Carian Maklumat Di Sini...

Google

Analisa Kewangan dan Pendapatan

 

KEARAH SASARAN PENDAPATAN USAHAWAN TANI MUDA HINGGA LEBIH 
RM 4,000.00 SEBULAN

Mari saya kongsikan berkenaan dengan KOS untuk sesebuah projek fertigasi, lebih-lebih lagi projek fertigasi cili/lada.

1. KOS

Kita gunakan pengiraan yang mudah :

Pada masa sekarang, kos barang-barang input dan sebagainya agak mahal, jadi kadar pengiraan adalah seperti berikut :

  1. Se ekar tanah boleh memuatkan sekitar 3500-4000 polibag. Jumlah ini adalah jumlah ekonomi untuk sesebuah projek fertigasi.
  2. Anggaran kos se polibag ialah RM 9.00/polibag PADA MUSIM PERTAMA, ini kerana bila memasuki musim kedua dan seterusnya, kita hanya perlu membeli baja, racun, bil elektrik dan lain-lain. Cuci ladang, sistem pengairan, media, kelengkapan lain dan sebagainya telah di beli pada musim pertama lagi. Dengan kata lain, kos musim kedua dan seterusnya turun kepada RM10,000 (Modal sekitar RM 6000-RM10,000 pada musim kedua).
Pengiraan (Katakan tanam 3500 polibag)

3500 polibag X RM 9.00 = RM 31,500.00 (Cukupkan RM 40,000 - Termasuk bangsal dan stor), jadi pada musim pertama, modal permulaan ialah lebih kurang RM40,000.00.


2. PENDAPATAN

Sesebuah projek fertigasi, purata pengeluaran sepokok cili ialah 2.5KG/Musim. Jika penjagaan yang baik dan mengikut amalan pertanian yang baik, sepokok cili boleh menghasilkan hingga 3.5-4KG sepokok semusim. Untuk memudahkan, kita letakkan sasaran (KPI) sebanyak 2.5Kg/Pokok/Musim (Semusim = 6 bulan).

Jadi :
3500 Polibag X 2.5Kg = 8,750kg (8.75 Tan).

Berapa harga ladang (harga tolak kepada peraih) sekarang?
Ketika artikel ini ditulis (Bulan Ramadhan), harga tolak ialah RM 10/Kg (Gred campur)
Ambil purata, kerana harga cili ada turun dan naik. Ambil Purata RM6/Kg.

Jadi :
8,750kg X RM 6.00 = RM 52,500.00 

Pendapatan bersih (Lebih Kurang)

RM52,500 - RM 40,000 = RM 12,500

Pendapatan Bulanan (6 Bulan/Musim)

RM 12,500 / 6 Bulan = RM 2083 ++ <--- Musim pertama ni


PENDAPATAN BERSIH PENGUSAHA FERTIGASI CILI SEBULAN IALAH RM 2000++ (ini musim pertama).


BAGAIMANA PULA MUSIM KEDUA?
Anggaran kos musim kedua jatuh sekitar RM 10,000/Musim (bagi pembelian baja, racun, foliar, bil air dan elektrik dan kos-kos tambahan lain)

Jika pendapatan masih sama iaitu RM 52,500.00
Jadi :
RM 52,500.00 - RM 10,000 = RM 42,500.00 / 6 bulan = RM 7,000 ++ Sebulan. 

Pendapatan seorang Agropreneur Muda yang mengusahakan projek Fertigasi Lada Solok ialah RM7000++ Sebulan (Bersih)

Benarkah pendapatan RM7000? Jawapannya memang YA kerana ada pengusaha fertigasi mendapat RM9000 sebulan dengan hanya menanam lada 4500 polibag (Seekar lebih).

