Meskipun tidak ramai yang mahu membabitkan diri dalam dunia perniagaan kerana kurang keberanian untuk menanggung risiko, tidak pula bagi wanita ini.
Tamat saja pengajian, Yusniha Hasan, 37, mengambil keputusan untuk menjadi pensyarah dalam bidang seni bina bagi meneruskan minatnya dalam dunia binaan.
Namun setelah 10 tahun dalam dunia pendidikan, akhirnya Yusniha mencari jalan untuk bekerja di bidang lain.
Bukan mudah baginya untuk berhenti, namun disebabkan kekangan masa akhirnya dia mengambil keputusan untuk membabitkan diri dalam dunia perniagaan.
Kini setelah empat tahun berusaha, dia akhirnya mampu tersenyum kerana segala hasil dan penat lelahnya dapat dilihat menerusi Butik Allurelady di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan hidupnya selepas terbabit dalam dunia perniagaan, ikuti temu bual penulis bersama Yusniha.
Soalan (S) : Sejak bila berminat dalam dunia perniagaan?
Jawapan (J): Bidang perniagaan memang menjadi minat saya, namun saya hanya dapat merealisasikan impian itu empat tahun lalu dengan membuka butik tudung.
Ketika itu, saya masih bekerja di bidang pendidikan sebagai pensyarah seni bina. Walaupun mula-mula memasang cita-cita untuk menjadi arkitek, hasrat berkenaan terpaksa dipadamkan kerana memikirkan masa depan dengan keluarga.
Setelah 10 tahun mengajar, akhirnya saya terfikir untuk membuka perniagaan bagi membolehkan saya meluangkan masa bersama enam anak yang masih kecil.
Akhirnya, setelah membuat kajian mengenai produk perniagaan yang mampu kekal lama dan sentiasa diperlukan, lantas terfikir mengenai tudung.
Sebelum membuka perniagaan, saya tidak pernah belajar atau mengambil kursus menjahit tudung kerana memang tahu teknik asas menjahit.
S: Apakah pengajaran yang diperoleh setelah terbabit dalam dunia perniagaan?
J: Banyak pengajaran yang diperoleh terutama apabila menyentuh aspek sikap diri sendiri.
Kini, saya lebih positif untuk bekerja dengan lebih rajin bagi mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan, apatah lagi segala hasil usaha dan penat lelah akan menjadi milik sendiri.
Disebabkan itu, sebelum membuka perniagaan kita perlu tahu bidang berkenaan dan memastikan mental sentiasa kuat, mempunyai keyakinan tinggi serta usaha berterusan.
S: Apakah perbezaan antara dunia pendidikan dan perniagaan?
J: Perbezaan memang ketara. Dulu ketika mengajar, saya perlu keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dan tiba di rumah jam 7 petang.
Namun, kini masa lebih fleksibel kerana menjalankan perniagaan sendiri dan saya dapat habiskan banyak masa dengan anak-anak.
Cabaran mengajar juga tidak sehebat berniaga. Ini kerana cabaran hanya dirasai apabila berhadapan dengan pelajar ketika menjadi pengajar.
Rutin harian yang dilakukan juga sama. Berbeza dengan perniagaan yang ada pasang surutnya serta persaingan yang perlu difikirkan setiap masa.
Selain itu, saya juga harus bekerja kuat untuk mendapatkan pulangan yang diinginkan kerana semua hasil adalah untuk diri sendiri.
Apabila berniaga, saya juga lebih kenal diri sendiri terutama dari segi kekuatan dalaman untuk menjadi berani dan positif.
Walaupun sibuk dengan perniagaan, kadangkala saya mengajar separuh masa kerana saya tidak boleh terus meninggalkan bidang berkenaan begitu saja.
S: Apakah misi yang ingin dicapai dalam perniagaan?
J: Pastinya, saya ingin kembangkan lagi perniagaan dan mahu jenama saya lebih dikenali.
Justeru, saya lebih gemar menjadi pengedar berbanding mengambil barangan atau koleksi tudung dari butik lain.
S: Bagaimanakah cara anda bersaing dan mengekalkan identiti jenama anda untuk terus dikenali?
J: Saya menggunakan cara sendiri untuk mengekalkan identiti jenama ini dan kebiasaannya pelanggan memang sudah tahu mengenai rekaan yang dihasilkan.
Disebabkan itu, saya lebih gemar membuat rekaan dan memiliki tukang jahit sendiri bagi memastikan koleksi dihasilkan lebih eksklusif.
Malah, setiap dua bulan sekali saya berkunjung ke negara Asia seperti Korea, Jakarta dan Vietnam semata-mata untuk mencari fabrik yang unik, menarik serta sesuai untuk menghasilkan tudung.
Saya tidak pernah mengeluh bahkan rasa sangat berbaloi dengan usaha yang dilakukan bagi memenuhi cita rasa dan kepuasan pelanggan.
S: Bagaimana dengan pembahagian masa antara perniagaan dan keluarga?
J: Masa bersama keluarga kini lebih banyak dan biasanya saya beriadah dengan anak-anak secara kerap berbanding dulu.
Malah, jika saya ke luar negara bagi mencari fabrik untuk menghasilkan rekaan tudung, keenam-enam anak saya akan dibawa bersama.
S: Apakah hobi ketika masa lapang?
J: Saya lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga dan hobi saya beriadah dengan mereka.
Sumber:harian metro
No comments:
Post a Comment