Carian Maklumat Di Sini...

Google

Mengambil Risiko Untuk Maju

Tanpa risiko kita sentiasa berada dalam gear neutral Adakah risiko itu menggambarkan sesuatu yang negatif atau positif untuk anda? Risiko secara lazimnnya dikaitkan dengan kemungkinan menghadapi bahaya, tetapi dalam dunia perniagaan dan kewangan, ia lebih menjurus kepada potensi untuk mengalami kerugian. Tetapi pada pendapat saya, langkah mengambil risiko yang berwajaran adalah penting untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Perkara ini benar dalam banyak bidang. Dalam bidang kerjaya, kadangkala kita perlu mengambil risiko dengan menerima tanggungjawab atau projek yang rumit untuk menunjukkan kita berwibawa. Mungkin projek tersebut gagal atau kurang berjaya tetapi sekurang-kurangnya anda telah mencuba. Jika berjaya ganjarannya besar. Dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, risiko memang menjadi sesuatu yang perlu diambil. Kita perlu menanam modal, sama ada dalam bentuk wang, masa atau tenaga. Jika perniagaan gagal, kita mungkin rugi tetapi jika berjaya besar ganjarannya. Walaupun gagal, kita telah belajar sesuatu yang berharga. Begitu juga dalam bidang pelaburan. Untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi, biasanya kita perlu mengambil risiko. Pelaburan yang paling selamat tidak akan memberikan pulangan yang tinggi. Namun risiko boleh dikurangkan dengan ilmu. Lebih tinggi ilmu kewangan, lebih rendah risiko pelaburan. Menang kalah dalam pertandingan sukan juga membabitkan risiko. Sebagai contoh dalam perlawanan bolasepak, apabila pasukan anda menyerang dengan lapan pemain untuk mencari gol, anda menghadapi risiko serangan balas di mana lawan hanya berhadapan dengan dua pertahanan sahaja jika anda kehilangan bola. Kalau anda membuat 'tackle' dalam kotak penalti pun anda mengambil risiko. Tetapi jika tiada pasukan sanggup mengambil risiko, perlawanan bola sepak pasti membosankan. Tetapi ambillah risiko dengan sewajarnya dan selepas membuat pertimbangan teliti. Janganlah mengambil risiko terlalu besar, sehingga menjurus kepada spekulasi lampau. Janganlah labur beratus ribu ringgit dalam perniagaan tanpa perancangan teliti, atau membuat pelaburan berasaskan khabar angin, tanpa membuat sebarang penyelidikan. Hidup ini penuh dengan risiko. Maklumat sempurna dan kepastian ialah sesuatu yang jarang kita perolehi. Kita perlu buat keputusan berasaskan uncertainty atau ketidakpastian, tetapi jangan biarkan kewujudan risiko dan ketaktentuan menyebabkan anda memilih jalan selamat setiap kali. Ambil risiko, tetapi lakukannya dengan munasabah dan selepas membuat penilaian teliti.

No comments:

Post a Comment

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...