Nota :
  1. Kos adalah bergantung kepada pengusaha, jika pengusaha hadir kursus dan banyak melawat tempat projek fertigasi serta berkongsi pendapat dengan mereka yang berpengalaman, cara pemaangan dan tip-tip penjimataan, InsyaAllah kos akan berkurangan lagi.
  2. Berkenaan dengan harga ladang (peraih ambil di ladang), harga lada pernah jatuh kepada RM5.00 sekilo bagi lada solok dan bagi lada kulai pernah jatuh kepada RM3/Kg. Dan harganya juga pernah melonjak ke RM 12/Kg. (Bergantung kepada permintaan dan pengeluaran)
  3. Kadar kerosakkan/Kematian tanaman hendaklah tidak boleh lebih 5%.
  4. Musim pertama dah dapat semula modal? Akan tetapi, jia dibawah Unit Agropreneur Muda (samada bawah KADA atau MOA), geran kerajaan akan diberikan kepada peserta yang layak, iaitu maksima RM50,000 bagi projek baru dan RM300,000 kepada projek sedia ada dengan subsidi kerajaan adalah sebanyak 30% dari jumlah pinjaman. Maksudnya, jika pinjam RM10,000, peserta hanya perlu bayar RM7000 sahaja dan RM3000 lagi adalah pemberian kerajaan kepada peserta iaitu dalam bentuk barang-barang.
  5. Jika kita membuat pinjaman, bayaran mestilah secara ansuran dan selama beberapa bulan (60 bulan contohnya), jadi..tiada yang bayar sekaligus seperti pengiraan di atas. Maknanya pedapatan bulanan pada musim pertama adalah tinggi dari pengiraan di atas.

Dalam bahasa yang mudah, sasaran pendapatan Usahawan Tani Muda iaitu sebanyak RM4000 sebulan tercapai.

Waullahu 'Alam.

Untuk maklumat tambahan, boleh rujuk blog Pegawai Mardi : http://myagri.com.my/2011/01/analisa-kewangan-fertigasi/

Pengenalan Teknologi Fertigasi

 

Gambar : www.tanahijau.com
Fertigasi (fertigation) berasal daripada perkataan “fertilizer” dan “Irrigation”. Definasi Fertigasi adalah satu kaedah penanaman yang mana pemberian baja yang lengkap kepada tanaman diberikan dalam bentuk larutan dan disalurkan ke zon akar melalui sistem pengairan titis.

Fertigasi adalah salah satu daripada cabang disiplin hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro.

Beberapa media digunakan bagi tujuan menggantikan fungsi tanah seperti cocopeat, sekam padi, rootwool, perlite, zeolite dan juga vermiculate dalam kaedah tanaman fertigasi. Cocopeat dan sekam padi digunakan secara meluas kerana harganya murah, ringan, berkualiti dan mudah digunakan.

Pokok ditanam di dalam bekas atau polibeg yang mengandungi media bukan tanah yang sesuai. Media yang biasa digunakan adalah sekam bakar dan sabut proses (Nisbah 50:50) yang mempunyai pH 6.5 – 6.8. Pembajaan yang diberikan mengikut formulasi baja yang tertentu bergantung kepada jenis tanaman.

Selain itu, tanaman kebiasaannya ditanam di tapak penanaman yang mempunyai struktur pelindung hujan dan serangga tetapi kebanyakkan pengusaha sekarang, ramai yang menggunakan kaedah fertigasi terbuka yang mana ia lebih murah dan menjimatkan.

Kaedah Fertigasi ini bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangga kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit serangan bakteria yang berpunca daripada tanah.

Kaedah Fertigasi mempunyai kelebihan tersendiri berbanding dengan kaedah konvensional:


Gambar : syagogreen.blogspot.com
  1. Pemberian nutrien lengkap yang boleh dikawal mengikut kehendak tanaman berdasarkan jenis dan peringkat pertumbuhan sesuatu tanaman;
  2. Media tumbesaran dan persekitaran menjamin kebersihan dan menghindarkan masalah penyakit;
  3. Mengatasi masalah tanah seperti tidak subur, perumah penyakit dan perosak;
  4. Meningkatkan hasil per unit kawasan dengan kepadatan tinggi;
  5. Tiada masalah merumpai sekali gus mengurangkan kos buruh;
  6. Kualiti hasil yang lebih baik;
  7. Penggunaan baja yang cekap. Mencapai 85% berbanding kaedah tabur hanya 30%;
  8. Mengurangkan penggunaan racun keatas tanaman terutamanya jika jejaring kalis serangga diguna pakai;
  9. Hasil lebih tinggi, boleh mencapai sehingga 700% atau tujuh kali ganda.
  10. Pengurusan tanaman yang lebih sistematik.
Gambar : www.rahsiatanam.com
Dalam kaedah Fertigasi, beberapa peralatan digunakan bagi tujuan mengawal serangga perosak dan merumput dengan membuat Rumah Lindungan Hujan dan juga jaring kalis serangga. Kaedah ini menyebabkan tenaga buruh dapat dijimatkan. Sistem ini juga tidak menggunakan tanah dan tidak memerlukan penggunaan tanah yang luas.

