Carian Maklumat Di Sini...

Google

Jual ulam raih RM30,000 sebulan



KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan, hasil usaha yang pernah dipandang sinis kerana meragui keupayaannya.

Rohana Awang, 45, lebih dikenali sebagai Che Na Ulam, menguruskan jualan pelbagai jenis ulam seperti pucuk gajus (ketereh), putat, lemak ketam, jenereh, ulam raja, utak udang dan tenggek burung, selama empat hari seminggu.

Permintaan tinggi menyaksikan dia yang dibantu enam pekerja, mampu meraih pendapatan antara RM2,000 sehingga RM3,000 setiap kali berniaga di Pasar Kok Lanas di sini, dan Pasar Pulai Chondong, Machang, mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Dalam usaha mempelbagaikan hasil pendapatan, kebun ulam-ulaman seluas 0.8 hektar miliknya, turut ditanam 150 batang pokok kelapa wangi bagi penghasilan nira (tuak), kepala muda serta menempatkan 10 kolam menempatkan kira-kira 100,000 ikan air tawar.


Rohana berkata, Ramadan memberi rahmat kepadanya apabila permintaan tinggi terhadap ulam-ulaman dan hasil pertanian lain khususnya nira, kelapa muda dan ikan air tawar meningkat berbanding waktu biasa.





ROHANA memetik pucuk sayur kangkung di kebunnya. - Foto Faris Zainuldin





ROHANA sibuk melayan pelanggan yang mengunjungi gerainya di pasar pagi Kok Lanas. - Foto Faris Zainuldin



Selain menjual secara runcit kepada pelanggan di pasar, ulam-ulaman dari kebunnya turut dibekalkan secara borong kepada peraih dan pengusaha restoran dan kedai makan terkenal sekitar negeri ini termasuk rangkaian Restoran Nasi Ulam Cikgu.



"Saya pernah bekerja makan gaji tetapi nekad berhenti memberi tumpuan kepada bidang baru. Pada permulaannya agak sukar juga, maklumlah tidak biasa, lagi pun saya belum berumahtangga.



"Berkat kesabaran dan sokongan keluarga, selain menimba pengalaman di negara jiran, saya nekad melabur hampir RM100,000 bagi memajukan tanah keluarga sejak 2006.

"Memang ada yang memandang sinis usaha menanam ulam tetapi saya tidak hiraukan, sebaliknya lebih gigih berusaha untuk menjayakannya," katanya ketika ditemui di kebunnya dekat Kampung Jal dekat Kok Lanas di sini.



ROHANA mengambil air nira dari pokok kelapa di kebunnya. 




ROHANA memetik daun gajus di kebunnya di Kampung Jal, Kok Lanas.



Ketika berkunjung ke kebunnya, deretan pokok gajus ditanam secara diselang seli dengan kelapa wangi, menghiasi laluan masuk, menyejukkan pandangan.

Rohana berkata, beliau bersyukur dengan rezeki yang diterima hasil usaha selama ini dan berhasrat menambah lagi produk pertanian di kebun itu sambil mengharapkan sokongan agensi kerajaan berkaitan.

"Saya bercadang menambah beberapa lagi kolam ikan serta mendapatkan benih kelapa yang baru bagi meningkatkan lagi pendapatan pada masa depan," katanya.

Sumber rujukan : https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2016/06/164842/jual-ulam-raih-rm30000-sebulan

ROCK MELON - TANAM FERTIGASI TERBUKA

Anim Agro Technology: ROCK MELON - TANAM FERTIGASI TERBUKA: ROCK MELON ( Cucumis melo Linn) merupakan tanaman buah-buahan yang semakin popular diusahakan di Malaysia semenjak lebih dari 10 tahu...

Beza Halia tua dan Halia muda

 Tahu tak apa beza halia muda dan halia tua? Kalau tak tahu silalah membaca untuk tambah pengetahuan kegunaan halia dalam masakan. Kalu dah tahu, boleh kongsikan juga maklumat lain kalau ada apa-apa yang perlu ditambah untuk dikongsikan bersama.



