“Bagaimana anda boleh memuaskan nafsu lapar anda sedangkan jiran anda menghabiskan malam mereka dalam keadaan kelaparan?”
Pada bulan Mei 2011, Sulaiman Al Rajhi
telah melemparkan soalan ini kepada sekumpulan ahli perniagaan di
hadapannya. Pada bulan yang sama juga, dunia telah digemparkan dengan
pengumuman beliau untuk memindahkan sebahagian besar harta kekayaannya
yang dianggarkan Forbes bernilai USD 7.7 bilion itu kepada anak-anak
beliau dan sebahagian besar yang lain kepada badan-badan amal dan
kebajikan. Dengan bantuan agensi-agensi yang berkaitan, pengagihan
harta perniagaannya termasuklah saham dan hartanah miliknya telah
berjaya dilakukan dan seterusnya menjadikan beliau insan yang ‘miskin’
semula dan hanya tinggal ‘sehelai sepinggang’. Kata Sulaiman Al Rajhi,
jalan yang dipilihnya ini, telah membuatkan jiwanya menjadi lebih tenang
dan gembira. Beliau menganggap dirinya hanyalah penjaga bagi seluruh
harta kekayaannya, dan pemilik kekal adalah Allah S.W.T. Dengan
melakukan pengagihan hartanya, beliau juga dapat mengelakkan perebutan
harta dan seterusnya permusuhan dalam kalangan anak-anaknya sekiranya
beliau pergi meninggalkan dunia tanpa mengagihkan hartanya terlebih
dahulu. Sesuatu yang tidak diingininya adalah melihat perpecahan antara
anak-anaknya sendiri, seperti yang kerap berlaku dalam masyarakat
sekarang yang seterusnya pada fikirannya akan merugikan keluarga,
masyarakat dan negara. Pengagihan harta ini juga dibuat agar beliau
boleh memastikan pewarisnya boleh menguruskan perniagaan dan pelaburan
yang telah dibuatnya. Dengan cara ini juga, beliau berpeluang untuk
memberi tunjuk ajar kepada anak-anaknya, sekiranya mereka menghadapi
masalah dalam mentadbir perniagaan yang diwarisi. Sulaiman Al Rajhi
juga berharap dengan mewariskan sebahagian besar daripada hartanya ke
jalan Allah, beliau telah dapat menunaikan tanggungjawab menjaga
saudara-saudara Islam yang lain dan seterusnya menjadi bekalan pahala
untuk dirinya di akhirat kelak.
Latar Belakang Sheikh Sulaiman bin Abdul Aziz Al Rajhi – Daripada Padang Pasir Akhirnya Ke Mata Dunia
Sulaiman Al Rajhi lahir pada tahun
1920, merupakan seorang tokoh korporat dan jutawan berbangsa Arab
Saudi. Beliau menerima pendidikan terakhirnya daripada Universiti King
Abdul Aziz di Arab Saudi. Beliau merupakan pengerusi kepada Bank Al
Rajhi, salah satu syarikat terbesar di Arab Saudi dan bank Islam yang
terbesar di seluruh dunia. Sulaiman Al Rajhi merupakan seorang jutawan
Arab yang hebat. Pada tahun 2011, Forbes telah menyenaraikan beliau
sebagai seorang yang berpengaruh dan merupakan orang yang ke 120 terkaya
di dunia. Beliau juga dikatakan antara 10 orang yang terkaya di Arab
Saudi.
Sulaiman Al Rajhi bukanlah seorang
yang lahir dalam keluarga yang berada dan bukan juga seorang yang
berketurunan diraja. Beliau membesar di padang pasir Nejd dan
bersama-sama saudara kandungnya, Saleh Al Rajhi telah memulakan
perniagaan menukar wang untuk pengembara yang merentasi padang pasir ke
Bandar Mekah dan Madinah. Banyak syarikat yang telah ditubuhkan oleh
Sulaiman Al Rajhi antaranya ialah Bank Al Rajhi, Pusat Penternakan Ayam
al-Watania dan Pusat Pertanian Al-Watania. Sulaiman Al Rajhi juga
merupakan pengasas kepada Yayasan Kebajikan Sulaiman Al Rajhi yang juga
dikenali sebagai Yayasan SAAR yang merupakan sebuah organisasi kebajikan
dan amal yang terkemuka di dunia. Kini selepas pengagihan hartanya
dibuat, fokus Sulaiman Al Rajhi lebih kepada kerja-kerja amal seperti
menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan Yayasan SAAR.