Peralatan atau kompenen yang diperlukan dalam sistem fertigasi adalah seperti tangki, tong stok nutrient, pam, paip poly atau pvc. Dripper, mini tubing, tubing, timer dan peralatan kawalan air dan baja. Dalam sistem fertigasi, air baja diberi mengikut masa iaitu antara 3 – 6 kali sehari selama 5 – 10 minit. Ini bergantung kepada cuaca dan juga kawasan tanaman.

Kaedah Fertigasi sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun jepun, cili merah, terung, melon, cili sayur, strawberi dan juga pokok hiasan. Ringkasnya , sistem tanaman ini adalah sangat sesuai untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran.


Contoh Fertigasi Terbuka (Gambar : greenleafagrow.blogspot.com)

 Pada masa ini, defisit negara dalam imbangan perdagangan makanan ialah sebanyak RM4.3 bilion.

Justeru itu, industri pertanian perlu kepada transformasi untuk menjadikan sektor ini benilai tinggi seperti juga industri di sektor pembinaan dan pembuatan serta perkhidmatan yang lebih moden, dinamik dan berdayasaing.




Contoh Fertigasi di bawah Rumah Perlindungan Hujan (RPH). Gambar : mytongkang.blogspot.com

Kerajaan melihat bahawa negara perlu meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian itu program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi meningkat produktiviti perlu dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan belia tani bagi melahirkan usahawan tani, sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system) dan program fertigasi tanaman pertanian ini.

Rujukan : http://duniafertigasi.blogspot.com/

Fertigasi Gantung Terbuka (Hanging Open Fertigation)

 'Teknologi' baharu dalam bidang Fertigasi ialah Fertigasi Gantung. Amat sesuai di bina jika tanah tapak projek sering dilanda banjir samada banjir kilat atau banjir musim. Tapi kos pembinaannya amat tinggi, boleh dikatakan hampir sekali ganda dari kos fertigasi atas tanah. Namun, hasilnya berbaloi. Selain selamat dari banjir, kerja-kerja meracun rumput juga mudah. Begitu juga dengan serangan binatang buas seperti babi ataupun lembu (kalau lembu kena angkat polibag tinggi).


Apapun, mari layan gambar (gambar aje) yang di petik dari blog cikgu Obo : KLIK SINI
Boleh lawati blog beliau untuk kaedah-kaedah pemasangan sistem Fertigasi Gantung ini.

















Sedikit pendedahan tentang fertigasi gantung di blog Anim Agro Tech, KLIK SINI

Rujukan : http://agrotumpat.blogspot.com/2015/07/fertigasi-gantung-terbuka-hanging-open.html


Bekal nutrien lengkap, lebih efisien

 

THEEBA menjalankan kajian untuk melihat kesan penggunaan baja kepada tumbuhan dan alam sekitar.

THEEBA menjalankan kajian untuk melihat kesan penggunaan baja kepada tumbuhan dan alam sekitar.

PENGGUNAAN baja dalam tanaman dilihat begitu penting kerana ia memberi khasiat tambahan untuk tumbesaran tanaman itu sendiri.

Malah, penggunaan baja untuk sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting bagi membolehkan pengusaha tanaman mendapatkan hasil yang lebih cepat serta bermutu.

Namun, timbul cabaran dalam persekitaran semasa apabila terdapat baja yang boleh memberi kesan buruk kepada persekitaran terutama penggunaan baja kimia yang tidak mengikut sukatan yang betul.

Tidak sekadar itu, lebih memburukkan keadaan apabila berlaku perubahan iklim seperti hujan lebat berterusan mengakibatkan bahan kimia itu larut resap lebih cepat ke dalam tanah dan berpotensi mencemarkan kawasan yang menjadi sumber air.

Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalankan kajian untuk menghasilkan baja mesra alam yang bukan saja bersifat lestari malah lebih meningkatkan pengeluaran serta menjimatkan kos.

Hasil kajian sejak Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) iaitu selama lima tahun, Mardi menerusi penjana teknologinya, Theeba Manickam berjaya menghasilkan baja mesra alam yang dikenali sebagai Organo Plus.

Theeba berkata, kebanyakan baja konvensional sedia ada di pasaran memfokuskan kepada makronutrien nitrogen (N), fosforus (P) dab kalium (K) yang kurang cekap untuk diserap tanaman.

Katanya, perkara itu akan mempengaruhi pembaziran nutrien akibat larut resap dan meningkatkan kos pengeluaran sekali gus mencemarkan alam sekitar.

"Baja OrganoPlus adalah formulasi terkini hasil kajian penyelidik di Mardi yang menggabungkan komponen nutrien daripada bahan mineral dengan komponen organik dan semula jadi iaitu kompos biochar serta pemangkin.

THEEBA menunjukkan baja OrganoPlus.
THEEBA menunjukkan baja OrganoPlus.

"Malah baja ini adalah baja hibrid gabungan elemen organik dan mineral dapat membekalkan nutrien lengkap secara lebih efisien bagi pengeluaran hasil tanaman yang tinggi dan mampan," katanya.

Theeba berkata, di samping membekalkan nutrien yang penting untuk pengeluaran hasil tanaman, OrganoPlus juga mempunyai elemen perapi tanah dan pemangkin penyerapan nutrien yang penting bagi membantu mengurangkan kadar larut resap untuk pembajaan yang efisien serta mesra alam.

"Baja ini adalah sesuai untuk semua jenis tanah dan pelbagai tanaman buah seperti cili dan tomato. Selain itu, ia juga sesuai untuk tanaman bungaan dan buah-buahan yang penting mengikut keperluan tanaman itu sendiri," katanya.

MAMPU menghasilkan sayur lebih berkualiti.
MAMPU menghasilkan sayur lebih berkualiti.

Jelasnya, baja itu diuji keberkesanannya ke atas peningkatan hasil tanaman daripada 12 hingga 18 peratus dengan pengurangan baja sebanyak lima hingga 10 peratus berbanding baja komersial.

"Kajian dijalankan ke atas pelbagai jenis sayur-sayuran dan bunga-bungaan di atas pelbagai jenis tanah antaranya tanah tinggi Cameron Highlands, tanah gambut dan tanah bermasalah iaitu tanah bris.

SESUAI untuk tanaman berdaun.
SESUAI untuk tanaman berdaun.

"Menerusi penggunaan berterusan Baja OrganoPlus, ia terbukti mampu meningkatkan kandungan bahan organik di dalam tanah bagi memastikan tanah kekal sihat dan subur.

Katanya, Baja OrganoPlus yang belum dikomesialkan ketika ini membantu mengurangkan pencemaran bahan kimia di dalam tanah.

"Baja ini adalah gabungan antara mineral dan organik kerana dengan organik saja baja berkenaan mempunyai NPK yang rendah dan tidak sesuai untuk semua tanaman.

POKOK cili juga sesuai menggunakan baja berkenaan.
POKOK cili juga sesuai menggunakan baja berkenaan.

"Apabila kita menggunakan baja hibrid seperti ini ia boleh digunakan untuk pelbagai jenis tanaman yang diusahakan," katanya.

Jelasnya, perkara paling penting ialah pelepasan bahan kimianya lebih baik dan mesra alam kerana terdapat bahan organik dan pemangkin nutrien yang melepaskan secara efisien kepada tanaman.

"Ertinya, sudah 30 peratus pengurangan larut resap nutrien ke dalam tanah berbanding baja sedia ada," katanya.

Rujukan:https://www.hmetro.com.my/agro/2021/06/715656/bekal-nutrien-lengkap-lebih-efisien

Penghasilan Kubis bunga tanah rendah

 

RONALD (kanan) meninjau hasil pengeluaran kubis bunga tanah rendah bersama Mohamad Roff dan plot tanaman terbabit.
RONALD (kanan) meninjau hasil pengeluaran kubis bunga tanah rendah bersama Mohamad Roff dan plot tanaman terbabit.

