PADA hari biasa, harga sebatang bunga kantan di pasaran adalah sekitar RM1.50 hingga RM2, namun menjelang musim perayaan harganya boleh melebihi RM5 sebatang.
Bunga kantan sememangnya menjadi buruan ramai kerana selain menjadi ramuan penting dalam pelbagai jenis masakan, ia juga boleh dimakan segar sebagai ulam terutama dalam menu nasi kerabu.
Sesuai dengan harganya yang boleh tahan, sayur itu bukannya mudah untuk diperoleh kerana penanamannya memakan masa hampir dua tahun.
Peladang bunga kantan dari Bangi, Selangor, Saqdam Zaim Arffain, 29, berkata, meskipun tanaman itu mudah dijaga, tidak ramai yang sanggup mengusahakannya lantaran tempoh yang lama untuk mendapatkan hasilnya.
Kata Saqdam Zaim, secara keseluruhan, tanaman kantan mengambil masa kira-kira dua tahun sebelum ia mula berbunga dan boleh dipetik.
Cara penanamannya juga mudah iaitu melalui rizom yang diambil daripada pokok yang sudah matang dan menghasilkan bunga.
"Pengambilan rizom daripada pokok tidak matang kurang digalakkan kerana ia boleh menyebabkan tumbesaran kurang menggalakkan.
RIZOM biasanya daripada pokok bunga kantan yang sudah matang dan menghasilkan bunga.
"Rizom yang dicantas batangnya boleh ditanam di dalam tanah gambut yang lembap dan dekat dengan mata air.
"Tanah berpasir, tanah liat mahupun tanah berpaya tidak sesuai untuk penanaman pokok bunga kantan. Sebaiknya ia ditanam berhampiran sumber air," katanya kepada Agro.
Menurut Saqdam Zaim, rizom yang baru ditanam perlu disiram sekali sehari bagi memastikan keperluan pokok mencukupi untuk mengeluarkan anak pokok baharu dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
Katanya, selepas empat minggu, ia sudah boleh bergantung kepada cuaca dan penyiraman perlu dikurangkan.
"Baja NPK yang tinggi kandungan nitrogen juga boleh diberi bagi menggalakkan tumbesaran pokok dan menjaga kandungan klorofil dalam daun.
"Ibu rizom (batang yang sudah tua) boleh dipotong bagi membolehkan anak pokok mendapat nutrien secukupnya," katanya. Jelas Saqdam Zaim lagi, dalam tempoh empat hingga enam bulan, ia akan mengeluarkan lebih banyak anak pokok dan apabila mencapai usia satu tahun, tingginya sudah mencecah antara lapan hingga 10 kaki.
Dalam tempoh dua tahun, tingginya akan mencecah 16 hingga 20 kaki dan mula mengeluarkan bunga di celahan batang pokok.
Kata Saqdam Zaim, dianggarkan dalam serumpun, ia memiliki antara 10 hingga 15 batang pokok dan sebatang pokok kantan matang boleh menghasilkan antara satu hingga dua batang bunga.
DIANGGARKAN dalam serumpun, ia memiliki antara 10 hingga 15 batang pokok dan sebatang pokok kantan matang boleh menghasilkan antara satu hingga dua batang bunga.
"Bunga kantan akan membesar dan berubah warna dalam tempoh empat hingga tujuh hari dan boleh dipetik sebelum ia kembang. "Secara purata, bunga kantan boleh dipetik dalam tempoh empat hingga lima hari sekali.
"Bunga kantan yang sudah kembang tidak boleh dijual dan ia biasanya akan dibiarkan begitu sahaja di pokok," katanya.
Dalam pada itu, bekas cef kilang itu berkata, penjagaan pokok kantan sememangnya mudah kerana ia sukar diserang penyakit atau serangga perosak kerana baunya tidak disenangi.
Namun, pada masa sama perlu waspada serangan kulat dalam tanah yang tidak kelihatan secara luaran.
Katanya, tanaman itu juga tidak memerlukan kos penjagaan yang tinggi dan semua boleh mengusahakannya.
"Saya hanya bermula dengan 300 rumpun pokok kantan pertama dan kini ia berkembang kepada lebih 800 rumpun dalam tempoh hampir empat tahun.
"Untuk 300 rumpun pertama dahulu, ia mampu memberi pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
"Pokok kantan boleh dibaratkan sebagai sekali sahaja bersusah payah menanam, tetapi hasilnya berpanjangan. Apa-apa pun jika berbudi pada tanah memang ada hasilnya," katanya yang tidak menggunakan sebarang racun kimia untuk tanamannya.
TAPAK semaian pokok kantan yang baru diusahakan Saqdam tahun lalu.
Sementara itu, Saqdam Zaim memasarkan hasil tanaman berkenaan secara terus kepada pengusaha restoran dan kedai runcit sekitar Bangi dan Dengkil.
Ia sememangnya laris kerana orang ramai tertarik dengan kesegaran bunga kantan selain kaedah penanamannya yang tidak menggunakan racun berbahaya
No comments:
Post a Comment