Carian Maklumat Di Sini...

Google

Manfaatkan lambakan sabut

 Umum mengetahui fertigasi melalui cocopeat menjadi salah satu cara penanaman sayur-sayuran pada masa kini termasuk penanaman berskala besar.

Cocopeat atau dikenali sebagai sabut kelapa hancur terhasil daripada 100 peratus serat kelapa yang diolah melalui teknologi moden.

Menyedari manfaat daripada sabut kepala itu, seorang pengusaha santan bertekad memproses cocopeat sendiri.

Lebih enam tahun menceburkan diri dalam bidang memproses santan segar, tapi sabut kelapa hanya dibuang tanpa memanfaatkannya.


Mohd Amir Ibrahim, 34, membelanjakan kira-kira RM30,000 duit simpanan sendiri untuk membeli dua mesin memproses sabut kelapa terbuang menjadi cocopeat.


Dia kini membina sebuah bengkel bersebelahan rumahnya bagi menempatkan mesin memproses cocopeat itu.

Menurut Mohd Amir, idea menghasilkan cocopeat tercetus selepas melihat lambakan sabut kelapa di kawasan kedai santan yang diusahakannya.

Katanya, setiap hari dia berjaya menghasilkan sebanyak 100 hingga 150 guni cocopeat untuk dijual kepada pelanggan.

MESIN memproses cocopeat. - FOTO Paya Linda Yahya



"Setiap guni cocopeat ini dijual RM8 sekiranya pelanggan mengambil sendiri di bengkel, manakala RM9 termasuk kos penghantaran.

"Alhamdulillah sambutan terhadap cocopeat ini sangat menggalakkan kerana sudah ramai yang sedar akan manfaat penggunaannya dalam sektor pertanian.

"Saya melihat cocopeat ini semakin mendapat permintaan sehingga kami tidak menang tangan dan terpaksa mengambil sabut kelapa daripada luar untuk menghasilkannya," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Kolam Mas, Gua Musang, Kelantan.

Mohd Amir berkata, dia kini mempunyai empat pekerja untuk membantu menguruskan bengkel memproses cocopeat.

"Cocopeat dihasilkan selepas melalui proses menggunakan dua mesin iaitu mesin pengisar dan mesin penapis sabut. Kemudian pekerja akan membantu membungkus cocopeat terbabit.

"Setiap hari kami akan mengasing dan membungkus 10 kilogram cocopeat kasar atau 20 hingga 30 kilogram pula untuk cocopeat halus ke dalam setiap guni.

"Selepas proses membungkus cocopeat selesai, pihak pembeli akan datang mengambilnya atau kami sendiri akan menghantar ke kawasan tertentu," katanya yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

MOHD Amir (kanan) bersama seorang pekerjanya ditempat memproses cocopeat. - FOTO Paya Linda Yahya

Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2023/06/973943/manfaatkan-lambakan-sabut

'Raja sungai' jana pendapatan lumayan

 ZULFADLY bersama ternakan ikan kelahnya di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami, baru-baru ini. FOTO Bernama

ZULFADLY bersama ternakan ikan kelahnya di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami, baru-baru ini. FOTO Bernama

Jelebu: Minat mendalam terhadap penternakan ikan kelah yang berpotensi besar dalam pasaran tempatan, mendorong seorang pemuda di sini, tekad meninggalkan kerjayanya dalam bidang penyiaran sejak enam tahun lalu, bagi mengusahakan ternakan 'raja sungai' itu.

Tindakan berani diambil Zulfadly Harun, 41, nyata membuahkan hasil apabila beliau menjadi antara tiga anak muda di negeri ini yang berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah, sekali gus menjadi antara pengeluar utama hidupan air itu di Negeri Sembilan.

Beliau yang turut berjaya membina tempat penetasan sendiri iaitu 'Tebat Sanctuary' di Kampung Simpang Gelami di sini bersama lima lagi sahabatnya itu berkata, mereka mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setahun melalui ternakan kelah.

"Saya terbabit dalam bidang penyiaran lebih lima tahun dan banyak terbabit dalam dokumentari yang berkisarkan hutan, hidupan air dan sebagainya, jadi minat yang ada dalam diri tidak hilang malah saya aplikasikan pengetahuan itu dalam kerjaya saya ketika itu.

"Bagaimanapun, saya ingin cuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi datuk saya dulu pun ada menternak ikan, tapi hanya dalam skala kecil jadi saya ambil keputusan balik kampung untuk teruskan hobi saya sejak kecil itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Menurut usahawan akuakultur itu, ikan kelah atau nama saintifiknya 'Tor Tambroides' menjadi antara hidangan eksotik di negara ini, dan mendapat permintaan tinggi serta harga mahal di pasaran memandangkan ia hidupan yang jarang jumpa, selain mempunyai khasiat untuk kesihatan.


IKAN kelah yang diternak Zulfadly di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami. 
FOTO Bernama



Katanya populasi ikan itu yang semakin berkurangan, susulan pencemaran sungai dan pemburuan haram turut mendorongnya untuk serius menceburi bidang itu, selain menyokong usaha Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), dalam memperbanyakkan lagi spesis kelah di perairan negeri.

Bercerita lanjut, pemuda kelahiran Seremban ini berkata, beliau memulakan projek itu pada 2015 menggunakan modal sendiri dengan kos keseluruhan hampir setengah juta, di tanah berkeluasan lima ekar milik keluarganya selain turut mengikuti kursus di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) di sini.

Jelasnya selain tangkap liar di sungai, benih kelah berkenaan juga dibeli daripada pembekal di seluruh negara termasuk di Terengganu, Johor dan Perak, dan sehingga kini lebih 40,000 anak benih berjaya dibiakkan di tempat penetasannya, serta jumlah induk terkini sekitar 100 ekor.

Menurut Zulfadly bagi kaedah pembiakan, induk kelah betina akan disuntik hormon 'ovaprime' untuk tujuan kesuburan dan merangsang ikan berkenaan mengeluarkan telur dalam kapasiti yang banyak, kira-kira 1,000 anak benih bagi setiap seekor induk.

"Proses berkenaan dilakukan empat kali setahun dan kadar pembesaran ikan kelah adalah 80 peratus lebih cepat, berbanding kelah liar yang hidup di habitat asalnya," katanya dan menambah terdapat beberapa spesis lain diternak di tempatnya termasuk terbol dan sebarau.

ZULFADLY memeriksa kualiti air tadahan akuarium yang menempatkan ikan kelah di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami, baru-baru ini. FOTO Bernama



Zulfadly berkata, kelah dijual mengikut saiz dengan minimum RM10 seekor untuk ikan berukuran satu ke dua inci kepada pelanggannya di seluruh negara, sama ada untuk tujuan hiasan dan makanan, namun susulan Perintah Kawalan Pergerakan permintaan untuk hidupan air itu turut merosot.

Mengakui pernah menemui kegagalan pada peringkat awal pembabitannya dalam bidang itu, susulan kekurangan pengetahuan mengenai penjagaan ikan, namun ia tidak mematahkan semangat anak muda ini meskipun kerugian ribuan ringgit.

"Ada kejadian banyak ikan mati disebabkan bekalan elektrik terputus dan ikan dalam kolah kekurangan oksigen, rugi banyak ketika itu, jadi untuk atasi kita guna jenerator bagi membekalkan elektrik secara berterusan," jelasnya sambil berkata kelah memerlukan penjagaan yang sangat rapi berbanding ikan air tawar yang lain.

Menurutnya, JPNS sering turun padang memantau projek ternakan ikannya, selain turut mendapat sokongan dan peralatan termasuk kursus, kemudahan mesin pam air dan tangki fiber.

Mengenai perancangan masa depannya, Zulfadly berkata, beliau berhasrat membina sebuah lagi panti benih mini, bagi membantu penternak khususnya golongan muda dalam menghasilkan benih kelah sendiri tanpa bergantung kepada benih liar, sekali gus melindungi benih itu daripada dieksploitasi secara berlebihan.

Sementara itu, Pengarah JPNS Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada orang ramai, yang berminat menceburi bidang penternakan ikan termasuk dari segi khidmat teknikal, kursus dan bantuan tertentu.

"Mereka juga boleh memohon bantuan input akuakultur dengan syarat telah berdaftar dengan JPNS, dan sekurang-kurangnya sudah mengeluarkan hasil buat kali pertama, manakala bagi anak muda yang berumur di bawah 40 tahun boleh memohon skim bantuan Agropreneur Muda," katanya.

Halimi berkata, pihaknya juga komited membantu golongan muda yang bersungguh-sungguh untuk menceburi bidang tersebut, berikutan ia memberikan pulangan tinggi kepada penternak sekali gus mampu meningkatkan lagi pengeluaran hasil akuakultur di negeri ini.