Jujur cakap, selama ni main hentam je guna halia untuk memasak. Rupanya kegunaan halia dalam masakan ni berbeza ye. Ingat tu! Bukan guna sembarangan je halia tua dan muda. Tapi kalau tak ada, nak kisah apa dah kan. Janji halia.


Isi Kandungan


Beza Halia dan Lengkuas
Jangan pulak tak dapat beza halia dengan lengkuas. Tapi ada je yang masih keliru sebab halia muda dan lengkuas ni rupa dia seakan-akan. Paling mudah nak beza halia muda dengan lengkuas, lengkuas ni lebih keras dan bersabut.


Lagi satu boleh beza kan dengan kaedah bau. Kalau bau pun tak tahu, mungkin boleh google je gambar untuk tahu beza dia. Takut nanti ada yang pesan beli halia muda, terbeli lengkuas pulak.


Halia Bentong
Pernah dengar halia bentong? Tak silap Fiza halia bentong ni popular beberapa tahun lepas. Macam masih baru jugalah. Halia Bentong( Zingiber Officinale) ni merupakan halia yang terbaik di dunia dan di angka sebagai halia premium.


Halia Bentong adalah keluaran dari Bentong, Pahang. Sebab tu dinamakan Halia Bentong. Terkenal dengan rasanya yang lebih pedas, extra aroma dan teksturnya lebih halus berbanding dengan halia yang ada dipasaran.


Selain halia bentong, di Malaysia juga ada halia Indonesia, halia Tanjung Sepat, Halia Tanduk Rusa, Halia Cina, Halia Tambunan dan juga Halia Bara.


Beza Halia Muda dan Halia Tua
Dalam gambar bawah ni boleh nampak beza halia muda dan halia tua. Opss maafkan saya, stok halia tua yang ada dah kecut sikit dan bertunas pulak. Tapi dapatlah nampak beza halia muda dan halia tua tu kan?






1. Rupa fizikal
Halia Muda
Mempunyai warna kuning coklat yang lebih terang dan kulit yang lebih licin.


Halia Tua
Warnanya gelap sedikit berbanding halia muda dan kulitnya kasar sikit.


2. Bau dan Rasa
Halia muda memiliki bau dan rasa yang lebih lembut berbanding dengan halia tua yang mempunyai bau dan rasa yang agak kuat dan keras.


3. Penggunaan Dalam Masakan
Halia muda
Biasa digunakan dalam masakan barat dan masakan stim kerana mempunyai aroma bau yang lembut dan kurang pedas. Enak juga di campurkan dalam bubur dan sesuai digunakan untuk masak nasi ayam. Ada kalanya dijadikan sebagai ulam.


Halia Tua
Lebih sesuai digunakan dalam masakan tradisional seperti rendang, gulai, kari, masakan berkuah dan lain-lain kerana aroma dia lagi kuat dan pedas sikit. Jadi, dah faham lah kenapa masakan tradisional kita boleh jadi sedap gitu.


Dah tahu beza halia muda dan halia tua ni jadi mudahlah nanti nak guna yang mana satu dalam masakan kita. Acah acah hebat lah sikit nak memasak tu kononnya kan.


Cara Memilih Halia
Bila dah tahu beza, kerja memilih dan membeli halia pun jadi senang juga lah. Cara memilih halia juga penting tau bukan main boleh beli je tak tengok keadaan halia tu. Cara Fiza pilih halia, pilih yang elok-elok dan tak basah kalau nak simpan lama. Pernah terbeli halia basah, lama-lama dia jadi berkulat. Lansung tak boleh guna.


Cara Simpan Halia
Kebiasaannya orang simpan halia dalam bekas terbuka samada letak kat luar atau letak dalam peti ais. Tapi kalau terbeli halia basah, tak boleh simpan kat luar. Sebaiknya guna sesegera mungkin untuk elakkan halia tu berkulat dan membusuk.