Permintaan pasaran dalam negara bagi sayur-sayuran yang ditanam di tanah tinggi amat menggalakkan.

Ini termasuk kubis bunga atau nama saintifiknya, Brassica oleracea var botrytis yang memerlukan suhu persekitaran rendah iaitu antara 18 hingga 22 darjah Celsius bagi memastikan penghasilan curd atau meristem bunga iaitu bahagian sayur terbabit dijadikan hidangan dan produk makanan.

Menyedari keperluan tinggi terhadap sayur berkenaan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalankan penyelidikan kaedah terbaik penanamannya di kawasan tanah rendah sejak empat tahun lalu.

Kini Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah sudah sedia diperkenalkan kepada petani dalam sesi pelancaran rasminya oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berlangsung di tapak kajian penanaman sayur berkenaan di Ibu Pejabat Mardi, Serdang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Dr Ronald, inovasi berkenaan berita baik bukan saja kepada pengguna malah kepada petani apabila berpotensi memberi tambah nilai kepada pendapatan sedia ada sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada produk import .

PENOLONG Pegawai Penyelidikan Mardi, Fazlinda Fadzil menunjukan kubis bunga hasil mengunakan Teknologi Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah.

"Kapisiti pengeluaran kubis bunga tempatan ketika ini adalah sekitar 4.66 tan metrik setahun berdasarkan kawasan tanaman sayur itu yang sangat terhad.

"Secara umum kebanyakan pengeluaran kubis bunga tempatan hanya diperoleh daripada petani di kawasan tanah tinggi, membabitkan kawasan pertanian seluas 535 hektar di Cameron Highlands, Pahang dan Kundasang, Sabah.

"Jumlah itu tidak mampu menampung permintaan tinggi sayur kubis bunga dalam negara yang penggunaan perkapita setahun ialah 1.95 kilogram dan Malaysia terpaksa mengimport dari China bekalan itu dengan jumlah RM280 juta pada tahun 2018,"katanya.

Kajian dilakukan Mardi adalah memenuhi pakej menyeluruh atau lengkap bagi pengeluaran bermula penentuan varieti untuk benih, amalan agronomi bagi hasil yang tinggi, pengurusan perosak dan penyakit serta kawalan kualiti hasil tanaman selepas dituai.

TEKNOLOGI Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah menggunakan kaedah fertigasi bawah struktur pelindung hujan (SPH) .
TEKNOLOGI Pengeluaran Kubis Bunga Tanah Rendah menggunakan kaedah fertigasi bawah struktur pelindung hujan (SPH) .

"Varieti kubis bunga kawasan tanah rendah iaitu varieti C2 menghasilkan bunga yang berkualiti dengan warna putih 'keju' walaupun ditanam pada suhu tinggi mencecah 40 darjah Celsius.

"Dari segi saiz dan profil rasa, kubis yang ditanam di tanah tinggi tiada jauh bezanya,"katanya.

Beliau melihat potensi penanaman kubis bunga tanah rendah itu dapat diperluaskan dalam skala besar dan berharap memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha tanaman itu kerana amalan penanamannya dikatakan hampir menyamai kualiti amalan produk tanaman organik.

WARNA putih 'keju' dan daun hijau.
WARNA putih 'keju' dan daun hijau.

Sebagai galakan, pihaknya menyarankan petani atau pengusaha yang berhasrat menjalankan tanaman berkenaan dalam skala besar boleh melihat inisiatif seperti Program Agropreneur Muda dan bantuan pengeluaran makanan daripada Agrobank sebagai sokongan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor berkata, tempoh kajian bagi tanaman kubis bunga itu mengambil masa selama empat tahun bukan hanya melihat kepada kualiti, tetapi aspek kandungan nutrisi membolehkan ia produk makanan yang selamat dan sihat untuk pengguna.

MENGGUNAKAN polibeg hitam saiz 16 inci sesuai beri sokongan pada pertumbuhan kubis bunga.
MENGGUNAKAN polibeg hitam saiz 16 inci sesuai beri sokongan pada pertumbuhan kubis bunga.

Kajian pihaknya turut mendapati kubis bunga yang ditanam secara kaedah fertigasi dengan kawalan atau teknik tertentu itu pada kawasan tanah rendah, memberi hasil jauh lebih baik berbanding produk import atau tanaman di tanah tinggi.