Walaupun usianya sudah mencecah lebih 90 tahun, Sulaiman Al Rajhi masih lagi aktif dalam menguruskan hal-hal perniagaan beliau.
Bank Al Rajhi – Perbankan Secara Islam
Di kala usia mudanya, beliau
berpengalaman dalam aktiviti penukaran mata wang. Pengalaman yang
dikutipnya ini dijadikan asas dan panduannya untuk menubuhkan Bank Al
Rajhi, dan seterusnya menjadikannya pemegang saham terbesar untuk
syarikat itu. Abang beliau Sheikh Saleh Bin Abdul Aziz Al Rajhi juga
turut menjadi tulang belakangnya dalam merancang penubuhan serta
menguruskan Bank Al Rajhi. Sulaiman Al Rajhi adalah seorang yang bijak
mentadbir dan menjalankan urusan perniagaannya sehingga Bank Al Rajhi
dilaporkan mencatat keuntungan yang paling tinggi jika dibandingkan
dengan bank-bank lain di Arab Saudi.
Menceritakan
semula detik permulaan perbankan secara Islam, melalui satu wawancara
media yang dibuat oleh Muhammad Al-Harbi daripada Al-Eqtisadiah Business
Daily, Sulaiman Al Rajhi telah menceritakan bagaimana pada lebih 30
tahun dahulu, beliau telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan
Pengurus Bank of England untuk berbincang mengenai perbankan secara
Islam. Beliau menegaskan bahawa bayaran ‘faedah’ adalah riba yang haram
bagi kedua-dua agama Islam dan Kristian, dan mengesyorkan perbankan
secara Islam sebagai penyelesaian yang terbaik bagi menaikkan taraf
ekonomi dunia. Setelah idea dan fakta-fakta yang dibincangkan ini
diterima, beliau kemudiannya telah pergi ke serata dunia untuk berjumpa
dengan ketua-ketua bank negara dan memberitahu mereka bagaimana
ciri-ciri yang terdapat dalam dunia ekonomi Islam. Perbankan secara
Islam yang mendapat sokongan mufti besar, Sheikh Abdul Aziz Bin Baz ini
kemudiannya mula diterima di mata dunia dan dilaksanakan di negara Arab
dan juga di kota London.
Terkini, Bank
Al-Rajhi telah mempunyai sebanyak 570 cawangan di seluruh dunia. Pada
Oktober 2006, Bank Al Rajhi telah membuka cawangannya di Malaysia dan
sebanyak 25 cawangan bank nya sudah dibuka sehingga kini, 15 di Lembah
Kelang, satu masing-masing di Johor Bahru, Melaka, Penang, Ipoh, Kota
Bharu, Kuantan, Kuching, Sg. Petani dan Kota Kinabalu. Bank Al Rajhi
juga telah dianugerahkan beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.
Pusat Penternakan Ayam al-Watania
“Dan janganlah kamu makan daripada apa
(daging haiwan) yang ketika disembelih tidak disebut nama Allah,
perbuatan itu benar-benar suatu kefasiqan..” – Surah Al-An ‘am ayat 121.
Sulaiman Al Rajhi seorang yang amat
sensitif dalam etika penternakan haiwan ternakan. Ketika beliau
mengadakan lawatan ke ladang ternakan di luar negara, beliau telah
melihat dengan matanya sendiri proses penternakan yang ada. Beliau
merasakan proses yang dilakukan pada ketika itu adalah salah dari segi
syariah. Beliau kemudiannya memutuskan untuk menceburi bidang ternakan
dengan menubuhkan Pusat Penternakan Ayam al-Watania yang terletak di
Bandar Qassim, Arab Saudi. Ayam-ayam di ladang ternakannya ini diternak
dengan baik, diberi makan dengan sempurna dan disembelih secara halal
mengikut undang-undang syariah. Kini syarikat ini telah berjaya
mengeluarkan setengah juta ayam dan satu juta telur setiap hari dan
menguasai 40% pasaran di Arab Saudi dan merupakan ladang binatang
ternakan yang terbesar di Timur Tengah.
Pusat Pertanian Al-Watania
Sulaiman Al Rajhi juga telah melabur
lebih USD 250 juta dalam pertanian secara organik untuk memastikan
masyarakat dapat makan makanan yang bebas daripada bahan kimia
berbahaya. Syarikat Pertanian Al-Watania yang ditubuhkan pada tahun
1982 kini telah menjadi salah satu syarikat pertanian terkemuka di Arab
Saudi. Syarikat ini telah banyak melakukan penyelidikan terhadap
tanaman secara organik dan berbangga dengan produk pertanian nya yang
menggunakan baja organik sepenuhnya. Beribu pejabat di kota Riyadh,
syarikat ini mempunyai ladang yang terletak di utara, tengah dan selatan
Arab Saudi.