In case kalau kau orang terbeli halia basah boleh je simpan dalam bekas bertutup yang di isi air dan simpan dalam peti ais untuk tahan lama. Fiza simpan lengkuas buat kaedah macam ni sebab lengkuas jarang guna tapi nak simpan lama. Halia ni macam selalu guna letak luar pun takpa.


Manfaat Halia Dalam Kesihatan dan Kecantikan
Halia ni bukan sekadar digunakan dalam masakan. Digunakan juga untuk kesihatan. Yang biasa orang buat minum air halia untuk buang angin dalam badan. Bagus untuk proses penghadaman dan membantu untuk menurunkan berat badan.


Halia mempunyai antioksidan yang tinggi dan melambatkan proses penuaan kerana halia memiliki antioksidan yang agak tinggi. Jadi ia mempercepatkan proses pembaharuan sel.


Jika dijadikan scrub, mampu menghilangkan dan menghalang pembentukkan selulit. Ini kerana halia membuatkan kulit terasa panas dan lebih menggalakkan peredaran darah.

Tapi tak semua orang suka halia disebabkan rasa halia yang pedas tu. Pernah juga nak cuba minum air teh halia. Memang tak lalu nak minum bila terbau halia. Nak minum memang kena tutup hidung lah. Tapi kalau sup campur halia okay je pulak. Mengada ngada pulak tekak ni kan.


Dan tak semua orang boleh makan atau minum halia. Apa yang Fiza baca, wanita mengandung tak boleh amalkan pengambilan halia. Dikhuatiri akan berlaku kontraksi atau bayi pra matang. Untuk orang yang kurus pun tak boleh juga, nanti akan jadi bertambah kurang berat badan tu.


Panjang lebar kisah halia ni ye. Harini dah sibuk lah masing-masing siapkan juadah raya. Ehemm..Nak masak rendang tu dah tahu dah kan nak guna halia muda ke halia tua.