"Hasil kajian Mardi mendapati kubis bunga di kawasan tanah rendah mempunyai vitamin C yang lebih tinggi berbanding kubis bunga import dan yang ditanam di tanah tinggi.

"Selain itu, teknologi pengeluaran kubis bunga tanah rendah juga dapat memendekkan tempoh ia boleh dituai iaitu dalam satu hingga dua minggu, selain mengurangkan risiko penyakit terhadap tanaman terbabit," katanya.

Tempoh matang tuai bagi sayur itu antara 80 hingga 85 hari selepas ditanam.


Rujukan :https://www.hmetro.com.my/xpresi/2020/11/641828/kubis-bunga-tanah-rendah

D

Sistem bersepadu kaedah terbaik

 

KUBIS tanaman yang mempunyai permintaan tinggi. FOTO: MARDI

KUBIS tanaman yang mempunyai permintaan tinggi. FOTO: MARDI

PRODUK pertanian organik memberi jaminan sumber makanan bebas kimia dan selamat menerusi ekosistem yang lestari sehingga ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Memfokuskan kepada pengeluaran hasilnya yang berkualiti dan tidak menggunakan sebarang input kimia, produk organik biasanya berharga dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding produk konvensional.

Pengeluaran di Malaysia menyumbang 30 peratus produk makanan organik dan negara kita mengimport 70 peratus bekalan makanan organik disebabkan jumlah ladang mahupun petani yang mengusahakan pertanian organik itu.

Menurut Timbalan Pengarah Program Perladangan Organik Pusat Penyelidikan Sains Tanah, Air dan Baja Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Theeba Manickam, ketika ini hanya 230 ladang yang menerima pensijilan organik dengan keluasan sekitar 2021 hektar.

Jumlah itu, kata Theeba, terlalu kecil dan dengan peningkatan bilangan ladang yang rendah setiap tahun berbanding negara jiran untuk menampung permintaan produk organik dalam negara.

MADU kelulut juga terdapat dalam ladang organik bersepadu Mardi. FOTO: MARDI
MADU kelulut juga terdapat dalam ladang organik bersepadu Mardi. FOTO: MARDI

"Isu utama pertanian organik di Malaysia adalah produktiviti hasil tanaman organik yang masih rendah dan kurang lestari disebabkan sistem pengurusan ladang serta tanaman yang kurang cekap.

"Selain itu, kos pengeluaran ladang organik juga tinggi disebabkan kebergantungan terhadap tenaga buruh dan input pertanian organik yang mahal seperti baja bioorganik dan biopestisida dari pasaran tempatan selain diimport dari negara luar.

"Serangan perosak dan penyakit pada tanaman berpunca daripada faktor cuaca tidak menentu dan pengurusan perosak serta penyakit kurang cekap antara masalah utama menyumbang kepada pengeluaran hasil yang rendah,"katanya.

Cabaran pihaknya adalah membantu meningkatkan pengeluaran dan kualiti hasil tanaman organik serta menjadi pusat rujukan teknikal untuk perladangan secara organik membolehkan 'survival' petani tempatan dalam 'genre' pertanian berkenaan.

"Pusat Penyelidikan Sains Tanah, Air dan Baja Mardi menjalankan kajian penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian organik mendapati sistem perladangan organik bersepadu antara terbaik.

"Bersepadu dalam erti lain kami menyarankan penggunaan kaedah integrasi dengan pelbagai komponen sektor industri ini iaitu ternakan, tanaman pelbagai jenis dan agroekologi memastikan pengeluaran hasil yang optimum.

SERAI ditanam bagi membantu menghalau serangga perosak selain hasilnya boleh dituai. FOTO: MARDI
SERAI ditanam bagi membantu menghalau serangga perosak selain hasilnya boleh dituai. FOTO: MARDI

"Ia juga meminimumkan masalah perosak, rumpai dan kebergantungan 'input' pertanian dari luar. Pengurusan sisa sifar juga membantu dan mengurangkan kos input ladang,"katanya.

Sebagai contoh, Theeba berkata, ternakan seperti kambing dan ayam membantu kepada penghasilan baja organik untuk tanaman di samping menjadi pendapatan tambahan kepada petani.

