payung.gif
Payung mana yang mempunyai kelainan?
Teringat saya ketika ke pasar malam dan ingin membeli burger. Sudah tentunya di pasar malam, kurang-kurang ada 3-4 gerai burger. Kesemuanya menjual burger yang sama, kecuali satu gerai burger ni, mempunyai kelainan!
Si peniaga burger tersebut, sambil membuat burger tersebut, melambung daging burger itu ke udara, dan menyambut semula ke kuali. Selang beberapa saat, dia akan lakukan lagi, melambung daging burger keudara dan menyambutnya semula. Pada gerainya ditulis ‘Burger lambung’!
Wah! Hebat sungguh dan memang ramai beratur untuk membeli ‘burger lambung’ ni. Tidak seperti gerai-gerai burger yang lain. Usahwan ini berjaya menciptakan kelainan sehingga barisan beratur pun panjang- termasuk diri saya sendiri yang ingin merasa ‘burger lambung’ ini.
Setelah 20 minit menunggu, baru dapat merasa burger lambung ini. Ingatkan, sedaplah sangat burger lambung ni, rupa-rupanya, rasanya sama sahaja dengan burger-burger lain! Lambung tak lambung, serupa sahaja rasanya!
Walaupun lucu juga kisah ini, tetapi, apa yang penting adalah ‘kelainan’ yang berjaya dibawa oleh usahawan ‘burger lambung’ ini. Walaupun produknya sama dengan produk pesaing yang lain, tetapi, kelainan perniagaan yang dibawanya berjaya menarik perhatian pengunjung-pengunjung pasar malam itu. 

Sumber:blog irfan khairi