Credit : Voize.my

Cara-cara Tanaman Jagung Manis


Penyediaan tanah
-semua tanah sesuai kecuali tanah berendam air/paya
-kadar subur 5.5-6.5ph,
-tanah di biarkan 1-2minggu
Pembajakan tanah
-pengemburan tanah perlu dilakukan
Pembajaan tahi ayam
-sebaiknya di gunakan sebelum benih di tanam,tabur dlm baris yg hendak di tanam
Batas
-tanah perlu di naikkan supaya pokok dan kawasan terhindar air yg bertakung
Benih jagung
-benih di rendam terlebih dahulu lebih kurang 1jam dan terus tanam@tanam benih kering dan terus siram
Jarak tanaman
-jarak yg sesuai adalah antara batas kiri dan kanan 3-4kaki
-jarak antara pokok dalam batas yg sama adalah 2kaki bagi selubang 2 pokok atau
-jarak antara pokok dalam batas yg sama adalah 1kaki hingga 1.5kaki jika selubang 1pokok
*(jarak yg terlalu rapat menyebabkan pokok sukar bernafas dan pokok menjadi tinggi kurus sekali gus menghasilkan buah yg kurang berkualiti)
*jarak yg terlalu rapat juga menyebabkan kadar kelembapan tinggi dalam kawasan jagung mengakibatkan undangnya penyakit pada pokok.
(tanaman jagung memerlukan keseimbangan panas dan sejuk)
Siraman
-siram dengan kadar 30-45minit setiap plot
-siram setiap hari jika cuaca terik dan apabila pokok mencapai hari ke-50 hnya siram waktu pagi@petang dengan kadar 30-45minit 1plot selang 1hari.
-hentikan siraman bila usia pokok jagung mencapai 64hari.
Pembajaan baja subur atau npk hijau
-pembajaan hari ke 12-15
-kadar sukatan adalah 8-10gram 1pokok
-tabur pada jarak 3inci dari pangkal pokok.
Racun rumput
*sembur racun pada hari ke-17(rumput bawah separuh lutut@bergantung jenis rumput)
-sukatan 78ml bg 10liter air
-sembur pada rumput
(pokok jagung mati jika terkena racun dan pastikan guna sukatan yg betul dan memakai alat keselamatan pelindung diri)
Pembajaan baja buah@npk biru
-pembajaan buah di lakukan pada hari ke-30 hingga 35hari,di lakukan sebelum bunga jantan keluar,
-kaedah yg dilakukan tutup sedikit dgn tanah baja yg di isi pada pangkal pokok@menebuk tanah dengan sistem manual(tugal)
Anak jagung
-pada hari ke-50-54,pokok mula mengeluarkan anak jagung..
-ianya di petik pada yg bawah sekali,simpan yang atas sekali hnya satu biji
-simpan 1pokok 1tongkol untuk menjaga kualiti buah dan kecukupan baja bagi keperluan pokok.
Penggunaan racun
-Tiada
-jika serangan skala tinggi boleh di gunakan
*racun yg berkesan
(jika serangan rendah seeloknya elakkan meracun)
-kawasan tanaman perlu bersih dari semak rumput yg tebal kerana sarang dan pembiakan perosak.
Penyiraman berkala
-hanya siram jika cuaca panas dengan hanya 1kali sehari 30-45minit@
-siram selang 1hari dengan kadar 30-45minit
-memantau jika terdapat musuh
Tuaian Jagung
-jagung boleh di petik pada hari ke 65-75 bergantung pada varieti yg di tanam dan keadaan cuaca.
Tips memilih jagung yg sudah masak atau kekuningan
-warna bunga pokok kekeringan sedikit
-kulit buah berwarna hijau pekat sedikit
-rambut jagung keperangan coklat
-tongkol jagung terasa kemas apabila di pegang
-petik tepat pada waktunya.

Manfaatkan lambakan sabut

 Umum mengetahui fertigasi melalui cocopeat menjadi salah satu cara penanaman sayur-sayuran pada masa kini termasuk penanaman berskala besar.

Cocopeat atau dikenali sebagai sabut kelapa hancur terhasil daripada 100 peratus serat kelapa yang diolah melalui teknologi moden.

Menyedari manfaat daripada sabut kepala itu, seorang pengusaha santan bertekad memproses cocopeat sendiri.

Lebih enam tahun menceburkan diri dalam bidang memproses santan segar, tapi sabut kelapa hanya dibuang tanpa memanfaatkannya.


Mohd Amir Ibrahim, 34, membelanjakan kira-kira RM30,000 duit simpanan sendiri untuk membeli dua mesin memproses sabut kelapa terbuang menjadi cocopeat.


Dia kini membina sebuah bengkel bersebelahan rumahnya bagi menempatkan mesin memproses cocopeat itu.

Menurut Mohd Amir, idea menghasilkan cocopeat tercetus selepas melihat lambakan sabut kelapa di kawasan kedai santan yang diusahakannya.

Katanya, setiap hari dia berjaya menghasilkan sebanyak 100 hingga 150 guni cocopeat untuk dijual kepada pelanggan.

MESIN memproses cocopeat. - FOTO Paya Linda Yahya



"Setiap guni cocopeat ini dijual RM8 sekiranya pelanggan mengambil sendiri di bengkel, manakala RM9 termasuk kos penghantaran.

"Alhamdulillah sambutan terhadap cocopeat ini sangat menggalakkan kerana sudah ramai yang sedar akan manfaat penggunaannya dalam sektor pertanian.

"Saya melihat cocopeat ini semakin mendapat permintaan sehingga kami tidak menang tangan dan terpaksa mengambil sabut kelapa daripada luar untuk menghasilkannya," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Kolam Mas, Gua Musang, Kelantan.