Satu dekad bersama tilapia

SENTIASA memastikan ternakan dalam keadaan baik.

SENTIASA memastikan ternakan dalam keadaan baik.



TIDAK dinafikan bidang akuakultur mampu memberi pulangan lumayan kerana mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di negara ini.

Bagaimanapun, untuk terus kekal berdaya saing bukanlah mudah kerana seseorang itu perlu memiliki pakej lengkap termasuk ilmu, pengalaman luas dan semangat juang yang tinggi dalam diri.

Perkara ini diakui oleh usahawan akuakultur Muhammad Hafidz Zainal Abidin, yang mula terbabit dalam bidang ternakan pembenihan ikan tilapia sejak lebih satu dekad

Muhammad Hafidz berkata, sepanjang 12 tahun terbabit dalam bidang itu hampir setiap hari dia berdepan pelbagai masalah lama dan baharu.

Katanya, sebagai penternak dan 'breeders' ikan, dia perlu sentiasa bersedia dan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya tidak menjejaskan benih ikan dan ternakannya.
"Antara masalah atau cabaran yang sering saya hadapi adalah cuaca, penyakit ikan, manusia dan haiwan pemangsa yang boleh memberi kesan kepada benih ikan serta ternakan."Oleh itu, saya perlu sentiasa berada di kolam untuk mencari jalan penyelesaian segera supaya masalah itu tidak berlarutan. Pendekatan saya lebih kepada mencegah.

"Sebagai contoh, sekiranya membabitkan haiwan pemangsa seperti burung, biawak dan sebagainya, saya perlu membuat jerat untuk menghalang ternakan 'dicuri'," katanya.


MUHAMMAD Hafidz bersama ikan ternakannya.



Selain itu, cabaran yang dihadapi penternak adalah kenaikan mendadak harga makanan ternakan sejak kebelakangan ini.

"Untuk terus menghasilkan induk dan benih berkualiti, saya kekal menggunakan palet makanan ikan premium yang dicampur dengan sejenis bakteria untuk mempercepatkan tumbesaran benih ikan.

"Menerusi kaedah biasa, benih ikan baharu menetas boleh mencapai saiz empat inci dalam tempoh 70 hari, bagaimanapun dengan palet ikan yang dicampur bakteria tempoh itu boleh disingkatkan kepada 50 hari. Oleh itu, saya dapat menjimatkan kos tanpa mengurangkan kualiti makanan," katanya.

Jelasnya, semua jalan penyelesaian ini diperoleh melalui ilmu dan pengalamannya bekerja dengan syarikat swasta dalam bidang pembenihan dan penternakan ikan selama beberapa tahun.


IKAN tilapia mendapat permintaan tinggi di pasaran.



"Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerja dari bawah untuk mengetahui secara mendalam selok-belok pembenihan dan penternakan di lapangan yang tidak ada di dalam buku," katanya.

Katanya, apabila sudah benar-benar bersedia, barulah dia menjalankan aktiviti penternakan sendiri secara serius di Kuala Ketil, Baling, Kedah sejak tiga tahun dahulu.

"Sebenarnya kepakaran saya adalah ternakan udang marin. Namun saya cenderung kepada ternakan benih tilapia kerana modal tidak sebesar udang marin.

"Saya tertarik dengan ikan tilapia kerana ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penternak. Pada masa sama, ikan air tawar ini diterima di seluruh dunia, sekali gus memiliki peluang besar untuk dieksport ke luar negara.

"Buat masa ini saya tumpu dahulu kepada penghasilan benih ikan tilapia dahulu di lima kolam dengan harapan dapat tumpukan kepada pengeluaran ikan untuk pasaran tempatan dan luar negara pada masa hadapan," katanya.


MEMILIKI potensi besar untuk berkembang.

Beliau menyarankan kepada individu yang berhasrat menceburi bidang akuakultur supaya mulakan secara kecil-kecilan untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman.

"Buat dahulu dan masalah fikirkan kemudian. Seseorang itu perlu percaya kepada proses kerana setiap hari anda akan belajar banyak perkara baharu melalui masalah yang timbul.

"Apa yang penting jangan mudah mengalah. Jika tidak jumpa jalan penyelesaian boleh buat carian di Internet atau berguru dengan pemain industri dalam bidang penternakan ikan," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2022/12/911205/satu-dekad-bersama-tilapia

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...