Sementara itu, tanaman seperti serai dan selasih menghalang kehadiran serangga perosak kepada tanaman lain selain kewujudan kelulut membantu pendebungaan untuk galakkan tanaman buah.

Bagaimanapun, kata Theeba, aspek mengenai pilihan tanaman dilihat keutamaan dalam penyelidikan. Malah pihaknya melihat tanaman bernilai tinggi seperti kubis tanah rendah dan cili sebagai fokus berdasarkan permintaan tinggi dalam pasaran selain dilihat membantu petani tanaman organik meraih pendapatan sampingan yang setimpal.

"Terkini kami sedang menjalankan kajian untuk pengeluaran cili secara organik sama ada ladang terbuka atau sistem tertutup (pelindung hujan) bagi melihat kaedah mana yang terbaik untuk mengeluarkan hasil berkualiti.

"Tanaman cili, tomato dan kubis organik mempunyai permintaan yang tinggi tapi pengeluaran hasil dalam negara masih sangat rendah. Sayur-sayuran ini mempunyai cabaran yang tinggi dari segi pengurusan perosak dan penyakit khasnya apabila ditanam secara organik serta di tanah rendah.

TERNAKAN kambing penting dalam penghasilan kompos atau baja untuk tanaman menerusi sisa najisnya. FOTO: MARDI
TERNAKAN kambing penting dalam penghasilan kompos atau baja untuk tanaman menerusi sisa najisnya. FOTO: MARDI

"Jadi apa yang kami lakukan ialah amalkan sistem tanaman selingan dengan tanaman serai, sayuran berdaun dan bungaan untuk menghalang serangga perosak yang sering mengancam tanaman,"katanya.

Bagi kawalan penyakit pula, produk biofungisida teknologi Mardi dibangunkan dan digunakan bersama produk biopestisida yang lain. Selain itu, produk baja bioorganik teknologi Mardi digunakan untuk membekalkan nutrien yang diperlukan bagi pengeluaran hasil optimum.

Mengenai pensijilan myOrganik, kata Theeba, ia di bawah Jabatan Pertanian bagi mengiktiraf hasil produk mencapai spesifikasi ditetapkan selayaknya bagi produk organik. Bonus buat petani, hasil pertanian mudah dikenali dan dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa

"Galakan kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan membantu petani dengan memberi perkhidmatan bagi mendapatkan pensjilan myOrganik yang memberi nilai tinggi kepada hasil jualan produk petani berkenaan,"katanya.

Rujukan :https://www.hmetro.com.my/xpresi/2020/06/594311/sistem-bersepadu-kaedah-terbaik

Tanaman keledek menguntungkan

 

Tanah berpasir sesuai untuk tanaman ubi keledek.




KETIKA penanaman jagung kurang memberikan pulangan memberangsangkan, penanaman pelbagai jenis ubi keledek pula diusahakan.

Itu yang dikongsi Nur Suria Aisyah Mohd Wahid, 27, berkenaan kisah kegigihan ibu saudaranya, Zuraini Osman yang menjadi inspirasi kepadanya untuk turut membantu.

Katanya Nur Suria Aisyah, penanaman ubi keledek dengan teknik yang betul mampu memberi pulangan tiga hingga empat kali ganda berbanding kos mengusahakan tanaman semusim.

"Selepas bersara, ibu saudara saya mengusahakan pelbagai tanaman dan menternak kambing dalam ladang di Batu Gajah, Perak. Sebelum ubi keledek, dia usahakan ladang jagung, tetapi tidak begitu menguntungkan.


"Jadi, kami beralih kepada ubi keledek atas nasihat seorang kenalan yang juga pembekal baja dan racun tanaman. Kami disarankan tanaman ubi berkenaan sebagai ganti kerana harganya lebih stabil selain kos tidak terlalu tinggi.


"Kami mulakan terlebih dahulu dengan satu lot iaitu kira-kira 0.135 hektar. Selepas lihat hasil tanaman ubi keledek makin memberangsangkan, kami kembangkan kepada plot lain. Tanaman kemudian dilakukan secara berperingkat supaya dapat keluarkan hasil dan jana pendapatan konsisten setiap bulan," katanya.