Mohd Amir berkata, dia kini mempunyai empat pekerja untuk membantu menguruskan bengkel memproses cocopeat.

"Cocopeat dihasilkan selepas melalui proses menggunakan dua mesin iaitu mesin pengisar dan mesin penapis sabut. Kemudian pekerja akan membantu membungkus cocopeat terbabit.

"Setiap hari kami akan mengasing dan membungkus 10 kilogram cocopeat kasar atau 20 hingga 30 kilogram pula untuk cocopeat halus ke dalam setiap guni.

"Selepas proses membungkus cocopeat selesai, pihak pembeli akan datang mengambilnya atau kami sendiri akan menghantar ke kawasan tertentu," katanya yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

MOHD Amir (kanan) bersama seorang pekerjanya ditempat memproses cocopeat. - FOTO Paya Linda Yahya

Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2023/06/973943/manfaatkan-lambakan-sabut

'Raja sungai' jana pendapatan lumayan

 ZULFADLY bersama ternakan ikan kelahnya di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami, baru-baru ini. FOTO Bernama

ZULFADLY bersama ternakan ikan kelahnya di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami, baru-baru ini. FOTO Bernama

Jelebu: Minat mendalam terhadap penternakan ikan kelah yang berpotensi besar dalam pasaran tempatan, mendorong seorang pemuda di sini, tekad meninggalkan kerjayanya dalam bidang penyiaran sejak enam tahun lalu, bagi mengusahakan ternakan 'raja sungai' itu.

Tindakan berani diambil Zulfadly Harun, 41, nyata membuahkan hasil apabila beliau menjadi antara tiga anak muda di negeri ini yang berjaya melakukan pembenihan dan penetasan anak ikan kelah, sekali gus menjadi antara pengeluar utama hidupan air itu di Negeri Sembilan.

Beliau yang turut berjaya membina tempat penetasan sendiri iaitu 'Tebat Sanctuary' di Kampung Simpang Gelami di sini bersama lima lagi sahabatnya itu berkata, mereka mampu meraih pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit setahun melalui ternakan kelah.

"Saya terbabit dalam bidang penyiaran lebih lima tahun dan banyak terbabit dalam dokumentari yang berkisarkan hutan, hidupan air dan sebagainya, jadi minat yang ada dalam diri tidak hilang malah saya aplikasikan pengetahuan itu dalam kerjaya saya ketika itu.

"Bagaimanapun, saya ingin cuba sesuatu yang baru lebih-lebih lagi datuk saya dulu pun ada menternak ikan, tapi hanya dalam skala kecil jadi saya ambil keputusan balik kampung untuk teruskan hobi saya sejak kecil itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Menurut usahawan akuakultur itu, ikan kelah atau nama saintifiknya 'Tor Tambroides' menjadi antara hidangan eksotik di negara ini, dan mendapat permintaan tinggi serta harga mahal di pasaran memandangkan ia hidupan yang jarang jumpa, selain mempunyai khasiat untuk kesihatan.


IKAN kelah yang diternak Zulfadly di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami. 
FOTO Bernama



Katanya populasi ikan itu yang semakin berkurangan, susulan pencemaran sungai dan pemburuan haram turut mendorongnya untuk serius menceburi bidang itu, selain menyokong usaha Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS), dalam memperbanyakkan lagi spesis kelah di perairan negeri.

Bercerita lanjut, pemuda kelahiran Seremban ini berkata, beliau memulakan projek itu pada 2015 menggunakan modal sendiri dengan kos keseluruhan hampir setengah juta, di tanah berkeluasan lima ekar milik keluarganya selain turut mengikuti kursus di Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) di sini.

Jelasnya selain tangkap liar di sungai, benih kelah berkenaan juga dibeli daripada pembekal di seluruh negara termasuk di Terengganu, Johor dan Perak, dan sehingga kini lebih 40,000 anak benih berjaya dibiakkan di tempat penetasannya, serta jumlah induk terkini sekitar 100 ekor.

