Carian Maklumat Di Sini...

Google

Tiada Modal untuk Berniaga

Oleh: Irfan Khairi

Sesetengah perniagaan boleh dimulakan kecil. Pendekatan memulakan perniagaan kecil dahulu adalah satu pendekatan yang baik. Dengan memulakan perniagaan kecil, ia dapat mengajar kita selok belok perniagaan dan simpang siur mengendalikan pelanggan dengan lebih baik sebelum perniagaan kita menjadi besar. Terlalu banyak kisah-kisah kejayaan usahawan yang bermula kecil dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan mereka menjadi empayar yang besar.

Dengan cara ini, modal permulaan dapat diminimakan di samping risiko juga turut berkurang sekiranya bermula kecil. Pada langkah awal, tidak semestinya membuka butik lima bintang di kompleks membeli belah hebat di bandaraya. Memadai membuka gerai kecil di pasaraya menjual pakaian. Atau, sekiranya hendak kecil lagi pun boleh. Kedai online melalui blog juga tidak memerlukan modal untuk tapak dan sewa dan menjimatkan beribu atau berpuluh ribu RM di situ.

Namun tidak semua perniagaan boleh dimulakan dengan modal yang rendah atau secara online sahaja. Sekiranya mempunyai pilihan, sememangya mulakan yang kecil dahulu. Tetapi sekiranya tiada pilihan dan memerlukan modal yang lebih besar, apa pula caranya?

Cara pertama adalah meminjam dari kenalan atau ahli keluarga. Walaupun cara ini saya tidak syorkan sangat oleh kerana sering terdengar kisah kerana wang, keluarga pula berpecah belah, namun ia tetap merupakan satu pilihan. Terdapat juga kisah kejayaan perniagaan yang datangnya dari sokongan kewangan sekeluarga. Apa yang penting adalah, walaupun bersama keluarga, lakukan perjanjian hitam putih dengan jelas. Berapa yang dipijam, berapa kah bayaran balik, bagaimana keuntungan diagihkan dan sebagainya. 

Perjanjian hitam putih sebegini adalah langkah awal untuk menjadikan anda sebagai entity yang lebih professional dalam mengendalikan perniagaan. Jangan pula satu hari nanti akibat tiada perjanjian hitam putih, ada pula ahli keluarga merungut mengatakan untung perniagaan anda banyak, tetapi mereka tidak dapat satu sen pun walaupun dah bantu pinjamkan wang!

Jangan lupa juga perjanjian apa akan terjadi sekiranya wang yang anda pinjam tidak dapat dikembalikan. Ingat bahawa tidak semua perniagaan akan berjaya. Lebih banyak kisah kegagalan perniagaan daripada kisah kejayaan. Oleh itu, pihak kenalan dan keluarga yang memberi pinjaman perlu juga tahu apakah risiko sekiranya perniagaan anda tidak menjadi.

Cara kedua yang lebih baik adalah meminjam dari institusi kewangan. Institusi kewangan sememangnya memberi perkhidmatan pinjaman perniagaan. Namun perlu ingat, pihak institusi kewangan mahukan keuntungan dan tidak mahu kerugian. Ini bererti, apabila anda ingin meminta pinjaman perniagaan, pastikan pelan perniagaan anda adalah serba lengkap. Mereka akan mengambil pertimbangan dari segi risiko sama ada anda mampu membayar balik atau tidak.

Di sini juga, pentingnya pilihan utama tadi, iaitu, sekiranya anda sedia ada mempunyai perniagaan kecil-kecilan dan perniagaan kecilan anda dapat membuktikan bahawa anda adalah usahawan yang hebat dengan keuntungan perniagaan kecil yang semakin meningkat, ini merupakan tanda positif untuk pihak institusi kewangan memberi pinjaman kepada anda. Berbanding dengan anda sekiranya tiada pengalaman perniagaan, pelan perniagaan tidak lengkap dan bercita-cita membuat pinjaman beratus ribu!

Cara ketiga adalah bantuan kerajaan. Terdapat badan-badan kerajaan yang memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dalam memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan. Bukan sekadar pinjaman sahaja, malah, pelbagai bengkel dan latihan keusahawanan diberikan untuk melengkapkan ilmu keusahawanan kepada mereka yang ingin meminjam. Tugas anda adalah untuk melayari laman-laman web bantuan kerajaan tersebut dan mendapatkan maklumat yang secukupnya. Terdapat juga badan kerajaan dan kementerian yang memberi bantuan dari segi geran perniagaan dalam membantu usahawan tempatan.

Sama seperti pilihan pilihan di atas, siap sediakan diri anda untuk mendapatkan sebarang bantuan keawangan sama ada dari badan kerajaan ataupun tidak. Lengkapkan diri anda dengan segala ilmu perniagaan yang anda mampu. Sediakan pelan perniagaan yang lengkap dan mantap. Sediakan diri anda untuk temubual apabila diperlukan dalam meluluskan sebarang pinjaman atau geran perniagaan. Sekiranya gagal dalam aplikasi pinjaman atau geran, jangan putus asa dan perbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Pastinya terdapat kekurangan pada diri sendiri atau pelan perniagaan yang disediakan.

Tiada pihak yang mahu rugi. Begitu juga dengan pihak di mana anda ingin usahakan wang modal perniagaan anda. Oleh itu, pastikan anda lengkapkan diri anda terlebih dahulu sebelum meminta sebarang pinjaman. 

Sumber rujukan: Irfankhairi.com

No comments:

Post a Comment

Jual ulam raih RM30,000 sebulan

KOTA BHARU: Kegigihan mengusahakan pelbagai jenis tanaman ulam-ulaman, nyata berbaloi buat seorang wanita apabila meraih pendapatan lumayan,...