POKOK perlu diangkat selain kerja merumput bagi memastikan ubi keledek membesar dengan baik pada batas tanah.



Menjelaskan secara kasar keuntungan penanaman ubi keledek, kata Nur Suria Aisyah, kos menanam pada 0.404 hektar adalah kira-kira RM4,000.

"Ketika mula menanam, kami beli dahulu benih daripada pembekal iaitu keratan batang pucuk keledek. Selain itu dalam penanaman, keledek juga memerlukan racun perosak dan baja supaya tumbuh dengan baik. Anggaran kos ialah RM4,000 dan bahagian paling banyak menelan belanja ialah baja iaitu kira-kira RM2,000.

"Biasanya pengeluaran bagi 0.404 hektar di ladang ini berjaya hasilkan sekitar lapan hingga sembilan tan ubi keledek sebulan. Pada kadar harga pasaran semasa pula, ubi keledek yang dibeli secara borong antara RM1.80 hingga RM2.20 sekilogram.

"Paling tinggi hasil jualan ubi keledek dari ladang ini ialah RM19,000. Itu apabila ubi keledek terjual semuanya kategori gred A. Dalam penjualan ubi keledek, gred terbahagi kepada A, B dan C. Ia dibezakan mengikut kerosakan ubi keledek menerusi bilangan lubang dihasilkan serangga pengorek," katanya.

PERMUKAAN ubi keledek yang licin menunjukkan ia sudah matang.



Kata Nur Suria Aisyah, tekstur tanah juga memainkan peranan penting dalam penanaman. Ladang berkenaan berkeluasan kira-kira 4.86 hektar itu adalah tanah berpasir. Tanah berkenaan antara terbaik bagi tanaman ubi keledek.

"Dalam penanaman ubi keledek, tempoh matang adalah kira-kira empat hingga empat bulan setengah selain turut mengambil kira tekstur pada kulit atau permukaan ubi sama ada masih berkedut atau licin. Kalau berkedut lagi ketika masuk empat bulan, ia belum cukup matang dan perlukan seminggu dua lagi sebelum dituai.

"Kebetulan ladang ini adalah sebahagian daripada kawasan lombong, teksturnya berpasir dan bagi tanah berpasir, tanaman seperti keledek amat sesuai sekali. Tanaman ubi keledek tidak boleh ada takungan air kerana 'ibu' akan lembik dan mudah rosak.

"Pernah juga ada penanam ubi keledek menanam keledek pada tanah gambut menyebabkan permukaan ubi seperti 'bermisai' disebabkan akar halus tumbuh pada kulit dan tidak licin seperti keledek yang ditanam pada tanah berpasir," katanya.

Katanya, dalam kaedah penanaman, selain ubi keledek memerlukan siraman air mencukupi, rutin baja setiap 15 hari sekali amat penting memastikan hasil iaitu saiz ubi keledek memuaskan.

MENUAI secara manual.



"Dalam semusim biasanya baja diberikan sebanyak lapan kali dan bulan pertama biasanya baja daun, bagi bulan berikutnya ialah baja buah. Racun pula penting kerana ancaman perosak seperti ulat pengorek dan tikus boleh mempengaruhi kualiti jualan gred ubi.

"Kalau terdapat tiga lubang saja, ubi keledek boleh jatuh kepada gred C atau 'direject', tetapi hasilnya masih boleh dijual untuk makanan ternakan seperti penternak landak raya atau mereka yang memiliki taman haiwan," katanya.

Selain ubi keledek, daunnya juga boleh dijual untuk dijadikan makanan ternakan haiwan seperti dalam ladangnya apabila turut diberi kepada kambing dan arnab peliharaan.

"Ubi keledek memang menguntungkan, tetapi ia ada tempoh atau had tanaman. Macam dalam ladang ini sudah masuk tiga tahun mengusahakan tanaman ubi keledek, perlu beralih kepada tanaman lain bagi pulihkan kembali kesuburan tanah dan mencegah ancaman perosak.

HASIL rosak teruk akibat serangga perosak.



"Jadi, kami mungkin akan usahakan projek sayur-sayuran termasuk kacang tanah dan kacang botol yang boleh mendatangkan keuntungan seperti keledek," katanya.

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...