Menurut Zulfadly bagi kaedah pembiakan, induk kelah betina akan disuntik hormon 'ovaprime' untuk tujuan kesuburan dan merangsang ikan berkenaan mengeluarkan telur dalam kapasiti yang banyak, kira-kira 1,000 anak benih bagi setiap seekor induk.

"Proses berkenaan dilakukan empat kali setahun dan kadar pembesaran ikan kelah adalah 80 peratus lebih cepat, berbanding kelah liar yang hidup di habitat asalnya," katanya dan menambah terdapat beberapa spesis lain diternak di tempatnya termasuk terbol dan sebarau.

ZULFADLY memeriksa kualiti air tadahan akuarium yang menempatkan ikan kelah di Tebat Sanctuary, Kampung Simpang Gelami, baru-baru ini. FOTO Bernama



Zulfadly berkata, kelah dijual mengikut saiz dengan minimum RM10 seekor untuk ikan berukuran satu ke dua inci kepada pelanggannya di seluruh negara, sama ada untuk tujuan hiasan dan makanan, namun susulan Perintah Kawalan Pergerakan permintaan untuk hidupan air itu turut merosot.

Mengakui pernah menemui kegagalan pada peringkat awal pembabitannya dalam bidang itu, susulan kekurangan pengetahuan mengenai penjagaan ikan, namun ia tidak mematahkan semangat anak muda ini meskipun kerugian ribuan ringgit.

"Ada kejadian banyak ikan mati disebabkan bekalan elektrik terputus dan ikan dalam kolah kekurangan oksigen, rugi banyak ketika itu, jadi untuk atasi kita guna jenerator bagi membekalkan elektrik secara berterusan," jelasnya sambil berkata kelah memerlukan penjagaan yang sangat rapi berbanding ikan air tawar yang lain.

Menurutnya, JPNS sering turun padang memantau projek ternakan ikannya, selain turut mendapat sokongan dan peralatan termasuk kursus, kemudahan mesin pam air dan tangki fiber.

Mengenai perancangan masa depannya, Zulfadly berkata, beliau berhasrat membina sebuah lagi panti benih mini, bagi membantu penternak khususnya golongan muda dalam menghasilkan benih kelah sendiri tanpa bergantung kepada benih liar, sekali gus melindungi benih itu daripada dieksploitasi secara berlebihan.

Sementara itu, Pengarah JPNS Halimi Abu Hanip berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan kepada orang ramai, yang berminat menceburi bidang penternakan ikan termasuk dari segi khidmat teknikal, kursus dan bantuan tertentu.

"Mereka juga boleh memohon bantuan input akuakultur dengan syarat telah berdaftar dengan JPNS, dan sekurang-kurangnya sudah mengeluarkan hasil buat kali pertama, manakala bagi anak muda yang berumur di bawah 40 tahun boleh memohon skim bantuan Agropreneur Muda," katanya.

Halimi berkata, pihaknya juga komited membantu golongan muda yang bersungguh-sungguh untuk menceburi bidang tersebut, berikutan ia memberikan pulangan tinggi kepada penternak sekali gus mampu meningkatkan lagi pengeluaran hasil akuakultur di negeri ini.

Satu dekad bersama tilapia

SENTIASA memastikan ternakan dalam keadaan baik.

SENTIASA memastikan ternakan dalam keadaan baik.



TIDAK dinafikan bidang akuakultur mampu memberi pulangan lumayan kerana mempunyai potensi besar untuk terus berkembang di negara ini.

Bagaimanapun, untuk terus kekal berdaya saing bukanlah mudah kerana seseorang itu perlu memiliki pakej lengkap termasuk ilmu, pengalaman luas dan semangat juang yang tinggi dalam diri.