Universiti Sulaiman Al Rajhi
Selain itu, Sulaiman Al Rajhi juga
telah menubuhkan Universiti Sulaiman Al Rajhi yang fokus utamanya adalah
untuk melahirkan pelajar-pelajar dalam pelbagai bidang antaranya
kesihatan dan perbankan Islam. Kelahiran pelajar daripada universiti
yang terletak di daerah Qassim, Arab Saudi ini juga dilihat dapat
memenuhi keperluan tenaga kerja yang diperlukan oleh negara Arab Saudi.
Keperibadian Sulaiman Al Rajhi
Kejayaan sentiasa
berpihak kepada Sulaiman Al Rajhi, tak kira apa jua bidang yang
diceburinya. Namun beliau juga tidak pernah terlepas daripada dugaan
Allah S.W.T., antaranya apabila kilang ternakan beliau hangus terbakar
dijilat api. Peristiwa ini berlaku bukan sekali tetapi dua kali kilang
yang berlainan menghadapi masalah kebakaran. Apabila diberitahu perihal
kejadian itu oleh kakitangan syarikatnya, beliau tampak sabar dan tabah
dan hanya mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Beliau kemudiannya meminta agar
pengurusan syarikat kilangnya itu berpindah ke tempat lain dan
membersihkan segala kerosakan yang dialami sehingga semuanya dapat
dibaiki.
Sulaiman Al Rajhi
bersifat suka merendah diri dan turut memiliki pegangan saham syarikat
penerbangan namun tidak berminat untuk memiliki jet peribadi. Katanya
beliau lebih suka menaiki penerbangan kelas ekonomi, baginya Allah tidak
memberikannya harta untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai. Beliau
juga seorang yang sangat suka bersedekah dan baru-baru ini telah membuat
amal dengan memberi makan kepada hampir 3 juta jemaah haji yang
mengerjakan wuquf di Arafah. Sulaiman Al Rajhi tidak hanya menyediakan
wang dan mengupah orang memasak hidangan itu, tetapi beliau sendiri
telah ‘turun padang’ dan terlibat secara aktif bersama-sama lebih
daripada 800 tukang masak yang diupah untuk penyediaan hidangan itu.
Sesuatu yang
dipelajarinya pada awal pembabitannya dalam urusan perniagaan, ialah
untuk menepati masa. Pernah katanya temu janjinya untuk berjumpa dengan
seorang pegawai di Eropah dibatalkan hanya kerana beliau terlewat
beberapa minit untuk temu janji itu. Sejak daripada peristiwa itu,
beliau telah mendisiplinkan dirinya untuk lebih menepati masa. Beliau
juga sering membawa buku nota kecil untuk mencatatkan aktiviti harian
beliau dan akan sentiasa merujuk buku nota nya untuk memastikan beliau
tidak lupa apa-apa aktiviti atau temu janji yang telah dijadualkan.
Ketegasannya
dengan prinsip Islam amat digeruni, pernah beliau keluar daripada satu
majlis makan malam apabila mengetahui terdapat program hiburan di majlis
makan malam itu. Setelah pembatalan program hiburan tersebut, dan
setelah dijemput semula oleh menteri yang terbabit barulah beliau
menyertai semula majlis makan malam itu.
Kerajaan Arab
Saudi juga telah menganugerahkan beliau Anugerah Antarabangsa Raja
Faisal 2012 dalam satu acara gilang gemilang yang telah diadakan di
Riyadh. Beliau telah dipilih untuk menerima anugerah ini atas jasa dan
peranan besar beliau dalam mewujudkan perbankan Islam yang terbesar
selaras dengan ajaran Syariah. Beliau juga diiktiraf atas segala jasa
beliau seperti sokongan kewangan yang diberikan, mencetak ratusan ribu
salinan Al-Quran dan mengedarkan nya secara percuma ke seluruh dunia,
terutamanya di Afrika, pembinaan masjid dan sumbangan tak terkira beliau
dalam pembangunan sosio-ekonomi.
Semoga
jasa dan bakti yang telah beliau taburkan diingati selalu. Marilah
kita sama-sama berdoa agar usianya dipanjangkan dan hidupnya diberkati
Allah dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment