TIDAK dinafikan bidang akuakultur mampu memberi pulangan lumayan kerana mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di negara ini.
Bagaimanapun, untuk terus kekal berdaya saing bukanlah mudah kerana seseorang itu perlu memiliki pakej lengkap termasuk ilmu, pengalaman luas dan semangat juang yang tinggi dalam diri.
Perkara ini diakui oleh usahawan akuakultur Muhammad Hafidz Zainal Abidin, yang mula terbabit dalam bidang ternakan pembenihan ikan tilapia sejak lebih satu dekad
Muhammad Hafidz berkata, sepanjang 12 tahun terbabit dalam bidang itu hampir setiap hari dia berdepan pelbagai masalah lama dan baharu.
Katanya, sebagai penternak dan 'breeders' ikan, dia perlu sentiasa bersedia dan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya tidak menjejaskan benih ikan dan ternakannya.
"Antara masalah atau cabaran yang sering saya hadapi adalah cuaca, penyakit ikan, manusia dan haiwan pemangsa yang boleh memberi kesan kepada benih ikan serta ternakan."Oleh itu, saya perlu sentiasa berada di kolam untuk mencari jalan penyelesaian segera supaya masalah itu tidak berlarutan. Pendekatan saya lebih kepada mencegah.
"Sebagai contoh, sekiranya membabitkan haiwan pemangsa seperti burung, biawak dan sebagainya, saya perlu membuat jerat untuk menghalang ternakan 'dicuri'," katanya.
MUHAMMAD Hafidz bersama ikan ternakannya.
Selain itu, cabaran yang dihadapi penternak adalah kenaikan mendadak harga makanan ternakan sejak kebelakangan ini.
"Untuk terus menghasilkan induk dan benih berkualiti, saya kekal menggunakan palet makanan ikan premium yang dicampur dengan sejenis bakteria untuk mempercepatkan tumbesaran benih ikan.
"Menerusi kaedah biasa, benih ikan baharu menetas boleh mencapai saiz empat inci dalam tempoh 70 hari, bagaimanapun dengan palet ikan yang dicampur bakteria tempoh itu boleh disingkatkan kepada 50 hari. Oleh itu, saya dapat menjimatkan kos tanpa mengurangkan kualiti makanan," katanya.
Jelasnya, semua jalan penyelesaian ini diperoleh melalui ilmu dan pengalamannya bekerja dengan syarikat swasta dalam bidang pembenihan dan penternakan ikan selama beberapa tahun.
IKAN tilapia mendapat permintaan tinggi di pasaran.
"Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerja dari bawah untuk mengetahui secara mendalam selok-belok pembenihan dan penternakan di lapangan yang tidak ada di dalam buku," katanya.
Katanya, apabila sudah benar-benar bersedia, barulah dia menjalankan aktiviti penternakan sendiri secara serius di Kuala Ketil, Baling, Kedah sejak tiga tahun dahulu.
"Sebenarnya kepakaran saya adalah ternakan udang marin. Namun saya cenderung kepada ternakan benih tilapia kerana modal tidak sebesar udang marin.
"Saya tertarik dengan ikan tilapia kerana ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penternak. Pada masa sama, ikan air tawar ini diterima di seluruh dunia, sekali gus memiliki peluang besar untuk dieksport ke luar negara.
"Buat masa ini saya tumpu dahulu kepada penghasilan benih ikan tilapia dahulu di lima kolam dengan harapan dapat tumpukan kepada pengeluaran ikan untuk pasaran tempatan dan luar negara pada masa hadapan," katanya.
MEMILIKI potensi besar untuk berkembang.
Beliau menyarankan kepada individu yang berhasrat menceburi bidang akuakultur supaya mulakan secara kecil-kecilan untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman.
"Buat dahulu dan masalah fikirkan kemudian. Seseorang itu perlu percaya kepada proses kerana setiap hari anda akan belajar banyak perkara baharu melalui masalah yang timbul.
"Apa yang penting jangan mudah mengalah. Jika tidak jumpa jalan penyelesaian boleh buat carian di Internet atau berguru dengan pemain industri dalam bidang penternakan ikan," katanya.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2022/12/911205/satu-dekad-bersama-tilapia
No comments:
Post a Comment