KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan, hasil usaha yang pernah dipandang sinis kerana meragui keupayaannya.
Rohana Awang, 45, lebih dikenali sebagai Che Na Ulam, menguruskan jualan pelbagai jenis ulam seperti pucuk gajus (ketereh), putat, lemak ketam, jenereh, ulam raja, utak udang dan tenggek burung, selama empat hari seminggu.
Permintaan tinggi menyaksikan dia yang dibantu enam pekerja, mampu meraih pendapatan antara RM2,000 sehingga RM3,000 setiap kali berniaga di Pasar Kok Lanas di sini, dan Pasar Pulai Chondong, Machang, mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.
Dalam usaha mempelbagaikan hasil pendapatan, kebun ulam-ulaman seluas 0.8 hektar miliknya, turut ditanam 150 batang pokok kelapa wangi bagi penghasilan nira (tuak), kepala muda serta menempatkan 10 kolam menempatkan kira-kira 100,000 ikan air tawar.
Rohana berkata, Ramadan memberi rahmat kepadanya apabila permintaan tinggi terhadap ulam-ulaman dan hasil pertanian lain khususnya nira, kelapa muda dan ikan air tawar meningkat berbanding waktu biasa.
ROHANA memetik pucuk sayur kangkung di kebunnya. - Foto Faris Zainuldin
ROHANA sibuk melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di pasar pagi Kok Lanas. - Foto Faris Zainuldin
Selain menjual secara runcit kepada pelanggan di pasar, ulam-ulaman dari kebunnya turut dibekalkan secara borong kepada peraih dan pengusaha restoran dan kedai makan terkenal sekitar negeri ini termasuk rangkaian Restoran Nasi Ulam Cikgu.
"Saya pernah bekerja makan gaji tetapi nekad berhenti memberi tumpuan kepada bidang baru. Pada permulaannya agak sukar juga, maklumlah tidak biasa, lagi pun saya belum berumahtangga.
"Berkat kesabaran dan sokongan keluarga, selain menimba pengalaman di negara jiran, saya nekad melabur hampir RM100,000 bagi memajukan tanah keluarga sejak 2006.
"Memang ada yang memandang sinis usaha menanam ulam tetapi saya tidak hiraukan, sebaliknya lebih gigih berusaha untuk menjayakannya," katanya ketika ditemui di kebunnya dekat Kampung Jal dekat Kok Lanas di sini.
ROHANA mengambil air nira dari pokok kelapa di kebunnya.
ROHANA memetik daun gajus di kebunnya di Kampung Jal, Kok Lanas.
Ketika berkunjung ke kebunnya, deretan pokok gajus ditanam secara diselang seli dengan kelapa wangi, menghiasi laluan masuk, menyejukkan pandangan.
Rohana berkata, beliau bersyukur dengan rezeki yang diterima hasil usaha selama ini dan berhasrat menambah lagi produk pertanian di kebun itu sambil mengharapkan sokongan agensi kerajaan berkaitan.
"Saya bercadang menambah beberapa lagi kolam ikan serta mendapatkan benih kelapa yang baru bagi meningkatkan lagi pendapatan pada masa depan," katanya.
Sumber rujukan : https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/06/164842/jual-ulam-raih-rm30000-sebulan