Perkara ini diakui oleh usahawan akuakultur Muhammad Hafidz Zainal Abidin, yang mula terbabit dalam bidang ternakan pembenihan ikan tilapia sejak lebih satu dekad

Muhammad Hafidz berkata, sepanjang 12 tahun terbabit dalam bidang itu hampir setiap hari dia berdepan pelbagai masalah lama dan baharu.

Katanya, sebagai penternak dan 'breeders' ikan, dia perlu sentiasa bersedia dan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya tidak menjejaskan benih ikan dan ternakannya.
"Antara masalah atau cabaran yang sering saya hadapi adalah cuaca, penyakit ikan, manusia dan haiwan pemangsa yang boleh memberi kesan kepada benih ikan serta ternakan."Oleh itu, saya perlu sentiasa berada di kolam untuk mencari jalan penyelesaian segera supaya masalah itu tidak berlarutan. Pendekatan saya lebih kepada mencegah.

"Sebagai contoh, sekiranya membabitkan haiwan pemangsa seperti burung, biawak dan sebagainya, saya perlu membuat jerat untuk menghalang ternakan 'dicuri'," katanya.


MUHAMMAD Hafidz bersama ikan ternakannya.



Selain itu, cabaran yang dihadapi penternak adalah kenaikan mendadak harga makanan ternakan sejak kebelakangan ini.

"Untuk terus menghasilkan induk dan benih berkualiti, saya kekal menggunakan palet makanan ikan premium yang dicampur dengan sejenis bakteria untuk mempercepatkan tumbesaran benih ikan.

"Menerusi kaedah biasa, benih ikan baharu menetas boleh mencapai saiz empat inci dalam tempoh 70 hari, bagaimanapun dengan palet ikan yang dicampur bakteria tempoh itu boleh disingkatkan kepada 50 hari. Oleh itu, saya dapat menjimatkan kos tanpa mengurangkan kualiti makanan," katanya.

Jelasnya, semua jalan penyelesaian ini diperoleh melalui ilmu dan pengalamannya bekerja dengan syarikat swasta dalam bidang pembenihan dan penternakan ikan selama beberapa tahun.


IKAN tilapia mendapat permintaan tinggi di pasaran.



"Saya bersyukur kerana diberi peluang bekerja dari bawah untuk mengetahui secara mendalam selok-belok pembenihan dan penternakan di lapangan yang tidak ada di dalam buku," katanya.

Katanya, apabila sudah benar-benar bersedia, barulah dia menjalankan aktiviti penternakan sendiri secara serius di Kuala Ketil, Baling, Kedah sejak tiga tahun dahulu.

"Sebenarnya kepakaran saya adalah ternakan udang marin. Namun saya cenderung kepada ternakan benih tilapia kerana modal tidak sebesar udang marin.

"Saya tertarik dengan ikan tilapia kerana ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penternak. Pada masa sama, ikan air tawar ini diterima di seluruh dunia, sekali gus memiliki peluang besar untuk dieksport ke luar negara.

"Buat masa ini saya tumpu dahulu kepada penghasilan benih ikan tilapia dahulu di lima kolam dengan harapan dapat tumpukan kepada pengeluaran ikan untuk pasaran tempatan dan luar negara pada masa hadapan," katanya.


MEMILIKI potensi besar untuk berkembang.

Beliau menyarankan kepada individu yang berhasrat menceburi bidang akuakultur supaya mulakan secara kecil-kecilan untuk menimba seberapa banyak ilmu dan pengalaman.

"Buat dahulu dan masalah fikirkan kemudian. Seseorang itu perlu percaya kepada proses kerana setiap hari anda akan belajar banyak perkara baharu melalui masalah yang timbul.

"Apa yang penting jangan mudah mengalah. Jika tidak jumpa jalan penyelesaian boleh buat carian di Internet atau berguru dengan pemain industri dalam bidang penternakan ikan," katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2022/12/911205/satu-dekad-bersama-tilapia

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...