PENGGUNAAN baja dalam tanaman dilihat begitu penting kerana ia memberi khasiat tambahan untuk tumbesaran tanaman itu sendiri.
Malah, penggunaan baja untuk sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting bagi membolehkan pengusaha tanaman mendapatkan hasil yang lebih cepat serta bermutu.
Namun, timbul cabaran dalam persekitaran semasa apabila terdapat baja yang boleh memberi kesan buruk kepada persekitaran terutama penggunaan baja kimia yang tidak mengikut sukatan yang betul.
Tidak sekadar itu, lebih memburukkan keadaan apabila berlaku perubahan iklim seperti hujan lebat berterusan mengakibatkan bahan kimia itu larut resap lebih cepat ke dalam tanah dan berpotensi mencemarkan kawasan yang menjadi sumber air.
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjalankan kajian untuk menghasilkan baja mesra alam yang bukan saja bersifat lestari malah lebih meningkatkan pengeluaran serta menjimatkan kos.
Theeba berkata, kebanyakan baja konvensional sedia ada di pasaran memfokuskan kepada makronutrien nitrogen (N), fosforus (P) dab kalium (K) yang kurang cekap untuk diserap tanaman.
Katanya, perkara itu akan mempengaruhi pembaziran nutrien akibat larut resap dan meningkatkan kos pengeluaran sekali gus mencemarkan alam sekitar.
"Baja OrganoPlus adalah formulasi terkini hasil kajian penyelidik di Mardi yang menggabungkan komponen nutrien daripada bahan mineral dengan komponen organik dan semula jadi iaitu kompos biochar serta pemangkin.
"Malah baja ini adalah baja hibrid gabungan elemen organik dan mineral dapat membekalkan nutrien lengkap secara lebih efisien bagi pengeluaran hasil tanaman yang tinggi dan mampan," katanya.
Theeba berkata, di samping membekalkan nutrien yang penting untuk pengeluaran hasil tanaman, OrganoPlus juga mempunyai elemen perapi tanah dan pemangkin penyerapan nutrien yang penting bagi membantu mengurangkan kadar larut resap untuk pembajaan yang efisien serta mesra alam.
"Baja ini adalah sesuai untuk semua jenis tanah dan pelbagai tanaman buah seperti cili dan tomato. Selain itu, ia juga sesuai untuk tanaman bungaan dan buah-buahan yang penting mengikut keperluan tanaman itu sendiri," katanya.
Jelasnya, baja itu diuji keberkesanannya ke atas peningkatan hasil tanaman daripada 12 hingga 18 peratus dengan pengurangan baja sebanyak lima hingga 10 peratus berbanding baja komersial.
"Kajian dijalankan ke atas pelbagai jenis sayur-sayuran dan bunga-bungaan di atas pelbagai jenis tanah antaranya tanah tinggi Cameron Highlands, tanah gambut dan tanah bermasalah iaitu tanah bris.
"Menerusi penggunaan berterusan Baja OrganoPlus, ia terbukti mampu meningkatkan kandungan bahan organik di dalam tanah bagi memastikan tanah kekal sihat dan subur.
Katanya, Baja OrganoPlus yang belum dikomesialkan ketika ini membantu mengurangkan pencemaran bahan kimia di dalam tanah.
"Baja ini adalah gabungan antara mineral dan organik kerana dengan organik saja baja berkenaan mempunyai NPK yang rendah dan tidak sesuai untuk semua tanaman.
"Apabila kita menggunakan baja hibrid seperti ini ia boleh digunakan untuk pelbagai jenis tanaman yang diusahakan," katanya.
Jelasnya, perkara paling penting ialah pelepasan bahan kimianya lebih baik dan mesra alam kerana terdapat bahan organik dan pemangkin nutrien yang melepaskan secara efisien kepada tanaman.
"Ertinya, sudah 30 peratus pengurangan larut resap nutrien ke dalam tanah berbanding baja sedia ada," katanya.
Rujukan:https://www.hmetro.com.my/agro/2021/06/715656/bekal-nutrien-lengkap-lebih-efisien
No comments:
Post a Comment