijalankan tidak lancar. Hal itu sebagaimana ditegaskan Rasulullah SAW
dalam sebuah hadis, “Penjual dan pembeli memiliki hak pilih selama belum
berpisah. Apabila mereka jujur dan mahu menerangkan (keadaan barang),
mereka akan mendapat berkat dalam jual-beli mereka. Dan jika mereka
bohong dan menutupi (cacat barang) akan dihapuskan keberkatan jual-beli
mereka.” (HR. Muslim) Rasulullah SAW mengajarkan kepada para sahabat
untuk tidak melakukan sumpah, selain mengakibatkan kehilangan berkatnya.
Lemah Lembut
Baginda Rasulullah SAW
sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika
menjalankan perniagaan. Jabir telah meriwayatkan bahawa Rasulullah telah
bersabda yang bermaksud: “Allah SWT mencucuri rahmat kepada orang yang
berbuat baik ketika ia berjual, ketika ia membeli dan ketika ia membuat
tuntutan.”
Bukan Mengejar Harta Semata-mata
Rasulullah
SAW bekerja keras mencari penghidupan yang halal. Baginda menjalankan
perniagaan bukan sahaja untuk menyara kehidupan Baginda tetapi juga
untuk mengukuhkan potensi Baginda agar orang yang kaya tampil ke hadapan
untuk menghulur modal mereka untuk digunakan oleh Baginda bagi tujuan
perniagaan.
Muamalah
seperti ini amat digalakkan oleh Islam kerana terdapatnya unsur bantu
membantu di kalangan mereka yang berada dan tidak berada. Firman Allah
SWT dalam surah Al Ma’idah ayat 2: Bermaksud: “Dan hendaklah kamu bantu
membantu dalam perkara-perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu
sekali-kali bantu membantu dalam perkara-perkara kejahatan dan
permusuhan.”
Fasih Tutur Kata
Rasulullah
SAW merupakan seorang yang mempunyai kefasihan dalam tutur katanya.
Tutur katanya lembut, lunak didengar, tidak pernah berbohong dan
sentiasa jujur. Oleh itu, tidak hairanlah apabila Baginda mengendalikan
perniagaan harta Khadijah, Baginda memperoleh keuntungan yang banyak.
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan kefasihan Baginda yang telah
diriwayatkan oleh Al-Tarmizi dari Syaidatina Aishah: Bermaksud: “Adalah
Rasulullah berkata-kata dengan perkataan yang terang serta jelaslagi
tegas, dapat difahami oleh setiap orang yang mendengarnya (duduk bersama
Baginda).
Keuntungan Maksimum Adalah Mungkin
Walaupun
ada ustaz (penceramah) yang mengatakan untung hanya boleh diambil
sekitar 30% sahaja, namun kata-kata Rasulullah SAW lebih utama untuk
kita jadikan pegangan. Terdapat satu hadis sahih yang menceritakan,
seorang sahabat Nabi membeli dua ekor kambing dengan 1 dinar. Kemudian, sahabat itu tadi menjual salah seekor kambing
itu dengan harga 1 dinar. Bermaksud, di tangannya ada seekor lagi
kambing dan wang sejumlah 1 dinar. Sahabat itu datang kepada Rasulullah
dan kemudian menyatakan apa yang telah beliau lakukan (menjual dengan
cara begitu). Rasulullah tidak berkata apa-apa melainkan mendoakan agar
sahabatnya itu mendapat keberkatan dalam perniagaan yang dilakukannya.
Ada
lagi hadis sahih lain riwayat Abu Daud di mana Rasulullah ditanya
mengapa tidak ditetapkan keuntungan maksimum (kawal kadar keuntungan).
Lantas Rasulullah menyatakan, itu adalah satu ‘kezaliman’ untuk para
peniaga. Daripada dua contoh di atas berasaskan dalil yang sahih, kita
dapati tidak mengapa kita menaikkan keuntungan sesuatu jualan produk
sehingga 100%. Cuma yang dilarang adalah menyorokkan barangan keperluan
asasi manusia pada ketika permintaan mendadak, dan dijual kembali
apabila harganya dinaikkan. Ataupun apabila pihak pemimpin (kerajaan)
menetapkan sesuatu perkara, maka kita wajib mematuhinya.
Maka,
kepada para peniaga, marilah contoh cara-cara bisnes Rasulullah SAW,
yakni akan memperoleh pahala kerana mengikut sunah Baginda.
Wallahualam.